Thursday, August 31, 2006

Selamat hari kebangsaan







Memilih untuk menjadi patriotik atau tidak adalah pilihan individu. Memilih untuk menghargai kebebasan dan kemerdekaan juga adalah pilihan individu. Di sini saya memilih untuk menjadi patriotik. Maka dengan lafaz patriotiknya saya mengucapkan selamat hari kebangsaan Malaysia!!

Cukupkah sekadar menulis melambangkan nilai dan harga patriotisme itu sendiri?
Cukupkah sekadar melaung-laungkan kebebasan lantas mencerminkan jati diri?
Cukupkah sekadar berpantomim?(haha)
Cukupkah sekadar mengenal sejarah tanpa menghayatinya?

Umum rata-rata sudah amat matang untuk menilai jawapan bagi persoalan di atas. Mengapa hari kebangsaan? Tidak hari kemerdekaan? Pernahkah kita merdeka? Atau pernahkah kita dijajah?
(Kena belajar sejarah semula, mengkaji apa sebenarnya yang terjadi)
Siapa berminat lawati ini

Sebelum saya sudahi entri sempena 31 Ogos ini, saya tempekkan sajak dari sasterawan tersohor negara kita, A Samad Said berjudul Hidup Bersama;


HIDUP BERSAMA

" Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

" Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan tofan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tunggak dan menara kebahagian."

A Samad Said

Friday, August 25, 2006

Singgah untuk kehidupan

KISAH AKU DAN BURGER

Satu malam yang gelap, kelibat cahaya berkedip kedip, sinar neon samar samar, aku memandu di dalam kelaparan. Ah, sungguh ku merasa lapar yang amat. Perut seolah olah memalukan gendang yang membebaskan bunyi yang sunggguh mengharukan. Aku tekad, mahu mencari makanan. Aku mahu menjamah makanan kegemaran ku tatkala ini. Aku berazam membalas dendam kepada perutku. Mungkin kerana tiada kerja maka perutku ini ada masa untuk menyanyi. Nah, selepas aku dapat menyantap BURGER KING kegemaranku pasti perut ini bertungkus lumus memproses ketulan ketulan daging, roti dan sayuran menjadi protein, glukose(lupa segala gala tentang biologi!) dan juga tahi. Oh! kelihatan meter minyakku menjunam ke paras yang merbahaya. 'Hai, minyak ni pun satu, time aku lapar time ni la ko nak mintak top up' monolog dalaman mengambil tempat seketika. Memikirkan situasi kewangan semasa menambahkan lagi haru suasana. Duit ada sepuluh ringgit, menikmati burger king memerlukan sekurang kurangnya sebanyak itu. Sudah dua stesen minyak telah aku tinggalkan tanpa mampu membuat keputusan. Aduhai, perut ini lapar amat...Aku mahu hanya burger king saja. Aku nekad. Melewati jalan yang gelap, aku yakin aku akan menemui burger king idaman ku itu.Satu lagi stesen minyak aku abaikan demi menikmati encik burger itu. Malang .... Kereta tidak mampu bergerak lagi. Bahan apinya sudah kehabisan...Maka bersendirianlah aku di jalanan gelap. Namun, bara keinginan menikmati burger king masih bernyala. Aku nekad, membiarkan kereta(kereta pinjam) demi mencari burger king itu..Hampir dua kilometer masih tidak berjumpa. Perut yang amat lapar memaksa aku pulang ke kereta, tiba tiba teringat ada sebungkus snickers yang belum dimakan. Setibanya aku di kereta, terkejut sungguh!!Kereta sudah tiada....

-TAMAT-

Cerita ini hanya rekaan. Watak aku dalam cerita di atas tiada kaitan dengan penulis. Penulis bukanlah 'aku' dalam cerita ini kerana penulis tidak terlalu gilakan burger sehingga sanggup mengabaikan keperluan minyak kereta.Namun begitu, serba sedikit inti dari cerita ini adalah berkisarkan latar pengalaman penulis.

Kadang kadang manusia tersalah memilih keutamaan dalam hidup. Apa yang utama dihalangi oleh tabir nafsu. Seperti mana apa yang pernah berlaku kepada saya. Sungguh sukar bagi saya melawan kehendak hati yang sentiasa mahukan 'dia' menjadi teman hati. Seolah olah tanpanya saya akan mati. Seolah olah tanpanya saya akan kebuluran di muka bumi ini. Alhamdulillah, bersyukur kerana diberi kesedaran sebelum saya kehilangan kehidupan saya sendiri. Kehidupan dalam cerita tadi saya simbolkan sebagai sebuah kereta. Saya terlupa kehidupan ini tidak berada hanya dalam ruang lingkup seorang makhluk(burger king). Kehidupan ini luas. Kehidupan ini ada perjuangan yang lebih utama dari mengejar sekadar 'makanan'. Memang makanan sangat penting bagi manusia. Tetapi jiwa kadang kadang berlebihan dengan 'makanan' itu sendiri. Jiwa diisi hanya dengan 'makanan' yang akhirnya berubah menjadi 'tahi'. Sesungguhnya kehidupan memerlukan satu injeksi yang mampu 'menghidupkan' kehidupan kita. Itulah dia pegangan agama dan kepercayaan kepada ketentuan Allah. Singgahlah mengadu kepada Allah . Kadang-kadang kita putus harap kepada teman wanita, putus harap kepada sponsor, putus harap kepada usaha kita, putus harap kepada wang ringgit. Tapi adakah kita pernah berharap kepada Allah?? Adakah kita sekali kali akan berputus harap pada Allah?? Tidak sama sekali, kerana Allah tidak pernah menghampakan hambaNya. Allahlah sumber segalanya, makanan, wang ringgit, kebahagiaan, semua dari Allah. Asalkan mempunyai pegangan dan keyakinan iman yang sahih nescaya harapan kita tidak akan dikecewakan. Bahkan ada antara kita yang tidak pernah langsung berharap kepada Allah. Aduhai...

Bagi mereka yang hanyut dalam percintaan. Sedarlah cinta manusia hanya sementara. Jika terkecewa, kesannya amat dalam dan mampu membunuh sebuah kehidupan. Bersegeralah melupakan peristiwa silam kerana hanya mengingati silam yang pedih akan membawa juga kepada penghujung yang pedih. Jangan nanti 'kereta' yang dipinjamkan hilang dan kita akan dipersoalkan atas kehilangan 'kereta'itu

Saya berkeinginan untuk menulis dengan lebih panjang, tetapi penulisan ini adalah untuk semua dan saya tidak mahu perasan sendiri dengan menganggap bahan bacaan ini berkualiti sehingga pembaca sanggup menyudahkan entri ini. Tanpa pembaca siapalah penulis.

Sekali lagi ditekankan penulis sekadar berkongsi pengalaman dari kehidupan penulis sendiri.

Saturday, August 19, 2006

Ketakutan untuk terus menulis

Sebenarnya pada hakikatnya saya masih takut dan gementar untuk menulis. Lebih lebih lagi jika tulisan ini dibaca oleh khalayak yang terdiri daripada generasi cerdik pandai dan berilmu. Saya adalah manusia yang kurang gemar memberi pendapat. Sama ada kurang gemar atau tiada pendapat itu pun saya kurang pasti. Dalam kebanyakan perkara saya lebih gemar mendiamkan diri dan berfikir.

Sebenarnya saya tiada isu untuk diketengahkan buat masa ini. Untuk mendapatkan sesuatu untuk dikupas adalah sangat mengambil masa(bagi saya).

Penulisan dalam blog ini adalah dalam bahasa melayu.
Alasan?? Saya lebih gemar berbahasa melayu.
'Saya berbunyi seperti orang bodoh jika saya berbahasa Inggeris'

Friday, August 18, 2006

Tiada yang lebih baik dari yang telah terjadi

Adakah perkara yang lebih baik daripada apa yang telah berlaku?
Benarkah kalau itu dan kalau ini maka saya akan jadi begini?
Pastikah apa yang dikalaukan itu menjadi kenyataan?
Sejauh manakah kebenaranya?
Jauh gak aaaa

Retorik sungguh gaya penulisan saya kali ini.(bajet lebih)

Tapi sungguh, soalan ini memang sentiasa berlegar legar dalam ruang minda manusia. Bila sesuatu yang kita tidak restui untuk berlaku, maka kita akan cepat menuding jari malah menyalahkan takdir. Salahkah takdir andai itu yang terbaik untuk kita? herm/hurm/erm/urm(bergantung kepada pembaca memilih gaya keluhan masing masing), susah kan soalan ni??
agak aaa

Setulus hati bisa menerima segala ujian dan bala dari Allah.
Sebusuk hati bisa menyalahkan ketentuan dan ketepatanNya.

Sebenarnya marilah sama sama kita memanjatkan kesyukuran atas nikmat dan ketentuanNya.

Nota: Apa yang ditulis adalah sekadar berkongsi satu pengajaran dari beribu ribu pengajaran dari sebuah buku bernama 'kehidupan'. Segala coretan adalah sebuah pantulan dari cermin kehidupan penulis.

Wednesday, August 16, 2006

Terpukul dek situasi

Setelah lama bergelumang dengan kesedihan yang dicipta sendiri. Terpukul diri sendiri dek situasi yang menuntut satu perubahan. Bermula dengan sekilas bacaan dari hamka, suatu seruan perubahan mengalir dalam aliran darah ini. Seruan ini pernah muncul satu ketika dahulu, namun semakin malap dek mainan perasaan yang tidak berpenghujung. Masalah yang lebih utama dari masalah emosi mengambil alih prioriti tatkala ini. Mungkin kilasan ini bermusim atau menurut pepatah melayu 'hangat hangat tahi ayam sahaja' tapi moga moga Allah menjauhkan diri dari kesilapan yang lalu. Terima kasih kepada sahabat sahabat yang ada di sisi selama ini. Memberi motivasi bagi menguatkan diri. Jasa kalian tetap dikenang sampai bila bila. Selamat tinggal kepada penderitaan yang dicipta sendiri. Tiada guna berharap pada manusia. Berharaplah pada tuhan. Hanya Dia yang mengerti segalanya. Moga moga dengan penulisan kembali dalam blog ini mengembalikan kekuatan diri yang hilang selama ini. Bagi saya, menulis umpama satu motivasi buat diri sendiri. Menulis merupakan pancaran dari fikiran. Saya mahu tulisan tulisan dalam blog ini memancarkan fikiran yang matang, bernas dan tidak individualistik. Moga-moga penulisan selepas ini lebih bermakna berbanding dengan tulisan yang melukis segala kesedihan yang manfaatnya tiada apa.
Bagi yang pernah mengunjungi blog ini sebelum ini, maaf sekiranya penulisan dan nukilan dalam entri terdahulu membazirkan waktu kalian untuk membacanya. Ingin saya tegaskan bahawa blog ini adalah blog peribadi, dan apa yang diceritakan dalam blog ini adalah bersandar pada rasional saya sendiri. Baru baru ini saya tidak rasional dalam pelbagai perkara. Dan kerana itu, maafkanlah.....

Tuesday, August 01, 2006

Ayam berkaki tujuh

Sudah lama rasanya blog ini dipenuhi dengan cerita sedih. Semalam, tengah berbual dengan rakan rakan keluar satu lawak teka teki berbunyi "ayam apa berkaki tujuh?"
Jawapannya sungguh kelakar