Saturday, January 30, 2010

Meluah luap

Beberapa perkara yang mahu diluahkan, saya tahu perkara ini sudah basi tetapi kerana ada sedikit kelapangan saya mahu juga menulis tanpa risau akan kesan basi pada kesihatan anda.

Perkara satu: Isu kalimah Allah. Allahuakbar! Saya sendiri berfikir panjang tentang pendirian yang akan saya pegang berkaitan dengan isu ini. Ikhlas kata, saya segan mahu berdebat kerana isu ini kerana saya memang bukan bijak pandai warak tawaduk dalam agama, jadi saya tidak mahu menyesatkan manusia yang lain. Walaubagaimanapun, saya tertarik dengan pandangan bersudut-sudut dalam isu ini. Ringkas kata dari segi hukum memang tiada masalah, namun dari sudut semasa, ada masalah yang kita perlu fikirkan.. (rujuk sini). Nasihat saya, jangan main api, mainlah bola ataupun tenis.

Perkara dua: Isu babi singgah ke masjid, gereja diletupkan. Banyak teori yang keluar angkara petualang jalang yang melaksanakan perkara bodoh ini. Saya juga keliru dengan manusia begini. Kecik kecik tak nak mampos, besar besar membunuh babi. Lebih baik mereka membunuh babi babi hutan yang berkeliaran secara membabi buta di kerteh ini lalu kepalanya dieksport ke negara pemakan babi. Bagi yang mengebom gereja, anda sepatutnya berlakon dalam video klip "Da Bomb".

Perkara tiga: Isu Liverpool. Tiada komen. Nak komen juga. Main macam tahi. Tapi takpa, sabar kerana masa ini kita perlukan penyokong lebih dari peminat. Dan ya, saya penyokong. Penyokong berfungsi ketika pasukan dalam kesukaran. Manakala peminat hanya berminat masa menang saja. Jadi marilah ramai-ramai kita sokong Liverpool.

Perkara empat: Bas laju. Bodoh punya pemandu bas yang tiada etika memandu.

Perkara lima: Saya nak kahwin. Ya, saya nak kahwin, jadi anda yang cuba nak cuba cuba, sudah tidak boleh lagi.Haha. Ada anda kisah? Ya saya tahu anda tak kisah. Tapi doakan kebahagian saya dan dia. Saya mengharapkan semuanya akan berjalan dengan lancar dan sempurna..

Perkara enam: 20 sekolah hebat? Kecewa kerana sekolah saya tidak tergolong dalam golongan sekolah elit itu. Tapi tidak mengapa, sekolah saya tetap terbaik di hati saya dan di hati bekas pelajarnya.

Setakat itu sajalah isu-isu basi yang saya nak luah luap kali ini.

Monday, November 30, 2009

Masih ada

Komitmen Komitmen dan Komitmen.

Friday, June 12, 2009

Kecelakaan itu mengharukan


Ini bukan saya

Semalam saya pulang dari Kerteh ke Pekan. Selesai kelas untuk jurutera muda dan jambu, saya bergegas ke tempat membeli belah yang mesra untuk membeli sesuatu. Sebelum bertolak pulang, saya mendapat pesanan ringkas dari mak yang meminta saya untuk berhati-hati semasa memandu. Saya akan berhati-hati, luah hati sendiri.

Saya memandu seperti biasa. Tiada tekanan sehinggalah ketika hampir tiba di Kemaman. Oh panasnya hati dengan situasi yang sememangnya berlaku setiap petang Khamis, sesak!.. Semua orang tidak mahu memberi laluan dan berpusu-pusu mahu meloloskan diri dahulu. Tiada timbang rasa seolah-olah ada pertandingan siapa cepat dia tidak lambat. Yang paling menjengkilkan hati ialah golongan moron yang memotong melalui bahu jalan seolah-olah hanya dia sahaja yang mahu cepat dan tidak lambat. Bagi saya, golongan moron inilah yang melambatkan situasi yang sudah sedia lambat itu. Bersabarlah, dan berilah laluan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Saya juga teringat dengan situasi pemandu-pemandu yang enggan memberikan laluan kepada ambulans yang bergegas mahu menyelamatkan pesakit. Berilah laluan dengan beranjak ke bahu jalan. Cuba bayangkan diri anda sebagai pesakit yang sedang sangat-sangat memerlukan rawatan di hospital, pasti anda berharap pemandu yang lain mengutamakan anda bukan?

Sepanjang perjalanan semalam, saya sempat menyaksikan kemalangan yang berlaku di kemaman dan kuantan. Penunggang motosikal terbaring di atas jambatan dengan ekspresi muka yang sakit amat. Kemalangan itu jika tidak silap saya antara motor dan lori. Di kuantan pula, saya dikejutkan dengan kemalangan antara proton Wira dan lori minyak shell. Jalan yang sebelum ini tidak pernah sesak tiba-tiba sesak sepanjang lebih kurang 2 kilometer. Rupa-rupanya ada kemalangan. Habis remuk kereta yang terlibat. Selepas menyaksikan kejadian-kejadian yang mengharukan itu, saya memandu dengan lebih perlahan walaupun sudah sedia perlahan. Apabila kita memandu laju, kuasa kawalan kita berkurangan, ditambah pula dengan keadaan jalan yang kadang-kadang tidak tentu lubangnya.

Apabila saya melihat kereta Wira saya sering menyamakan mereka dengan sikap biadap di jalan raya. Maafkan pandangan saya ini. Hampir semua yang saya sumpah seranah di dalam kereta saya adalah dek kerana pemanduan mereka yang tidak tahu sabar dan suka menyucuk-nyucuk belakang saya seolah-olah saya ini sedap untuk dicucuk. Saya tidak mengatakan semua pemilik wira begitu, cuma saya mahu berkongsi pengalaman saya sahaja. Jangan ambil hati ya, terutama kepada pemilik Wira yang benar-benar berhemah di jalan raya.

Saya membelek suratkhabar hari ini dengan niat mahu mencari berita kemalangan semalam, namun hampa tiada liputan dibuat. Saya mencadangkan agar akhbar-akhbar tempatan menyediakan satu ruangan kecelakaan jalan-raya sebagai satu seksyen di dalam akhbar mereka. Semoga dengan adanya ruangan ini, mereka di luar sana dapat mengambil pengajaran dan memandu secara berhemah.

Saya disajikan dengan pelbagai kerenah pemandu setiap pagi. Ada yang seolah-olah memandu seperti tidak tahan untuk berak. Ada yang membuat pusingan U di tempat yang tidak sepatutnya. Ada yang mengorek hidung sambil memandu. Ada yang mencelah secara memH1N1 buta. Ada juga yang memandu sambil berzikir, oh itu saya sendiri,hehe.

Saya menasihati semua pemandu di luar sana supaya berhati-hati dan bertimbangrasa. Saya bukanlah Jenson Button tetapi saya tidak memandu laju. Saya juga akan cuba memperbaiki mutu pemanduan saya supaya mencapai tahap ISO 9002. Usaha memandu cermat harus dimulakan dari kita sendiri.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------
Ini bukan Kaka,anda pasti tahu siapa

Saya sungguh merasa teruja dengan prospek pembelian real madrid kali ini. Saya merupakan peminat real madrid sejak dari tingkatan 5 lagi. Pembelian Kaka adalah pembelian yang baik. Selepas ini belilah david villa. Namun begitu, tinggalkanlah david silva untuk liverpool. Tolonglah...

Kekalahan Datuk Chong Wei kepada pemain tidak ternama dari Vietnam sungguh mengejutkan. Namun begitu, setiap juara pasti ada detik hitam, apa yang penting bangkit selepas dijatuhkan, melawan selepas dikalahkan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Selamat menduduki peperiksaan kepada rakan-rakan saya nun jauh di sana. Semoga anda dapat menjawab dengan tenang dan cemerlang. Jawab periksa cepat-cepat, dapat kita jumpa di sini nanti.

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Harga minyak sudah naik sedikit demi sedikit. Tanda ekonomi sembuh?

------------------------------------------------------------------------------------------------------





Thursday, June 11, 2009

Seterika


Seterika saya meletup pagi tadi. Saya terkejut kerana tidak menyangka seterika itu boleh mengejutkan saya sebegitu rupa di awal pagi tadi. Saya bertindak dengan tenang dan tidak panik. Sumber elektrik ditutup, sambungan wayar dikeluarkan dari soket kuasa, dan seterika di simpan ke tempat asal.

Kejadian seterika ini mengajar saya menjadi lebih berhati-hati dan menjangka semua serangan dari segenap penjuru. Kadang-kadang perkara yang biasa kita lakukan tidak semestinya selamat. Utamakan keselamatan. Pengajaran kali ini.

Maka pagi tadi saya memakai baju kemeja yang tidak bergosok. Memang renyuk. Namun sentiasa ada strategi. Pakai jaket biru setiap masa. Ah, bukan sengaja mahu letupkan seterika. Sekali sekalai pakai baju tidak bergosok apa salahnya.

Hari Jumaat ini hari jadi orang yang istimewa di hati saya, dan adik beradik yang lain. Maka saya harus pulang hujung minggu ini (seakan-akan saya tidak pulang setiap minggu,hehe). Ikutkan hati saya mahu hadiahkan mak dengan menantu baru, tapi apakan daya, anakanda masih tidak mampu, hehe..

Sunday, June 07, 2009

Apa sudah jadi!

Saya sedang bekerja untuk Ethylene Polyethylene (Malaysia) Sdn Bhd untuk tempoh 2 bulan lebih. Saya melapor diri pada 22/3/2009.

Saya cuba sedaya upaya untuk menjadi pekerja yang baik seolah-olah hidup di dunia untuk selama-lamanya.

Ramai yang berpendapat untuk mendapat pekerjaan di kala gawat begini sebagai satu nasib yang baik. Saya setuju. Oleh kerana itu, Alhamdulillah

Dalam tempoh 2 bulan ini, saya pernah merasai bagaimana perasaan sunyi, hilang dalam ramai, dan janggal.

Kadang-kadang saya rindukan zaman belajar juga. Saya selalu merasa begitu.

Tapi sebenarnya, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Waktu belajar dahulu saya pernah rasa waktu menjadi bayi lebih baik. Saya pernah rindu menjadi bayi.

Saya gembira, kerana saya dekat dengan keluarga dan si dia. Segalanya ok

Kepada yang membaca,
Bersyukur atas apa yang kita ada, buat yang terbaik, dan jangan lupa pada mereka yang pernah berbakti kepada kita

Saya mahu berubah!

Ketabahan, kepunyaan, makna, dan keluarkan aksi!

Wednesday, November 05, 2008

Jawapan untuk entri di bawah

Barack Obama

WASHINGTON 5 Nov. – Rakyat Amerika Syarikat (AS) memilih calon Demokrat, Barack Obama semalam sebagai Presiden kulit hitam mereka yang pertama, dengan memberi beliau kemenangan bersejarah ke atas calon Republikan, John McCain. - AFP [pautan]

Selamat duduk di rumah putih!

Tuesday, November 04, 2008

Rumah putih untuk siapa?

Ihsan huhu dari Utusan

Esok merupakan hari bersejarah buat negara yang pengaruhnya sebegitu luas sekali. Jadi tidak salah jika saya sibuk mahu berkongsi kegalakan saya untuk menyentuh soal presidensi Amerika yang bakal ditentukan esok hari. Jika anda bertanya saya siapakah yang saya akan pilih jika saya warga Amerika, sudah tentu saya akan memilih mereka yang bercirikan islamik dan tidak zalim mahupun menzalimi orang lain. Zalim dan menzalimi orang lain termasuklah memfitnah dan merancang dan bersubahat dalam konspirasi tahap tinggi.

Walaubagaimanapun saya bukanlah warga Amerika seperti penasihat projek tahun akhir saya yang pulang ke kampung halamannya (mungkin dengan tujuan mahu mengundi). Beliau kata beliau tidak ambil kisah mahu mengundi kerana beliau sudah anggap New Zealand ini negara primer beliau. Mungkin beliau terpengaruh dengan kata-kata saya yang beliau patut mengundi kerana apa yang berlaku di Amerika memberi kesan kepada seluruh dunia. Jadi, pulanglah mengundi untuk kebaikan seluruh umat dunia. Mungkin saja..haha

Jadi, kalau saya diberi peluang untuk mengundi, siapa yang akan saya undi? Saya akan kata Obama. Saya akan undi Obama kerana apa? Mudah sahaja, kerana dia berkulit hitam, tetapi gerak geri dan percakapannya lebih putih daripada kulit Mc Cain. Walaubagaimanapun saya berasa kurang arif untuk saya berkata-kata dan menyentuh perihal politik Amerika kerana saya memang tidak tahu menahu akan sejarahnya dan tidaklah saya menghafal nama-nama presiden yang lepas.

Saya suka mengikuti penulis blog tenaga ini dan apa yang dapat saya simpulkan dalam tulisan beliau kali ini adalah beliau percaya dan tetap dengan pendiriannya mahu memilih seseorang yang faham dan mengambil berat akan isu tenaga dan ada cara mengatasi krisis tenaga yang menghimpit dunia ketika ini. Maka dek kerana kedua-dua calon mempunyai polisi tenaga yang kurang meyakinkan, beliau tidak mengundi langsung. Dia seorang penganalisis tenaga dan tenaga adalah perkara yang paling penting dalam memilih calon presiden.

Saya memandang ini sebagai sesuatu yang positif dalam kematangan dalam memilih. Memilih berdasarkan satu kepercayaan yang berlandaskan ilmu. Walaupun isu tenaga nampak remeh, tetapi bagi beliau, ia penting dan seorang presiden baru harus mempunyai kefahaman yang jitu dan meyakinkan. Bagi kita, pilihan kita juga nanti harus bersandarkan kefahaman dan keyakinan yang benar. Bukan dikabui oleh wang ringgit, serban, fanatik kepartian, songkok, konspirasi, gambar tindih, atau fitnah yang dibawa dari mulut ke mulut yang busuk tidak bergosok sejak dari pagi semalam.

Saya tidak sabar menunggu keputusan esok walaupun ada sang pesimis yang berkata, "alah, tukar presiden, Amerika tetap Amerika, dah tak Amerika la saing ngan budak sejid"