Saturday, September 30, 2006

E03A

Potret kenangan E03A(tidak semua ada di sini)


Tiba-tiba teringat pula kepada rakan rakan lama di Kolej persediaan dahulu. Sudah setahun lebih ada di antara kami yang tidak bersua muka. Terlalu mengharapkan pertemuan kadang kadang menyerlahkan lagi perasaan kerinduan. Bila sudah rindu maka saya khususkan entri ini untuk mereka. Eh, jangan salah faham, saya lebih merindui famili dan 'achalasia' melebihi rindunya saya pada mereka. Tetapi saya rasa saya punya sebab untuk menujukan entri ini untuk mereka. Sebabnya saya terlalu sukar untuk berhubung dengan mereka. Maklumlah sejak mesej segera YM boleh menghilangkan diri(invi) maka ramailah yang menghilangkan diri. Malah ada juga yang kelihatan tetapi entah kenapa sukar bagi saya memulakan perbualan. Mungkin sudah lama tidak berjumpa maka tiada apa yang berbaloi untuk dibicarakan. Itu cuma agakan saya sahaja. Mungkin juga mereka terlalu sibuk dengan komitmen pelajaran dan sebagainya( 'dan sebagainya' digunakan kerana saya tiada idea lain tentang apa lagi yang menyibukkan diri mereka selain dari pelajaran. Haha.. teringat zaman menulis karangan di kala persekolahan dahulu).

Apa-apa pun kepada kalian saya doakan anda berjaya dalam tiap apa yang diceburi. Saya percaya kalian ada kemampuan yang cukup untuk menyertai golongan manusia yang berjaya.
Jika tiada kesibukan, maka hubungilah saya ya!




Bahtera yang berlabuh


Inilah bahtera
Bahtera yang tak pernah sunyi
Belayar di atas lautan perjuangan
Kelasi-kelasinya dilamun mimpi
Sedar dipukul
Ombak realiti

Sekian lama meredah gelora
Sekian lama kelasi kelasi itu bersama
Menongkah arus
Meredah ribut dan badai
Tiba masanya berlabuh
Tanda tamatnya ikatan
Mencipta erti sebuah perpisahan

Bahtera yang kita bina atas nama ini
Kita panggilnya E03A(dipanggil mungkin)
Kita bina dengan utuh persahabatan
Kita gerakkan bersama tiupan semangat
Kita layarkan dengan rentang kesabaran

Hingga akhirnya kita labuhkan bahtera ini
Bersama memori ciptaan sendiri
Memori yang tak bisa dicipta kembali

Hingga kita bertemu lagi
Setelah berlabuh di pesisir ini
Jangan kau lupa bahtera ini
Sematkan setiap saat kita di sini
Bersama ingatan yang tulus murni

Thursday, September 28, 2006

Ramadan yang menguji kita

Dalam kemuliaan ramadan ini kami diuji dengan satu dugaan yang sangat tidak diduga. Kami dalam entri kali ini merujuk kepada rakan-rakan serumah di 301 Riccarton. Pulang sahaja dari tarawih di surau universiti kami disambut dengan berteraburnya bilik hasil punggahan dari laci-laci kami. Sungguh, saya dan rakan rakan sungguh terkejut kerana peristiwa itu. Sungguh kejam kenyataan yang terpaksa kami terima kali ini. Rumah kami telah dipecah masuk!!.

Dalam peristiwa sedih yang terjadi semalam, 4 daripada 8 bilik di rumah kami telah diceroboh masuk. Mana yang berkunci dikopak habis pintunya. Apa yang diambil? Pencuri haram jadah yang tak berguna walau sesen pun ini mengaut laptop, telefon bimbit, kamera, wang ringgit(ringgit tau bukan dolar(lima belas ringgit pun nak ambik, sabar je la ye alip), wang dolar, ipod, jam tangan dan juga sebuah basikal. Alhamdulillah, basikal itu hanya ditinggalkan di tepi jalan di satu lorong. Mujur Aiman ternampak akan basikal itu pada tengah hari hari ini. Mungkin si pencuri haram tak berguna satu sen pun ini terasa kasihan atau terasa malas mahu mengayuh basikal itu.

Peristiwa semalam mengingatkan kami agar sentiasa berhati-hati dengan keselamatan rumah kami. Selama ini tidak pernah saya terfikir yang rumah kami akan diperlakukan sedemikian. Namun, takdir Allah tidak mustahil. Mana-mana hamba yang mahu diuji pasti akan dibayar tunai dan terpulanglah pada yang diuji sama ada mahu redha atau tidak. Sungguh, kami berasa sedih dan amat ketakutan. Kami bukan takut kerana mahu bertumbuk dengan pencuri haram jadah tak berguna satu sen pun itu. Kami cuma takut kerana kami dapat merasakan bahawa pencuri haram jadah tak berguna satu sen pun ini memiliki kunci rumah kami!. Bayang kan jika mereka datang kembali dengan keinginan mahu merompak empat lagi bilik yang mereka tinggalkan sebelum ini. Kami merasa sangat hairan dan pelik akan cara yang mereka gunakan untuk memasuki rumah kami. Tiada kesan kopakan di pintu utama. Kami cukup pasti bahawa rumah kami dikunci seperti biasa dan atas dasar ini kami merasakan pencuri haram jadah tak berguna satu sen pun ini boleh memasuki rumah kami sekali lagi.

Saya secara peribadi merasa sangat tidak tenteram dan bimbang. Perasaan kasihan terhadap rakan rakan yang lain turut menyelubungi diri. Benar, tiada siapa yang mahu rakan rakan mereka ditimpa musibah yang memedihkan. Bayangkan hasil usaha anda selama bertahun tahun, koleksi gambar kenangan, video-video berharga, hadiah dari yang tersayang hilang begitu sahaja tanpa mampu anda mempertahankannya. Saya bersyukur kerana bilik saya terselamat untuk kali ini.

Kepada rakan rakan 301, sabarlah. Kita punya tuhan untuk kita adukan perkara ini. Kita masih ada ramadan yang mengubat hati. Berdoalah kepada Allah agar kejadian yang sama tidak berulang lagi. Berdoalah kepada Allah agar kerugian ini hanya sementara dan dibalas ganjarannya dengan kesabaran kita. Saya benar-benar kagum dengan rakan-rakan saya ini kerana masih mampu tersenyum dan ketawa pada malam itu. Semangat kalian amat menyentuh hati saya. Sabar ya rakan-rakan. Juga haraplah kepada Allah agar pihak yang tertentu dapat membantu kita dalam menanggung kerugian ini.

Terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi menghulurkan takziah kepada kami. Kehadiran Ummu, Bud, Pisang, Atoy, Iqbal, Wan Fadli, Ila, Ira dan Drew amat kami hargai. Sesungguhnya kami amat terharu dan menghargai kebimbangan yang dicerminkan kalian.

Ramadan kali ini menguji kami
Semoga kami tahan diuji

[Baru diupdate]
Tambahan: Terima kasih daun keladi juga kepada Kakok dan Bijan yang sudi mengunjungi kami sebentar tadi.

Nota:Ada tambahan nama Ummu. Penulis benar benar terlupa. Bukan sengaja ya

Thursday, September 21, 2006

Achalasia II

Mata agak mengantuk ( tahniah Xabi Alonso!)
Hidung agak berair ( selesema ada sikit sikit lagi)
Telinga agak tuli (nak kate tak di'service' baru aje rasenye)
Pipi kemerah merahan ( bukan blushing ye, tapi penat)
Rambut berpintal pintal (aduh! gel 'Schwarzkopf' yang menyakitkan!)

Jenama minyak rambut penulis tatkala ini

Sengaja saya mulakan dengan keadaan saya ketika ini. "Sungguh penat ya?". "Iya," jawab saya dengan penatnya. Sebentar sahaja lagi mahu bergerak ke uni untuk 'glading' (glading adalah perkataan yang difahami warga canterbury(bagi yang tidak tahu inilah masa untuk tahu) yang membawa maksud membuat kerja di dalam makmal komputer bernama 'The Glade'.) Tetapi dalam kepenatan dan keletihan saya sumbangkan sedikit tulisan untuk kita sama-sama berkongsi.

Sudah saya terangkan apa itu achalasia bukan?
Jika tidak faham maka hubungilah doktor doktor tempatan yang ada di sekeliling anda (Jangan doktor cinta dah la, jangan buat-buat terbatuk pula,uhuk uhuk uhuk)

Kenapa achalasia lagi?
Memandangkan bulan ramadhan al-Mubarak akan menjelang tiba. Maka saya rasa wajarlah achalasia ini diketengahkan dalam entri kali ini. Sebenarnya saya juga secara tidak sengaja berminat mengenai achalasia ini. Jadi tidak payahlah pembaca gusar jika kamu juga secara tidak sengaja mengetahui tentang achalasia ini kerana saya juga baru tahu dua tiga hari yang lepas. Jika kamu gusar juga maka saya tidak tahu nak kata apa. Apa apalah.

Amaran:Entri ini bukan berdasarkan kajian saintifik tentang achalasia!

Saya cuma gusar jika entri ini dijadikan rujukan oleh pencinta perubatan tentang topik saya ini. Sebenarnya achalasia yang saya ingin katakan ini adalah ketahanan untuk menelan perkara-perkara yang biasa ditelan. Apa yang biasa ditelan itu boleh jadi makanan atau minuman atau maklumat atau imejan atau bunyi-bunyian atau apa apalah yang saya rasakan sesuai(jika ada yang rasa tak sesuai, boleh berhenti setakat ini sahaja).

Memetik kembali definisi achalasia:
"Achalasia atau acalasia adalah kegagalan cincin cincin otot untuk berehat secara total"

Ramai sebenarnya antara kita yang bakal mendapat simptom-simptom achalasia ini di kala bulan puasa ini. Antara simptom-simptom itu adalah
1. Masih mengumpat
2. Masih melihat wanita seksi dan bermata keranjang
3. Masih berkata keji dan dusta
4. Masih mengadu domba
5. Masih meninggalkan solat
6. Masih kedekut
7. Masihku tak berdaya.....
8. dan sebagainya

Puasalah...Rehatkanlah diri secara total. Janganlah hanya berpuasa dari makan dan minum sahaja. Sebaliknya puasalah secara total. Hindarkanlah achalasia ini dan manfaatkan ramadhan ini tanpa sebarang penyakit yang pelik-pelik(bagi yang rasa achalasia ini ada dalam diri mereka, maka anda adalah pelik). Ramadhan menjenguk kita setahun sekali tanpa jaminan yang kita akan berjumpa lagi di tahun berikutnya. Maka, sambutlah ramadhan ini dengan jasmani dan rohani yang sihat secara total. Alangkah ruginya jika kita tergolong dalam golongan yang hanya mendapat lapar dan dahaga tatkala limpahan keampunan dan rahmat dibuka seluas-luasnya.

Sesungguhnya pesanan ini ditujukan khas buat semua yang mengaku dirinya muslim termasuklah buat diri saya kerana saya juga adalah seorang muslim. Harapnya ramadhan kali ini penuh makna.....Saya tidak mahu achalasia lagi!!!

[Nota pendek buat 'achalasia': 'Anastasia' masih menanti 'achalasia']

P.s 1: Jemputlah beramai ramai berbuka dan berterawikh di surau Universiti Canterbury. Semoga Allah merahmati kalian di bulan yang mulia ini.Ameen...

P.s 2:Kepada yang mula-mula menamakan kata kerja ke Glade sebagai Glading, saya mohon izin ya..(guna dulu baru minta, peduli apa saya)

Wednesday, September 20, 2006

Achalasia

Apa itu achalasia?

Achalasia atau acalasia adalah kegagalan cincin cincin otot untuk berehat secara total. Ia merujuk umumnya kepada esophageal achalasia, iaitu kegagalan neuromaskular esofagus yang bercirikan:
1. Turunnya kemampuan makanan untuk turun ke esofagus secara peristalsis
2. Ketidakmampuan kardia untuk berehat secara betul sebagai respon kepada proses penelanan.
(dirujuk dari wikipedia)

Saturday, September 16, 2006

Tiada yang lebih baik dari yang telah terjadi(2)

Tempe yang belum masak


Entri ini adalah sambungan dari entri yang terdahulu.(rujuk). Inti daripada entri ini adalah untuk mengajak diri saya dan pengunjung blog ini supaya redha dan bersabar atas segala ketentuan Ilahi. Dengan meredhai apa yang telah terjadi tidak bermakna kita lemah dan berputus asa. Sebaliknya, membantu kita untuk lebih berusaha dan terus berharap kepada Allah. Adakah seseorang itu lemah jika redha kepada Ilahi? Redha kepada apa yang buruk pada pandangan kita tidak bererti kita adalah pengalah(loser) ataupun penewas. Jika kita redha dan tabah maka kitalah yang paling kuat dan hebat!.

Mengapa saya berkata begitu?
Sesungguhnya manusia hanya mampu melihat sesuatu itu melalui daya akal pemikiran mereka. Manusia tidak mampu menilai apa yang sebenarnya ditakdirkan kepada mereka. Apa yang boleh dikatakan ialah manusia menilai sesuatu itu berdasarkan daripada kulitnya sahaja. Mereka yang hanya menilai durian hanya dari kulitnya pasti tidak tahu akan kelazatan isi di dalamnya. Sungguh, kulit durian itu hodoh dan menakutkan. Tetapi adakah dengan kehodohan kulit sahaja menggambarkan nilai sebenar sebuah durian?(contoh ini hanya bersesuaian dengan peminat durian sahaja, bagi yang tidak berminat silalah menggunakan contoh sendiri).
Apabila sesuatu yang buruk berlaku kepada kita maka tidak wajarlah kita menyalahkan takdir itu. Apa yang buruk itu sekadar menjadi tabir bagi kesenangan yang tidak dapat dinilai oleh kita.

Saya ingin berkongsi sebuah cerita yang saya petik dari tulisan Dr HM Tuah Iskandar dalam artikel beliau dalam majalah I, Siapa kita untuk 'memaksa' Tuhan?
(Saya mengolah cerita ini berdasarkan imaginasi sendiri. Ini bermakna inti cerita ini saya cedok dari tulisan beliau manakala susunan ayat sudah diubah demi keinginan saya sendiri,haha)

Kisah ini dikatakan berlaku di sebuah desa di Jawa Tengah, tetapi disebabkan keinginan saya, saya ubah lokasi ke daerah Banting, Selangor;
Ada seorang wanita tua yang bernama Jennifer binti Lopez(bukan nama sebenar, penulis tiada tujuan langsung mahu melawak). Dia lebih terkenal dengan panggilan nama makcik Jenny 'tempe' kerana pekerjaannya adalah menjual tempe secara harian di pasar minggu(Jual tempe hari-hari tapi pasar minggu buka sekali je seminggu? Nak reka cerita pun logik la Anas oi..Jawapan saya:Pasar minggu di tempat yang berbeza-beza, Isnin di kampung Labuhan Dagang, Selasa di Olak Lempit, Rabu di Salak Tinggi, dan begitulah seterusnya. Aku dah stat ngarut dah)

Makcik Jenny tempe ini adalah seorang muslimah yang taat dan sangat rajin beribadah. Dia rajin menunaikan solat sunat dan bangun malam bertahajud dan bermunajat kepada Allah.
Diceritakan pada suatu hari makcik Jenny ini sudah bersiap sedia untuk meneruskan rutin hariannya iaitu menjual tempe di sebuah pasar di Olak Lempit (soalan kepada pembaca:Hari apakah peristiwa ini terjadi?). Sebelum bertolak dia akan memastikan tempe-tempenya sudah masak dan sedia untuk dijual. Namun alangkah terkejutnya makcik Jenny apabila mendapati tempenye tidak masak lagi. Perkara ini amat mengejutkan makcik Jenny kerana kebiasaannya tempenya akan masak sebelum dia bertolak. Tetapi berlainan pula hari ini. Makcik Jenny tetap bertolak kerana itulah satu-satunya sumber pendapatannya. Makcik Jenny sedar dia tidak mempunyai biasiswa maka dia harus meneruskan jualan untuk hari ini demi sesuap rezeki sambil berharap dan bertawakal kepada Allah agar tempenya masak di dalam perjalanan nanti.

Apabila sampai di pasar dia pun memeriksa sekali lagi dan sekali lagi dia terpana dan kecewa. "Oh, sungguh tidak kusangka, tempeku ini sungguh hampeh" ujar makcik Jenny seorangan. Dia sangat dukacita dan hampir-hampir sahaja tempenya itu dimakan begitu sahaja demi melepaskan geram. Tetapi setelah difikirkan implikasi yang akan diterima sekiranya memakan makanan mentah(cirit birit, muntah, demam dan sebagainya) maka dia membatalkan niat untuk membaham tempe-tempe yang dikatakan hampeh itu. Dia terus berdoa kepada Allah agar tempenya masak sebelum kehadiran pelanggan-pelanggannya.

Tidak lama selepas itu, datanglah seorang wanita yang bernama Afira Haryati(nama ini tiada kaitan dengan kenalan penulis) mahu membeli tempe daripada makcik Jenny ini. Makcik Jenny sungguh cuak dan berdebar-debar kerana di sangat takut jika tempenya tidak masak lagi. Dia membayangkan wajah wanita itu yang pastinya marah dan bengang dengan tempenya nanti. Dia juga takut sekiranya wanita itu akan melabelkan tempenya sebagai hampeh dan menyebarkan cerita tentang keburukan tempenya kepada orang lain. Ini pastinya akan menjatuhkan reputasi makcik Jenny sebagai pembekal tempe utama di kawasan itu.
Dengan penuh debaran disertai dengan degupan jantung yang berdegup kencang, dia pun membuka bungkusan tempe.

[Cuba teka apa yang terjadi? Hint:makcik Jenny rajin bertahajud dan bermunajat kepada Allah. Maka adakah wajar Allah tidak mempedulikan permintaannya? Jadi saya jangkakan pembaca akan merasakan tempe itu sudah masak. Kalau tak jangka itu bermakna anda cukup matang dan pasti anda tidak menonton rancangan yang sudah dijangkakan kesudahannya. Maka, wajarlah meneruskan pembacaan kerana kesudahannya adalah sesuatu yang tidak dijangka]

Alangkah terkejutnya Makcik Jenny kerana tempenya tidak masak juga. Dia merasa hampa dan tidak sanggup lagi menjual tempe selepas ini. Belum pun sempat dia menyatakan hasratnya untuk bersara dari perniagaan tempe dan meminta maaf atas kesilapan tempenya, wanita tadi berkata..."Alhamdulillah, sudah puas saya mencari di merata-rata tempat, baru sekarang ini saya terjumpa.."

Kata-kata Afira Haryati tadi benar-benar tidak dijangkakan oleh pembaca sekalian(betul tak?)Begitulah juga dengan Makcik Jenny. Dia tidak sangka lantas menanyakan punca kata-katanya.

"Saya sebenarnya sedang mencari kalau-kalau ada orang yang menjual tempe separuh masak untuk dikirimkan kepada anak saya yang sedang belajar di luar negara. Dia ada di New Zealand sekarang. Saya perlu tempe separuh masak supaya apabila sampai kepadanya maka tempe ini akan cukup-cukup masaknya. Jika saya mengirimkan yang cukup masak,mungkin tempe ini sudah berulat dan tidak boleh dimakan lagi."

Wanita itu terus membeli kesemua tempe Makcik Jenny tadi. Sungguh dia tidak pernah terfikir akan hal ini. Lantas dia mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Benar, manusia tidak pernah tahu apa yang sebenar-benarnya terbaik untuk mereka....

Sambungan(dua tiga minggu selepas itu),
  • Anak bagi Afira Haryati tadi kecewa kerana tempe-tempe kiriman ibunya tadi ditahan kastam New Zealand. Kempunanlah anaknya tadi. [Nota;kastam New Zealand sangat tegas dan berkira. Saya pernah ditahan hanya kerana mempunyai paras seorang pengganas(dari perspektif barat)]
  • Makcik Jenny telah memeriksa resipi tempenya dan telah memutuskan untuk memasarkan tempe separuh masak ke seluruh negara. Makcik Jenny telah menjadi jutawan kerana hal ini.
Saya berharap pembaca yang dihormati sekalian dapat mencari pengajaran daripada cerita ini. Saya percaya kalian pasti mampu mencarinya.

P:s; Saya rindukan tempe dari Banting...
Lagu yang menjadi pilihan adalah dendangan Yellowcard-Only One. Lagu ini ada kaitan dengan kisah silam penulis. Jika tidak suka maka gunakan media player yang telah
disediakan di bawah chatterbox. Jika tidak berkesan,sila tutup sahaja speaker anda.

Friday, September 15, 2006

Aku dan ego

Minggu ini berakhir dengan sebuah ujian subjek Bahan bahan kejuruteraan berkod ENCH202(jika ada terjemahan untuk kod ini nescaya saya akan terjemahkan dalam bahasa melayu,cadangan terjemahan:KKDP202) Minggu ini agak sibuk bagi diri saya kerana terpaksa mengulangkaji pelajaran demi dua subjek dalam tempoh tiga hari. Minggu hadapan pula saya bakal dihidangkan dengan makanan assignment yang bertimbun-timbun dan lab report 'boiler' dan 'evaporator' yang hasil tambah mukasuratnya boleh menjangkau ke angka 100. Tempoh penyiapan adalah selama 2 minggu. Moga-moga dapatlah disiapkan. Moga hendaknya. Banyak peristiwa dan pandangan yang saya ingin utarakan sepanjang dua hari lepas. Namun begitu, kesibukan mencantas keinginan yang membuak-buak itu. Maka pendapat dan idea-idea saya itu hilang bagai debu yang ditiup angin. Saya akan mencuba mengingati kembali apa yang ingin ditulis dan dengan segala upaya akan memperbaharui blog ini dengan entri-entri yang berkaitan.

Tajuk entri ini saya sengaja taruhkan begitu. Alasan?

Baru-baru ini saya menerima mesej friendster dari kawan sekolah saya. Saya meminta maaf kepada kawan saya ini kerana menyiarkan mesej ini untuk tatapan umum. Saya merasakan pendapat kawan saya ini sebagai bernas dan kena dengan diri saya.
-------------------------------------------------------------------------------------------

Who I Want to Meet:
manusia berkad pengenalan ini.. 850807-03-5564...

Kad pengenalan aku 850807-14-5034..applicable x??dah kira 60% betul tu..hehehe...

Sajer aku da bosan2 so aku singgah kat sini skjp walaupun aku tau aku x diharapkan.. (sedar diri..)..
Sajer nak meraban..Bosan2 sronok gaks melawat http://www.kisahitu.blogspot.com lama dgr rumors so nak tau gaks kebenarannya...sajer nak bc pendapat "giler" ko..Simpati ader..rs nak ketawa pn ader gaks..X sangka lelaki yang aku kenal ngan ego n toughnyer selama ni tersungkur teruk kerana cinta...but..its life anyway...

thanks sbb bg aku versi baru "tntg Cnta"...

First luv not to be forget..but to be learn from...
(aku x terrer bi so sowi klu slh...)

Gud luk in e'tin..adios.........


----------------------------------------------------------------------------------------
Terima kasih saya ucapkan kepada si pemberi mesej. Terima kasih juga kerana sudi singgah di blog yang penuh dengan pendapat 'gila' dek kerana tersungkur di jalanan cinta. Saya pernah tersungkur dan kini saya bangkit kembali.
Tidak perlu bersimpati ke atas apa yang berlaku kepada saya kerana simpati itu tidak kena pada tempatnya. Kenapa harus bersimpati pada seorang manusia yang tidak setia?
Wajarlah kamu mentertawakan sahaja. Dan saya tidak kisah langsung.
Kepada si pemberi mesej, saya tidak mengharapkan dan tidak pula tidak mengharapkan sesiapa sahaja yang ingin bertegur sapa. Peristiwa zaman sekolah dahulu saya sudah lupakan dan melaluinya saya mengenal erti dewasa. Terima kasih kerana menjadi watak yang mengajar saya akan keburukan ego(saya akui saya tersangat ego,dahulu).

Terima kasih

P:s; Entri kali ini sekadar untuk dikongsi kerana penulis sedar kehidupan ini ibarat roda. Saya mengakuinya....Jika si pemberi mesej membaca entri ini, maafkan saya kerana menyiarkannya. Saya lakukannya kerana saya tersentak dengan realiti kehidupan. Saya tergamam bagaimana manusia ini mudah benar diketawakan.

Tuesday, September 12, 2006

Tujuan blog ini Buat aku tersenyum kembali

Saya tidak dapat menahan keinginan tangan ini untuk menaip di dalam blog ini. Tangan saya benar benar mahukan senaman dengan mendesak saya agar menulis walaupun saya akan menghadapi ujian pada keesokan harinya. Ujian itu adalah ujian dinamik haba atau termodynamic. Banyak idea-idea yang tiba-tiba datang bagaikan lalat yang mengerumuni sampah busuk(perumpaan ini tiada kaitan langsung dengan idea saya sebagai lalat dan saya sebagai sampah busuk, saya cuma mahu mencipta perumpaan baru).

Perkara pertama yang saya ingin tulis dalam entri kali ini adalah berkaitan dengan tujuan atau objektif blog ini. Saya sedar bahawa dalam dua tiga entri yang lepas saya ada menyentuh tentang isu-isu politik. Saya berada di dalam dilema juga ketika mahu mencetak entri-entri seperti itu. Hal ini bukanlah kerana saya takut akan tanggapan pembaca bahawa saya pro kepada orang ini dan orang itu atau pun saya takut dipantau oleh pihak kerajaan. Tidak! Setegas-tegasnya saya katakan tidak!(bayangkan nada tegas penulis. Simbol '!' adalah tanda tegas dan penuh serius,manakala tanda 'i' bukanlah inverse kepada '!' atau tanda tidak tegas dan tidak serius, tetapi adalah sejenis huruf, iaitu huruf i (disebut sebagai 'ai').

Saya teringat di kala saya mula-mula berkecimpung di dalam blog ini(4 bulan yang lalu), di dalam entri pertama saya yang bertajuk 'menulis sekadar bercerita' saya ada menegaskan bahawa blog ini tidak akan memberikan ruang kepada perkara berkaitan ilmiah, tarbiyah dan juga politik.Tidak percaya? Percayalah ...

'Blog ini bukan blog ilmiah, jua bukan blog politik, jua bukan blog tarbiyah, tapi sekadar coretan rasa yang dirasakan patut dikongsi agar kegembiraan dan kesedihan dapat dijadikan iktibar buat khalayak.'

Jadi kenapakah saya menggatalkan tangan saya dengan menulis perihal politik?
[nota: penulis tidak bermaksud mahu memberi penjelasan kepada komen dari 'anonymous dalam entri 'buat aku susah untuk tersenyum' tetapi penulis telah lama terfikir akan hal ini, cuma komen itu yang memberi sedikit keadaan yang mendesak kepada penulis untuk menulis tulisan ini.]

1. Jika diperhatikan arah blog ini bermula daripada kelahirannya sehingga sekarang, bentuk-bentuk tertentu akan dapat dikesan. Dan percayalah, bentuk bentuk itu adalah terbentuk daripada naluri hati sendiri. Ada satu tempoh di mana entri-entri saya kesemuanya berbentuk 'bentuk hati' yang sungguh sayu dan meloyakan. Saya akui saya tulis semua itu agar si dia membaca blog saya(walaupun dia tidak pernah tahu saya ada blog ini) dan bersimpati atas penderitaan saya ketika itu. Maka kebanyakan entri saya adalah bercirikan cinta dan perasaan(penulis percaya ramai yang geli dan mahu muntah,peduli apa jika ini kebenaran!). Dan ada tempoh yang saya coretkan bibit-bibit kebangkitan saya dari lamunan mimpi-mimpi ini(jangan lupa tajuk blog ini ya,Kejutkan Tidurku. Ke sepatutnye panjangkan lagi tajuk blog ini kepada 'Kejutkan Tidurku dari Mimpi Buruk tetapi Jika Mimpi Indah Usahla Kejutkan.)

Maka kenapa politik?

2. Berdasarkan tajuk blog lagi, saya terkejut dengan perkembangan politik masa kini yang saya kira sudah cukup untuk memberi ruang untuk saya mengulas terhadap apa yang berlaku. Politik semasa saya kira adalah sangat penting untuk kita ikuti dan ekori. Janganlah menjadi golongan orang yang hanya mengangguk dan menyetujui akan sebarang keputusan yang diluluskan oleh kerajaan. Percayalah, kerajaan juga ada silapnya kerana mereka diterajui oleh manusia dan manusia wajib melakukan kesalahan. Walaubagaimanapun, saya tidak akan mengutamakan politik dalam penulisan saya. Saya sekadar sentuh sikit-sikit atau cuit bahagian mana yang patut dikongsi untuk menggalakkan rakan-rakan saya mengikutinya sekali. Terpulanglah kepada anda untuk menilainya.

Jadi kenapa Mahathir?

3. Saya bukanlah penyanjung individu tertentu dan saya bukanlah penyokong fanatik bagi seseorang individu mahu pun pergerakan. Saya cuba menanam sikap melihat kebenaran dan keburukan itu sebagai satu entiti yang berbeza dari individu. Ini bermakna, saya tidak menyukai individu itu secara membuta-tuli atau memekak-muki tetapi adalah berdasarkan pegangan dan asas yang dibawa. Saya tidak menyanjung Mahathir selama ini. Sungguh saya tidak. Bahkan Najib pun tidak, Anwar pun tidak, Nik Aziz pun tidak, siapa-siapa lagilah yang berkaitan dengan arena politik tanah air. Saya cuma menghormati pendirian dan pegangan mereka. Saya bersetuju dengan tindakan Mahathir yang mahu memperbetulkan kesalahan dan kelemahan kerajaan tatkala ini dan saya mengagumi kegigihannya dan ketegasannya yang sanggup bersusah dan berpayah walaupun boleh bersenang lenang di rumah bersama anak cucu. Saya tidaklah mahu menutup mata atas kesilapan Mahathir selama 22 tahun pentadbirannya, tetapi jika kita terus menyimpan dendam, maka sebarang kekusutan saya percaya tidaklah akan terlerai melainkan ia akan bertambah kusut lagi. Ini bermakna kerajaan sekarang silap dan kusut. Lain yang ditanya lain pula yang dijawab. Lain padang lain belalang, orang tak tanya yang tu lah bangang!(saya tidak emosi,cuma tegas, perhatikan lagi simbol ! yang penulis gunakan)

[Sebentar tadi saya berhenti menulis sebentar kerana ada latihan nasyid sempena ceramah Yusuf Estes nanti. Jika ada kecelaruan atau ketidakselarian dalam penulisan saya maka terimalah seadanya]

[Dalam menjawab soalan kita harus menjawab terus kepada soalan, bukan memutar belit dan mengembalikan soalan kepada penyoalnya pula!. Kalau saya tanya kenapa anda busuk, janganlah anda menunjukkan orang lain yang lebih busuk dari anda, tetapi jawablah apa yang menyebabkan anda busuk]

4. Penulisan saya sekadar mahu memberitahu dan bercerita tentang perkara yang saya rasakan berkaitan dengan hidup saya. Bermulanya saya menyentuh tentang politik adalah kerana kehadiran pak menteri tempoh hari lalu. Saya sebenarnya tidaklah berniat asalnya untuk menulis begitu, tetapi apa nak buat, perkara itu benar-benar membuat saya tersenyum. Alang-alang telah sentuh, maka saya seluk dalam dalam lagi. Momentum itu saya bawa sehinggalah kepada isu Tun di Kubang Pasu. Mungkin selepas ini saya tidak akan sentuh lagi perkara politik.(mungkin). Saya rasakan begitu kerana sudah berlambak blog yang menyentuh hal ini dan saya rasa rendah diri dan saya tidak mahu mencemar dunia blog politik ini dengan ilmu saya yang rendah dan pemikiran yang tidak kritis.


Maka itulah sebab-sebab yang menyebabkan tulisan saya dalam entri-entri yang terdahulu agak condong kepada politik.
Tujuan saya menulis blog ini membuatkan saya tersenyum kembali. Saya menulis bukan kerana populariti. Bukan mengharapkan pujian. Bukan mengharapkan cacian. Tetapi saya mengharapkan pembaca. Tanpa pembaca siapalah penulis. Tanpa penulis tiadalah pembaca. Dua entiti ini adalah saling melengkapi.

'U cant plant a mango seed and hoping for an apple tree'-meminjam kata-kata Al-Maududi

Saya rasa sudah cukup rasanya saya membebel di alam siber ini. Saya mahu mengulangkaji untuk ujian esok hari. Doakan saya ya..

P.s; Kepada orang christchurch: jangan lupa ya esok, Yusuf Estes dan ceramahnya. Ajaklah rakan-rakan anda yang lain turut sama..
Harap-harap Ian Gilmour akan turut serta,hehe

Sunday, September 10, 2006

Buat aku susah untuk tersenyum

Entri ini ditulis dengan penuh ketidapuashatian bersama rasa kecewa dipalit sebuah realiti. Perasaan seperti ini menyukarkan saya untuk tersenyum. Walaupun senyum itu merupakan senyuman yang terpaksa, masih tidak mampu saya ukirkan. Sebabnya?

1. Kekalahan Tun Mahathir sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno
[saya tidak berminat untuk ulas]

2. Keserian New Zealand dengan Pakistan dalam pertemuan mereka baru-baru ini.
Saya masih berdendam dengan pasukan stik hitam ini kerana merekalah yang mengalahkan Malaysia dalam pusingan kelayakan ke Kejohanan Hoki Piala Dunia 2006. Saya mengharapkan Pakistan mampu membenam mereka setelah kepercayaan yang diberikan kepada Argentina gagal dilunaskan dengan baik[Argentina tewas 0-3].

3. Saya dah mengantuk
Saya sangat mengantuk dan mahu tidur. Sukar nak tersenyum bila mengantuk. Tambahan pula saya diserang penyakit selesema dan batuk berkahak.

Entri ini bolehlah dikategorikan sebagai entri spam kerana saya tidak bersedia untuk mencurahkan sesuatu yang lebih terancang. Entri ini ditulis sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Saya mahu tidur bersama perancangan untuk esok dalam ingatan. Saya mahu bangun bersama apa yang telah dirancangkan dalam perbuatan. Saya mahu tidur esoknya bersama perbuatan seperti di dalam perancangan...

Selamat malam semua

[abaikan tulisan saya yang di atas]
Sebenarnya saya menulis malam ini adalah kerana saya tidak puas hati dengan kekalahan Tun Mahathir dan reaksi yang diberikan oleh datuk Joe selepas itu. Saya rasa lakonan Joe ini cukup murahan dan cukup memalukan. [Ini sahaja yang hendak saya tulis sebenarnya, tiada kaitan dengan pasukan hoki stik hitam mahupun selesema. Bukankah sakit itu kifarah dosa? Alhamdulillah..Cuma saya betul-betul mengantuk sekarang]

Selamat malam semua[kecuali datuk Joe, Osman Arof, Saad Man dan sebagainya]

Friday, September 08, 2006

Buat aku tersenyum (2)

Entri ini bukanlah sambungan entri yang sebelumnya. Entri ini sekadar mencoretkan perkara pada minggu ini yang melembutkan/memudahkan/menggalakkan bibir ini supaya tersenyum(saya sangat serius). Tidak kiralah senyuman ikhlas atau sinis atau terpaksa semua saya akan tuliskan dalam entri kali ini.

1. Kepuasan menyiapkan assignment
Assignment yang harus dihantar pada minggu ini telahpun selamat tiba kepada pemberi markah assignment. Terima kasih kepada encik razwi kerana sudi menjadi rakan kongsi dalam usaha menyiapkan assignment MAtlab kerana sesungguhnya saya sangat tiada idea mahupun ilham dalam menghasilkan kod-kod Jacobian mahupun kod-kod Newton. Ketika baru sehari lega dengan assignment maka hari ini saya telahpun mendapat dua assignment baru. Dan sekali lagi saya tersenyum...

2. Kenaikan yang ada turunnya
Begitulah prinsip keabadian tenaga. Jika ada tenaga yang naik pasti ada tenaga yang turun. Jika tenaga potensi turun(potential energy) maka tenaga kinetik akan menjadi naik. Begitulah juga dengan biasiswa. Dalam entri lepas saya tersenyum kerana biasisw a dinaikkan.(buat ape nak senyum lagi ni,ape cer wei?) Kali ini saya tersenyum lagi kerana baru sekarang saya tahu hukum keabadian tenaga juga diikuti oleh hukum menaikkan biasiswa. Saya tidak mahu menjelaskan lebih lanjut kerana hal ini kontroversi dan mungkin mengakibatkan tajaan ke atas saya ditarik balik(itulah kelemahan saya setakat ini). Apa yang boleh saya katakan kenaikan ini hanyalah pada nama. Walaubagaimanapun saya tetap boleh tersenyum lagi...(saya dah cakap kalau senyum sinis pun masuk jugak dalam entri ni kan??). Bersyukurlah ..

3. Tangisan datuk Joe
Siapakah datuk Joe ini? Datuk joe ini merupakan Ketua UMNO bahagian kubang pasu yang telah menitiskan airmatanya kerana merayu agar Tun Mahathir melepaskan hasratnya menjadi perwakilan ke Perhimpunan agung Umno November ini.pautan. Bagai telah mati akal dek kerana kedegilan Mahathir maka dia telah menitiskan air matanya dengan hasrat Tun Mahathir akan bersimpati dan mengerti akan niat 'ikhlasnya' menghalang Tun Mahathir dari mewakili bahagiannya ke persidangan itu nanti. Banyak perkara yang melucukan apabila memerhatikan sandiwara dalam politik negara kita ini. Aduhai,mereka berkata martabat Tun Mahathir akan jatuh sekiranya sekadar menjadi perwakilan nanti, bukankah beliau adalah negarawan yang ulung?Kenapa harus menjadi perwakilan pula? .Apa apalah. Bagi Tun, beliau sendiri tidak kisah menjadi perwakilan nanti. Malah beliau terus berpendirian tegas dan mencabar ahli UMNO sekiranya mereka di pihak yang benar maka mereka tidak perlu takut akan kehadiran beliau nanti. Salahkah anggota polis yang bersara menjalankan tugasnya menangkap penjenayah sekiranya penjenayah itu memasuki rumahnya? Adakah bekas anggota polis itu menjatuhkan martabatnya dengan masih menjaga keselamatannya walaupun tidak berpakaian seragam polis? Begitulah situasi Tun yang melihat rumahnya(negaranya) yang berada dalam situasi yang goyah ini. Tun hanyalah pesara politik yang selamanya bekerja atas nama politik. Sesungguhnya tiada istilah bersara bagi sesiapa yang dalam perjuangan. Saya bukanlah ahli komentar politik tetapi saya merasakan bahawa keadaan ini benar-benar menarik untuk dibincangkan. Kenapa Umno benar-benar gelisah dengan usaha Tun ke perhimpunan Agung nanti?

4. Bunga yang cantik
Kehadiran spring menghadiahkan pemandangan yang cantik di sekitar universiti. Subhanallah. Benar-benar menyejukkan hati yang sentiasa panas dengan ketidakpuashatian dan kebencian. haha."takdelah gurau je".


Pemandangan bunga -bunga


Oh bunga-bunga jalanan
Segar kau mekar
Bagai melempar senyum buatku
Lantas ku sambut senyummu
Dengan memuji penciptamu

Aduhai bunga-bunga jalanan
Kau mekar berwaktu
Kau bakal tinggalkanku
Tapi kau akan muncul lagi
Dengan izin penciptaku

Bunga-bunga jalanan
Kau ukir senyumku
Dengan indah putikmu
Kau sulam hariku
Dengan lembaran indahmu

5. Khutbah jumaat
Saya sempat tersenyum kerana pak khatib hari ini(iqbal) ada menyebutkan bahawa sehari sebelum ramadhan Nabi S.A.W melarang umatnya dari berpuasa. Larangan itu tiada kaitan langsung dengan alasan supaya kita boleh makan sepuas puas hati sebelum masuknya bulan berpuasa(sebab sebenar saya dah lupa,siapa yang ingat tolong perjelaskan ya,khususnya saudara Iqbal atau abang burungkiwi). Saya tersenyum kerana dahulu saya sering berfikiran begitu. Umpama menikmati makanan buat kali terakhir la kononnya. (haha, saya tersenyum lagi apabila melihat bijan/syahrul hizan juga tersenyum sama,(adakah dia berfikiran begitu juga?haha). Bulan puasa hampir tiba, bulan bonus bagi umat Islam.,moga moga saya sempat memanfaatkan bulan itu...

Jadi inilah perkara yang membuatkan saya tersenyum pada kali ini. Segala pandangan adalah pandangan peribadi dan tidak berniat melukakan hati sesiapa sahaja yang singgah di sini.

P:S, sesiapa yang berminat menjadi sukarelawan untuk ceramah Yusuf Estes nanti boleh hubungi hanafee,saya,aiman,iqbal atau terus kepada saudara Abdul Kader melalui emel beliau iaitu colourcopying@yahoo.com

Tuesday, September 05, 2006

Buat aku tersenyum

Senyum!!


Makan malam dengan Dato' Mustapa Ahad yang lalu telah membuatkan saya tersenyum sendiri. Mungkin 13 haribulan 9 nanti saya akan lebih tersenyum..mungkin..Kehadiran beliau disambut dengan begitu hangat hinggakan mahu mencapai takat didih bagi manusia dan melebihi kehangatan hangat-hangat tahi ayam. Bagi saya kehadiran beliau saya terima sekadar lawatan yang biasa sahaja tetapi kehadiran beliau masih mampu buat saya tersenyum. Kenapa ya?

1. Pengumuman kenaikan biasiswa..
Syukur Alhamdulillah kerana akhirnya pihak penaja bersetuju menaikkan biasiswa pelajar di oceania ini. Harap-harap sahabat-sahabat yang lain senang dengan berita ini(sahabat u.k dan u.s). Jangankan kerana kesenangan orang lain kita merasa susah dan berusaha pula untuk mencadangkan agar kenaikan ini dikaji semula. Begitulah juga dengan hidangan makan harian yang kami dapat sebelum ini(tahun depan dah tak dapat,puas hati??). Apa-apapun syukur ya.

2. Ucapan Pak Menteri
Saya tak berniat mahu menyentuh isu 'panas' politik tetapi ucapan dari pak menteri benar-benar menggelikan hati saya dan membuktikan beberapa perkara yang selama ini saya dengar dan ikuti dari blogger-blogger yang digelar sebagai 'penembak curi' itu.
Beliau bermula dengan isu-isu pendidikan dan pada pengakhiran ucapannya mula berbicara soal politik semasa. Benarlah kata Tun Mahathir bahawa kebanyakan ahli kabinet sekarang hanya menyokong individu bukannya menyokong kepimpinan individu terbabit. Maka nama PM telah cuba dibersihkan sebersih bersihnya pada malam itu. Walhal saya rasakan tindakan beliau membersihkan itu sebenarnya lebih menonjolkan kepincangan 'Mr Clean' itu sendiri. Aduhai politik,benar-benar menggelikan hati.
Baru-baru ini encik bersih kantoi menipu..hehe

3. Sesi soal jawab bersama pak menteri
Saya tertarik dengan soalan yang ditujukan oleh saudari Azalea berkaitan dengan hiburan di Malaysia. Dia mempersoalkan kedudukan hiburan yang seolah olah menjadi prioriti rakyat Malaysia tatkala ini(mungkin lebih tepat orang melayu).Perkahwinan dato' K dan Siti nurhaliza dan juga putusnya tunang Mawi dan Ina mendapat rating yang sungguh menakjubkan. Apakah peranan kerajaan dalam hal ini? Maka saya simpulkan dalam hal ini bahawa kerajaan berperanan menggalakkan hiburan segalak galaknya. Pak menteri cuba menuding jari kepada media massa. Tapi siapa yang berkuasa mengawal media ya?
Haha(saya tersenyum lagi)

Hiburan adalah dadah yang amat berkesan. Hiburan mampu mengalihkan tumpuan manusia dari perkara yang lebih penting dan utama. Banyak contoh yang boleh kita ekstrak dari kehidupan seharian kita. Isu palestin dahulu pernah dikabui dengan Piala Dunia. Perang di Lebanon diatasi oleh akademi fantasia. Contoh terbaru, Menteri Besar N.S menawarkan masuk percuma kepada penyokong-penyokong pasukan bola sepak N.S Naza sedangkan pada hari itu Tun Mahathir akan turun ke Negeri Sembilan dengan misi ucapan terbukanya(dengan harapan tiada siapa akan melayan kokokan Tun Mahathir agaknya)pautan. Hiburan ini menjadi senjata pihak pemerintah untuk mengalihkan tumpuan rakyat dari isu yang lebih besar dan utama. Maka tidak hairanlah hiburan disuap-suap dengan galaknya kepada rakyat yang sememangnya lapar dengan makanan yang menenangkan jiwa. Dimanakah lagi mahu dicari ketenangan andai ketenangan dari keimanan tidak diberi penekanan lagi??

[sambungan]
4. Makanan yang lazat dan enak
Terima kasih kepada yang terlibat dalam urusan penyediaan makanan. Ia sangat lazat sekali. Lebih pun banyak,maka dapatlah menapau dengan sesuka hati.
5. Assignment yang tidak siap lagi
Bayangan assignment sering bermain di minda sepanjang majlis berlangsung. Saya tersenyum kerana saya mampu tersenyum sedangkan banyak lagi yang harus disiapkan.hehe. Progress sekarang satu lagi assignment tinggal dan satu test telah ditunda ke minggu hadapan(benar, dalam kesusahan itu ada kesenangan,Alhamdulillah)

Saya rasa perkara-perkara inilah yang membuatkan saya tersenyum pada malam itu. Semua yang ditulis adalah pandangan peribadi dan saya percaya ia tidak 100% tepat. Saya meminta maaf jika ulasan ini ada berbau politik dan menyentuh perasaan para penyokong fanatik kerajaan tetapi percayalah pengalaman mendengar sendiri ucapan dari pak menteri benar-benar membuatkan saya geli hati dan tersenyum(juga cadangan penubuhan kelab UMNO).

P.s:Jangan lupa ya kawan-kawan. Yusuf Estes akan ke Christchurch tidak lama lagi..Maka sambutlah dia sebagaimana kita sambut pak menteri ya(sesetengah orang akan mempersoalkan ini, tetapi bagi saya kehadiran Yusuf Estes lebih bermakna buat saya)
Quote:Tak wajib betul,tapi harus salah

Saturday, September 02, 2006

Salah siapa? Menteri kot....

contoh assignment yang telah siap

Cuti musim bunga hampir tamat. Cerita assignment dan report baru bermula. Masih ada 3 lagi assignment yang belum disentuh. Baru sahaja menyiapkan dua formal report. Nampaknya terpaksalah berjaga untuk dua hari ini(Ahad dan Isnin).Kemudian berjaga lagi(Rabu). Rasa-rasa macam dah menyusun gerak kerja untuk cuti kali ni, Tapi masih juga ada timbunan kerja yang belum disiapkan. Aduhai apakan daya,manusia mampu merancang tuhan jugalah yang menentukan. Maka inilah masanya untuk menuding jari pada situasi. HAhahA. Siapa yang bersalah sebenarnya sehingga saya tidak dapat menyiapkan timbunan kerja ini?
Orang pertama yang saya nak tuduh ialah pak menteri. Hari Ahad ini Menteri Pengajian Tinggi Malaysia akan melawat bumi bertuah Christchurh ini. Maka saya dengan rela hati dan tanpa dipaksa bersetuju mahu menyertai persembahan pantomim. Pada asalnya berat rasa hati mahu menjadikan diri sendiri sibuk sedangkan dalam keadaan sebenar kerja sebenarnya sangatlah banyak.(Banyak ke sampai boleh blogging ni?ade je mase.. Ah,aku da bosan dengan report,nak menulis dalam bahasa melayu pulak). Tapi melihatkan keadaan, terpaksalah juga menyertai atas sebab sebab tertentu(terlalu peribadi untuk diceritakan,hehe). Sebenarnya saya telah menjadikan minggu terakhir cuti ini sebagai minggu menyiapkan segala kerja. Namun kehadiran menteri ini telah menyebabkan saya kehilangan arah dan hala tuju. Kehidupan jadi tidak menentu,haru biru,emosi terganggu hariku kelabu(unsur hiperbola)...
Saya menyalahkan menteri ini bukanlah kerana saya penyokong parti pembangkang,jua bukan kerana isu kabinet half past six with no guts mahupun apa-apalah yang berkaitan politik. Tetapi kerana kehadirannya menyebabkan saya sudah hilang rentak untuk menyiapkan kerja.

Siapa lagi agaknya yang bersalah?
Pensyarah la sapa lagi kan? Siapa suruh kasi assignment banyak-banyak. Kasi la sikit-sikit, bertimbangla rasa sikit ye tak?

Pesalah seterusnya adalah semua yang tengah membaca blog ni. "Amboi,sedapnya mulut awak berkata!" rintih pembaca blog(mereka tidak bersalahkah? mereka? kamulah yang tengah membaca!!)
Kamu bersalah kerana masih membuang masa membaca entri yang tidak berguna ini. Baik kamu semua memberikan masa kamu kepada saya atau paling tidak menyiapkan assignment bagi pihak saya. Nescaya saya tidak akan gundah lagi.

Ah,memang mudah mahu menuding jari.Memang mudah menyalahkan sesiapa sahaja yang kita mahu. Kita mudah menjadi tidak rasional dan menyalahkan sesiapa sahaja yang kita rasa ada kaitan dengan permasalah yang kita lalui. Sebenarnya yang menyebabkan peristiwa ini berlaku, yang menyebabkan kelewatan dalam menyiapkan kerja adalah diri saya sendiri. Sayalah yang berfikiran bahawa saya mampu menyiapkan segala kerja dalam tempoh seminggu terakhir cuti ini. Sayalah yang selalu berada di depan komputer berblogging dengan gembira sambil tersenyum. Sayalah yang tidak disiplin dalam penjadualan saya.

Cerita ringkas ini ada banyak perkaitan dengan kehidupan kita. Wajarkah saya menyalahkan pak menteri tadi.Atau kamu?. Mungkin ada kewajarannya(haha,ingat dah insaf). Tapi penyumbang utama kesalahan ini adalah diri saya sendiri. Ingatlah kita akan dipersoalkan atas apa yang kita telah lakukan.

[cerita sampingan:kalau orang melayu lewat nak ke apa apa majlis, maka yang dipersalahkan adalah orang melayu yang lain. Tak percaya?buktinya kalau ada yang lewat pasti akan terkeluar frasa ini"alah biasalah janji melayu".Huh,orang melayu lain yang takde kaitan pun ko nak salahkan ke..hehe]

Aduhla, malam ini ada rehearsal terakhir. Kena bergerak sebentar lagi. Malam ini akan berjaga untuk assignment yang seterusnya..Mungkinkah akan glading?

P.s:Penulis meminta maaf kepada Pak menteri.pensyarah dan pembaca atas keterlanjuran kata tadi. Tapi pak menteri, lain kali datanglah lepas saya dah siapkan kerja ya..

Bintang kehidupan