Sunday, April 30, 2006

Antara sehala dua hala dan lebih dari dua hala


Apakah yang cuba saya perkatakan dengan tajuk ini?? Apekehe??
Sebenarnya hanya ingin berkongsi satu cerita di mana cerita ini hanya rekaan semata-mata.

"Tersebutlah kisah seorang anak kecil yang hidupnya sibuk dengan alam permainan dan hiburan kanak-kanak. Anak kecil ini tidak pernah mengenali si bapanya. Namun si bapa tidak pernah melupakan si anak kecil ini. Setiap hari diberinya anak kecil ini makan dengan cara meninggalkan hidangan di luar pintu. Ada kalanya si bapa akan mengirimkan hadiah kepada si anak. Tidak pernah sekalipun si bapa ini terlupa untuk memberikan makanan kepada anak kesayangannya itu. Si anak tidak peduli siapakah yang menghantarkan segala makanan dan hadiah kepadanya selama ini. Apa yang dia tahu,dia cuma perlu makan untuk terus hidup. Terus bermain dan bermain. Sehinggalah suatu hari si bapa sudah mati, tiada siapa lagilah yang datang memberikan makanan kepadanya. Maka, bertanyalah si anak kecil itu sendirian di dalam hatinya;'mengapakah tiada lagi makanan untukku?, adakah yang memberi makanan itu sudah lupa kepadaku? atau adakah dia sudah tidak mempedulikanku?.....si anak tadi terus tertanya sehinggalah dia bertanya kembali kepada dirinya sendiri, 'siapakah yang selalu memberi makan kepadaku? adakah pernah aku risaukan siapakah dia? adakah aku pernah mencuba mengenalinya? menyesallah anak ini kerana tidak pernahh mengambil tahu akan si pemberi makan yakni bapanya. Maka kerana terlalu sesal, si anak mati kebuluran akibat tiadanya makanan bercampur pula dengan kekecewaan sendiri.....

mungkin cerita ini tidak dapat diterima kerana dikabui oleh masalah logik.
1.kenapakah si bapa tidak berjumpa anaknya sendiri?
2.kenapakah si anak dapat hidup sendirian?
3.kenapakah s anak harus mati?
4.dan berbagai bagai lagi ketidakpuashatian yang bakal dilemparkan oleh pembaca yang membaca cerita ini..

Maka ini jawapan dari saya;
Sesungguhnya cerita ini hanyalah rekaan semata mata. Tiada yang harus diterima bulat bulat dari cerita ini. Kerana sesungguhnya saya ingin menyampaikan mesej yang saya rasakan agak penting dan kena dengan kita semua. Yang saya rasa persoalan di sebalik mesej ini lebih mengundang kepada mainan persoalan persoalan yang jawapannya ada pada diri kita sendiri. Mungkin cerita ini pelik tetapi adalah satu kepelikan yang lebih lagi apabila menulis tentang realiti kehidupan manusia masakini.
Sebenarnya apa yang cuba saya ingin sampaikan adalah cinta kepada tuhan. Selama ini kita sering berkata dan bercerita tentang cinta tuhan yang tidak pernah lupus dan pupus. Namun demikian, ramai yang masih tertanya tanya kepada diri mereka sendiri mengapakah mereka rasakan seperti tidak dicintai Allah...Sesungguhnya jawapannya ada pada diri kita sendiri.. Penahkah kita tonjolkan kecintaan kita kepada Allah? Sudahkah kita mempamerkan kecintaan kita kepada Allah? atau yang paling penting sekali, pernahkah kita cuba untuk mencintai Allah? Amat malang bagi sesiapa yang tidak pernah cuba untuk mencintai tuhan mereka sendiri.Tuhan yang menjaga. Tuhan yang memberi rezeki. Tuhan yan memberi segala nikmat. Nikmat anggota badan. Nikmat udara yang segar. Dan berjuta malah bilionan malah lebih dari itu nikmat tuhan itu.
Sebenarnya cinta itu adalah satu sistem yang memerlukan dua entiti atau secara mudahnya dua hala. Kita tidak akan merasakan cinta andai kita tidak menyintai dan dicintai. Tuhan sentiasa mencintai hamba hambanya yang mengharapkan redhanya. Seperti yang kita baca di dalam surah al fatihah ; Allah itu ar-Rahman dan ar-Rahim... Maka rebutlah peluang ini dengan mencintai Ilahi....

Sebenarnya cerita yang saya tuliskan pada awalnya tidaklah terlalu pelik jika dibandingkan dengan realiti seorang hamba yang tidak pernah cuba mencintai tuhannya. Inilah realiti dan realiti inilah merupakan satu kejanggalan dan kepelikan yang wajar diubah. Kita tidak mahu ditertawakan syaitan yang senantiasa mahukan kesesatan kepada anak anak adam...
Adalah tulisan saya pada entri ini hanyalah untuk mengajak kalian cinta kepada tuhan. Kerana cinta itu adalah satu sistem dua hala,malah mungkin lebih dari dua hala..sama samalah kita fikirkan...




"Iman itu bukan angan-angan,jua bukan perhiasan, tapi apa yang diakui dengan hati dan dibenarkan dengan amal" hadis nabi saw


Jika engkau mencintai bunga
Sedarlah engkau bunga itu akan layu
Jika engkau cintakan manusia
Sedarlah suatu hari dia akan pergi
Jika engkau mencintai harta
Harta itu nanti kau akan tinggalkan
Jika engkau cintakan Ilahi
Hanya Dia yang akan kekal abadi
Cintailah Ilahi


-petikan lagu Cintailah Ilahi

Saturday, April 29, 2006

Membuka lembaran baru



Cuti tinggal hanya dua hari sebelum bermulanya term ke dua dalam semester pertama ini. Sejauh manakah telah ku manfaatkan masa lapang ini??
Rasullullah saw ada menyebut dua nikmat yang sering dilupakan iaitu masa lapang dan kesihatan. Moga moga masa lapang yang lalu telah ku isi dengan persediaan dan kewajipan yang sewajibnya dilakukan.
Dan masa itu ibarat pedang. Sekiranya kau leka, maka ia akan mencantas kepalamu.
Menjangkakan jadual yang lebih ketat sebelum tamatnya semester ini. Mudah-mudahan dengan kesibukan ini dapat mengelakkan diri dari melakukan perkara-perkara yang bathil. InsyaAllah....


Kata-kata Imam Syafei:
"Jika anda tidak menyibukkan diri anda dengan kebenaran, maka ia akan menyibukkan anda dengan kebathilan"

Kata-kata Sheikh Muhammad Al-Ghazali:
"...mengisi waktu dengan kewajipan-kewajipan dan beralih dari satu pekerjaan kepada pekerjaan lain walau dari pekerjaan berat ke pekerjaan ringan; hanya dengan inilah satu-satunya jalan untuk melindungi kita dari penyakit-penyakit pengangguran dan noda-nda waktu luang"

saya faham

kini...
saya faham
apabila saya melemparkan kesedihan pada seseorang
pastinya kesedihan itu akan kembali semula kepada saya
saya faham
kesilapan yang lalu
pasti sukar menjadi syarat bagi kebahagiaan di masa hadapan
saya faham
tiadalah guna menanam harapan
andai tidak diserta dengan logik akal
saya faham
apa yang digenggam selama ini hanya bayang bayang
tatkala cahaya menghilang
baru tersedar yang digenggam hanya angan angan, kosong tiada apa
dan saya cukup faham
semuanya hanya angan angan

dahulu...
jika saya faham
mungkin segalanya tidak berakhir begini

Mentari muncul lagi

aku fikirkan
mendung berterusan
tapi kini muncul lagi
ku rasa kembali kehangatannya

maafkan aku
meninggalkanmu
itu ku lakukan kerana cintaku padamu
ku tak sanggup melihat kau tersiksa

tuhan saja yang tahu perasaanku
berperang dengan suasana
hinggakan ku terpaksa
meninggalkanmu
kerana tak sanggup melihat kau menderita
menyesalnya aku kerana menyangka nasib tak menyebelahi
cinta dan hidup kita
syukur tuhan masih sayang pada kita
masih sayang pada kita


-petikan lagu-
-mentari muncul lagi-

bait bait lagu ni sentiasa bermain main dalam benak fikiran buat masa ini
benarkah pengakhiran pada sebuah percintaan bermula dari pengorbanan???

"...boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu,dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu; Allah mengetahui,sedang kamu tidak mengetahui" al Baqarah:216

benarlah kata kata Allah Yang Esa

Indahnya hidup bersahabat














"sahabat itu perisai di waktu susah
perhiasan di waktu senang"

Indah sungguh hidup bersahabat
bermacam ragam
bermacam perangai
ada yang sungguh menggeletek hati
sungguh beruntung memiliki sahabat yang membuatkan kita rasa selesa dan sentiasa tersenyum
melihat telatah dan jenaka
sudah tentu senyuman terukir pada bibir ini
walau di dalam hati masih terbuku satu perasaan sedih dan pilu
itulah anugerah dalam persahabatan
tidak kisahlah dia itu suka mengepau atau sebagainya
asalkan kehadiran sahabat itu benar benar mengubat kelukaan hati
selama 21 tahun hidup di dunia Allah ini
bermacam jenis manusia yang ditemui
dan dari bermacam jenis itu
telah terpilih manusia yang ditakdirkan untukku bersahabat
syukur kepada Allah
atas kurniaannya ini
dan sesungguhnya sahabat itu adalah kurniaan tuhan dari lambakan nikmat yang tidak terkira banyaknya

kepada yang mengenali diri ini
samada yang dekat atau yang jauh
ketahuilah bahawa diri ini
menghargai persahabatan yang kalian curahkan
semoga tuhan merahmati kalian

Friday, April 28, 2006

Menulis sekadar bercerita


Indahkah hidup seperti biri biri??



Penglibatan dalam penulisan blog ini sekadar bercerita dan mahu berkongsi apa apa yang bermain di benak fikiran melalui tulisan yang ringkas dan mudah. Dalam lambakan blog yang ada sekarang, blog saya mungkin blog yang biasa dan tidak mempunyai sebarang signifikan kepada pembangunan mentaliti dan pemikiran pembaca. Jadi adalah diharapkan agar kalian tidak mengharapkan sesuatu yang menonjol di dalam blog ini. Blog ini bukan blog ilmiah, jua bukan blog politik, jua bukan blog tarbiyah, tapi sekadar coretan rasa yang dirasakan patut dikongsi agar kegembiraan dan kesedihan dapat dijadikan iktibar buat khalayak..

sekian
dari meja penulis