Friday, October 27, 2006

Sai Ngegeh?


Masih tercari-cari maksud sai, tetapi ngegeh sudah lama diketahui
Hehe

Sunday, October 22, 2006

Nafisa


Tart:Kuih kegemaran atau mungkin kegeraman penulis. Ehsan gambar dari Senandung Selaily


Singkatnya saya rasakan ramadan ini. Pejam celik,pejam celik,pejam celik,pejam celik(ini adalah pantun). Sama ada ianya esok atau lusa merupakan ramadan terakhir pada tahun ini. Kenangan? Ya, banyak kenangan yang dapat saya kutip sepanjang ramadan ini. Sungguh, ramadan kali ini sungguh berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Semuanya bermula dengan kelewatan kami berpuasa berbanding negara-negara lain. Kami berpuasa dua hari lebih lewat daripada tanah arab dan sehari lewat daripada jiran kami, Australia. Sahabat-sahabat di Australia akan menyambut aidilfitri pada hari ini(Isnin). Selamat hari raya kawan-kawan. Sedangkan kami baru akan melihat anak bulan pada hari ini. Sungguh pelik jika difikirkan kenyataan ini. Saya bersangka baik dengan tidak menganggap ia sebagai pelik sebaliknya beranggapan ianya sebagai unik.

Perkara yang kedua yang membezakan ramadan kali ini adalah acara berbuka di surau universiti. Alhamdulillah, pihak universiti menyediakan satu bilik khas kepada kami untuk berbuka dan bersolat. Kemudahan yang ada di dalam bilik tersebut cukup untuk memenuhi keperluan kami. Syukur juga kerana murahnya rezeki kami dengan lambakan makanan dan juadah yang disediakan oleh pihak penaja. Terima kasih kepada abang Abdul Kader kerana dengan rela hati dan suka rela tanpa sebarang paksaan daripada saya mahu pun rakan rakan yang lain menyediakan makanan utama setiap kali berbuka. Bicara soal makanan, saya sungguh tidak akan melupakan pengalaman memasak kabab iraq. Sungguh enak dimakan kata rakan-rakan saya. Tetapi selera saya terhadap kabab ini kurang kerana tugas menyediakannya menyebabkan bau saya seolah-olah seperti bau kabab. Bukannya saya tidak mandi, tetapi asap-asap yang berkepul dari proses pembakaran lemak-lemak dan inti daging menyalut di celah-celah selirat benang baju dan lebih teruk lagi di celah leliang roma saya. Maka, bersolatlah saya dengan aroma kabab yang hangat dan menggiurkan itu. Tidak hairanlah ramai yang terliur bila melihat saya(takdelah gurau aje). Juadah kabab ini terhenti pada minggu terakhir ramadan atas sebab-sebab tertentu(bukan atas sebab yang saya ceritakan tadi). Sungguh saya tidak kisah untuk menyediakannya cuma mahu berkongsi sedikit pengalaman menjadi tukang masak tidak rasmi untuk kabab. Saya merasa sedih kerana tidak dapat masak kabab lagi pada tahun ini. Jika saya tahu kali itu adalah yang terakhir bagi saya, nescaya saya akan menghayati setiap detik dalam proses memasaknya dan merakamkannya sebagai kenangan yang terindah.

Ketika berbuka inilah saya melihat pelbagai ragam manusia dan kerenahnya. Dan kerana itulah saya mendedikasikan satu entri untuk mereka. Rujuk entri untuk seseorang. Saya di dalam dilema juga dalam menulis entri itu kerana bimbang apa yang ditegur membuatkan mereka lebih jauh daripada perkara yang ingin didekatkan. Maklumlah, hati manusia ini mudah terasa dan apabila sudah terasa maka lebih sukar mahu menarik mereka ke arah kebaikan. Namun, syukur tiada apa yang lahir dari kebimbangan saya itu. Harapan saya ketika menekan butang publish untuk entri itu adalah dapat memberi teguran sebaiknya kepada semua. Bukan ditujukan kepada sesiapa secara khusus, sebaliknya seseorang itu termasuklah diri saya sendiri.


Perkara asing yang berlaku dalam ramadan kali ini ialah mengerjakan ibadah terawih yang lebih panjang berbanding tahun sebelumnya. Alasannya? Di surau universiti ini kami menghabiskan satu juzu' pada setiap malam(pada zaman kegemilangan abang Umar(hehe), beliau menghabiskan lebih dari satu juzu'). Setakat ini kami terhenti pada juzu' 29. Sekiranya ditakdirkan anak bulan kelihatan pada hari ini, maka harapan menghabiskan Al-Quran dalam solat terawih tidak kesampaian. Sedih juga rasanya jika begitu. Tetapi apa-apa pun saya berserah kepada Allah. Bagi saya, bila tarikh hari raya itu tidak penting, apa yang penting ialah bagaimana kita memanfaatkan hari-hari terakhir ramadan ini.
  • Adakah kita sibuk dengan sambutan hari raya?
  • Adakah kita sibuk membuat kuih raya?
  • Adakah kita sibuk menyanyi lagu raya?
  • Adakah kita sibuk berbicara soal raya?
  • Tepuk dada tanyalah selera. Atau tepuk dada tanyalah iman....
Sungguh sedih apabila menyedari hakikat yang ramadan ini bakal pergi tidak lama lagi. Bulan yang penuh dengan rahmat dan keampunan, berlipat gandanya amalan, pelepasan dari api neraka, akan pergi meninggalkan saya tersipu-sipu. Bilakah lagi dapat dilihat suasana yang memudahkan ibadah itu dilakukan..Oh, sungguh ku berharap hasil usahaku dalam bulan ini terhapus begitu sahaja. Kerana sesungguhnya, kehilangan komitmen kepada ibadah yang dilakukan dalam bulan ramadan ini menandakan betapa amalan itu tidak diterima oleh Allah. Semoga kita semua istiqamah dalam amalan kita. Saya petik sedikit isi dari tazkirah yang disampaikan oleh seseorang pada malam ini;
  • Jika puasa bulan ramadan sudah tamat, maka ada puasa sunat yang lain seperti puasa enam di bulan syawal, puasa isnin dan khamis, puasa hari asyura dan puasa hari arafah
  • Jika sembahyang malam sepanjang ramadan sudah tamat, maka ada lagi sembahyang sunat tahajud sepanjang malam sepanjang tahun
  • Jika bersedekah dan zakat fitrah bulan ramadan sudah tamat, maka ada lagi zakat yang wajib dibayar, dan banyak lagi pintu-pintu sedekah yang lain seperti menderma, melakukan aktiviti sukarela dan berjihad.
  • Pokoknya,daunnya,dan dahannya, hilangnya ramadan ini tidak menghalang kita daripada terus melakukan amal kebaikan.
Bayangkanlah anda memikul air dari gunung yang tinggi, mengumpulkan berbaldi-baldi air selama sebulan. Anda sungguh letih dan penat kerananya. Namun anda teruskan juga mendaki gunung dan mengutip mata air yang segar darinya setiap hari. Anda kutip dan kutip kerana anda percaya khasiat air ini sungguh hebat dan menakjubkan sehinggalah cukup sebulan anda mendapat 30 baldi kesemuanya. Lalu, anda bercadang mengadakan pesta meraikan kejayaan anda mengumpul 30 baldi air mata air yang penuh berkhasiat dan menakjubkan itu. Tiba-tiba ketika pesta itu berlangsung anda kekurangan kompang lalu anda membuang semua air-air yang sudah penat anda kutip tadi ke dalam longkang supaya baldinya dapat anda palu sebagai pengganti kompang. Anda malu kepada tetamu-tetamu anda kerana tidak mempunyai kompang yang cukup. Dari menanggung malu anda rela membuang air yang sudah penat anda kumpul tadi. "Ah, tahun hadapan boleh kutip lagi"bisik hati anda. Ganjil bukan? Rugi bukan? . Begitulah ruginya jika ada di antara kita yang tidak mendapat manfaat daripada bulan ini, kembali kepada kemaksiatan seperti dahulu. Janganlah disia-siakan usaha yang tidak seberapa ini. Anda juga tidak tahu adakah anda bakal mendapat peluang seperti ini lagi pada tahun hadapan...

Saya rasa sudah agak panjang entri kali ini. Lebih panjang berbanding entri sebelumnya. Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada pembaca sekalian andai kewujudan blog ini membuat saudara atau saudari tidak senang duduk atau benci kepada penulisan saya. Niat saya hanya mahu berkongsi dan berharap tulisan saya ini memberi sedikit impak kepada arah yang lebih baik hendaknya.

Selamat hari raya pada semua
Selamat tinggal ramadan
Semoga berjumpa lagi hendaknya
Tahun hadapan jika diizinkan...

Apa maksud nafisa?
Nafisa membawa maksud barang berharga atau permata......

Apakah kaitan nafisa dengan entri ini?
Itu ditinggalkan untuk anda fikirkan

Apakah selama ini saudara memikirkan akan nafisa sebagai tajuk entri ini?
Ya

Adakah nafisa menjadi tajuk lagu blog saudara?
Tidak, saya sudah tukarkan kepada lagu Salam Aidilfitri daripada Jamal Abdillah

Apakah saudara tidak tahu penat menulis?
Tahu, dan kerana itu saya berhenti di sini....

Wednesday, October 18, 2006

Betul?

Kalau kita sayangkan seseorang
Kadang-kadang kita kena lepaskannya

Entahlah

Sunday, October 15, 2006

Untuk seseorang

Buat seseorang yang saya rasakan patut untuk ditegur. Maka saya tuliskan entri ini.
Tahukah kamu bahawa ramadan ini hampir saja meninggalkan saya,awak dan mereka? Sedarkah anda bahawa sesungguhnya anda tidak punya jaminan bahawa ramadan ini akan menjenguk anda buat tahun hadapan?
Jika anda sedar maka saya cukup bersyukur...

Maka saya tidak perlu risau akan mereka yang enggan untuk berterawih pada malam-malam terakhir ini. Apakah yang layak diburu selain dari kerahmatan dan keampunan Allah?
Apakah yang lebih berharga dari kebebasan daripada kebebasan api neraka? Anda penat dengan pelajaran? Anda tidak punya masa untuk dikorbankan kerana terawih ini sangat lama dan memenatkan? Jika begitu, kenapa anda masih sempat berbuka dengan penuh bersemangat dan makan dengan banyaknya? Anda lebih mementingkan perut anda? Saya sungguh pelik dengan manusia seperti ini. Mereka katakan mereka tidak punya masa untuk ibadah, tetapi punya masa untuk berbuka dengan mewah. Jika benar anda sibuk, maka makanlah sekadarnya dan pulanglah segera menyambung kembali kerja anda yang anda katakan banyak itu.

Anda sudah tentunya yakin akan keampunan Allah sedangkan apakah usaha anda dalam mendapatkannya. Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Saya berpesan ini kepada diri saya dan juga anda. Manfaatkanlah baki-baki ramadan yang ada ini. Usahlah takut untuk berkorban.

Semoga ramadan kali ini tidak dikabui dengan ketakutan kita untuk berkorban.

Salam ramadan

Wednesday, October 11, 2006

Rupa-rupanya dahulu aku benar juga


Monyet yang hebat, nak tahu apa kaitan dengan entri ini? Baca sehingga habis


Saya teringat pada esei-esei yang saya karang ketika zaman persekolahan dulu. Subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab semuanya ada keperluan untuk menulis esei. Keperluan dalam ertikata perlu untuk lulus dalam peperiksaan. Bukanlah saya menulis untuk menegur, menulis untuk menasihati, menulis untuk berkongsi, menulis untuk populariti, menulis untuk dihantar ke majalah sekolah, apatah lagi menulis untuk berblog. Menulis yang saya tulis itu rata-ratanya bagi memberi kelulusan kepada subjek-subjek yang saya sebutkan tadi (Menulis surat cinta adalah perkara yang berkecuali,hehe).
Karangan sekolah rendah yang paling saya rasakan paling acap untuk keluar adalah berbunyi seperti;

'Jika aku seorang jutawan'
'Aku sebatang pensel'
'Keluarga saya'
'Kawan baik saya'
'Kawan baik dia'
'Laporan lawatan ke rumah ketua kampung'
'Syarahan kepentingan menjaga kebersihan'

dan banyak lagilah

Bila sudah ke sekolah menengah dan seterusnya, maka tahap penulisan dan kehendak soalan juga sudah berubah ke tahap yang lebih tinggi.

Saya teringat kembali kepada satu karangan yang saya tulis. Saya tidak ingat pada tahun bilakah saya menulis karangan itu. Pokoknya, itu tidak penting. Daunnya,apa yang penting adalah apa yang ingin saya sampaikan dalam entri kali ini.
  • Jadi apakah yang cuba saya sampaikan?
  • Adakah mesej yang saya cuba sampaikan akan sampai?
  • Sejauh manakah mesej ini akan sampai?
  • Sudah sampaikah mesej ini?
  • Kenapakah anda membaca entri ini?
  • Kenapakah saya bertanya banyak soalan?
  • Bilakah mahu berterus terang?
  • Apakah kaitan soalan soalan di atas dengan entri kali ini? Jawapan:Tiada kaitan..

Jadi berbalik semula kepada tujuan entri ini(ape ntah tujuannye), saya ingin berkongsi isi-isi penting yang telah saya tuliskan dalam karangan saya dahulu yang bertajuk 'Langkah-langkah mengawal masalah disiplin di kalangan pelajar'. Harus diingat, karangan ini ditulis atas pemikiran budak budak sekolah yang tidak matang dan masih berhingus. Jadi, apakah langkah-langkah yang telah saya cadangkan?
  • Mengadakan kem motivasi. Menghantar pelajar-pelajar ke kem motivasi dengan harapan sahsiah pelajar-pelajar ini berubah. Umpamanya, menjemput pakar-pakar motivasi yang hebat tatkala itu(saya ingat ketika itu adalah Dr. Hasan Ali) untuk memberi nasihat yang berguna kepada seluruh pelajar amnya. Sungguh, saya rasakan sungguh hebat perkataan motivasi itu. Seolah-olah inilah idea yang hebat untuk menarik perhatian guru saya. Haha.
  • Menambah bilangan guru disiplin dan pengawas. Saya menulis isi ini di atas pemerhatian saya sendiri. Maklumlah, sekolah saya dahulu bilangan pelajarnya sedikit. Maka, bilangan pengawas dan guru disiplin juga sedikit. Saya rasakan banyaknya masalah disiplin kerana kurangnya penguatkuasaan oleh pengawas dan guru disiplin. Saya rasakan perlu ditambah yang ini. Kalau boleh biarlah semuanya menjadi pengawas. Bagus juga ya jika semua orang menjadi polis. Maka tiadalah istilah penjenayah bukan?
  • Mengetatkan undang-undang sekolah. Seketat mana saya pun tidak tahu. Seingat saya, apa yang menjadi tulisan saya adalah dengan terketatnya undang-undang maka masalah disiplin juga akan kurang. Nampak seperti tiada kaitan. Namun, kehebatan menulis dan menghurai isi-isi membuatkan yang tidak bernas kelihatan bernas seperti hebatnya akhbar-akhbar arus perdana memuji-muji RMK-9..hehe..(yuran periksa takyah bayar tu..hehe)
  • Mengadakan kempen disiplin sifar. Inti dalam kempen itu adalah mengedarkan risalah-risalah berkaitan masalah disiplin dengan harapan pesalah laku insaf dan sedar akan kesilapan mereka selama ini. Tidak dilupakan mengadakan pertandingan pelajar cemerlang sahsiah. Ya, sungguh mudah membeli perlakuan seseorang dengan anugerah. Seperti mudahnya meraih sokongan dengan menghulurkan wang ringgit. Sekarang saya terfikir, kerajaan yang melancarkan kempen Tak Nak yang dikhabarkan menelan belanja berjuta-juta itu juga gagal. Agaknya, sejauh mana keberkesanan kempen yang saya cadangkan itu?
  • Melantik pelajar bermasalah menjadi pengawas. Saya paling suka yang ini. Tidak saya sangka-sangka, idea yang saya rasakan kurang matang dan tidak bernas ini rupanya digunapakai juga sekarang. Haha. Saya dahulu merasakan jika kita memberi kepercayaan kepada kaki raging, kaki pukul, dan kaki-kaki yang lain, maka mereka ini akan lebih bertanggungjawab dan menjadi baik dengan sendirinya. Saya rasakan begitu. Saya sesal juga kerana berfikiran begitu. Tapi, itu kisah dulu. Sesal tiada berguna lagi... [Tidaklah saya memandang rendah kepada pelajar bermasalah, tetapi hakikatnya ada cara yang lebih baik daripada ini. ]
    Tapi, saya tidak sangka kerana ada juga manusia yang dikatakan bijak dan berpendidikan tinggi menggunakan isi saya ini. Buktinya, anda carilah apa yang cuba dilakukan kepada Mat Rempit di Malaysia sekarang. Kalau malas nak cari klik saja di sini. Bukan main lagi ya. Lihatlah apa yang berlaku sekarang. Makin mereka menunjukkan belang mereka. Malah media arus perdana menyalahkan pula pihak berkuasa(polis) di atas kesalahan mereka ini. Hal ini sama dengan menyalahkan mangsa kecurian daripada pencuri itu sendiri. Bayangkanlah jika pucuk pimpinan negara dipikul oleh manusia-manusia yang hidupnya berpeleseran ini. Sungguh haru dan saya sungguh malu. Saya malu dengan pemikiran cetek seperti ini. Saya malu kerana betapa ramai lagi jenis manusia yang seratus kali lebih baik daripada rempit-rempit ini untuk dijadikan pelapis kepimpinan negara. Tapi saya tidak hairan dengan mainan politik seperti ini. Lakukanlah apa sahaja andai anda rasa kedudukan anda digugat. Raihlah sokongan sesiapa sahaja hatta mereka ini perogol sekalipun andai dengan sokongan mereka anda bisa bertahan. Singkirkan sesiapa sahaja hatta sang blogger sekalipun andai mereka buat anda tidur tidak lena. Khianati sesiapa sahaja walaupun anda pernah menangis merayu kepadanya supaya tidak meletakkan jawatan(anda pasti tahu siapa ini). Saya tidak perlu menjadi lulusan oxford atau cambridge untuk menilai usaha ini sebagai sesuatu yang tidak bernas. Atau mungkin kerana ilmu sains politik yang begitu mantap, maka psikologi dan corak pemikiran rempit-rempit ini dapat diubah. Siapa tahu? Berilah mereka peluang kedua.hehe.

hehe layan jugak mende ni,layan lagu je,video die cam tak best


Niatnya saya hanya mahu menulis tentang pengalaman saya sebagai seorang calon peperiksaan subjek bahasa Melayu. Tiba-tiba sahaja menjadi marah. Bukan apa, saya sayangkan negara saya. Saya juga tahu anda pun sama. Takkanlah kita mahu negara kita dipenuhi dengan insan yang tidak berguna dan tidak menyumbang kepada kemajuan negara. Mustahillah jika kita mahu kepimpinan seperti ini. Kita masih ada banyak pilihan lain bukan?. Isu ini sudah lama. Saya baru punya masa untuk ulasnya. Saya minta maaf kepada sesiapa yang tidak sengaja tersinggung membaca entri ini, terutamanya jika ada rempit yang terasa hati. Sori la brader. Chill sudeyh. hahaha

Oh ya, bukan mat rempit, tapi sebutlah mat cemerlang....

P.s: Tengah tunggu penerima gelaran untuk mat gemilang dan mat terbilang

Sunday, October 08, 2006

Sisip

Memetik satu rangkap dari pantun moden buah tangan Usman Awang

Siakap senohong
gelama ikan duri
Bercakap bohong
Bolehkah jadi menteri?

Versi saya;

Kelicap tiong
Penguin rajawali
Bercakap 'saya sokong'
Layakkah jadi menteri?


Tidak tidur semalaman membuatkan saya mengarut sendirian. Saya terpaksa menggunakan wikipedia semata mata mahu mencari nama-nama burung yang ada di dunia ini. Mamai....

Thursday, October 05, 2006

Aduhai 'bapa'

Tanpa apa
Tiba-tiba
Sedar sahaja
Kau bergelar 'bapa'

Tidak semena mena
Baru setahun tambah dua
Belum pun dua puluh dua
Kau bergelar juara

Aku pelik
Mereka pelik
Apa kau repek
Kau ditegur apek

Siapa beri
Aku tak erti
Kenapa Pembesar Teknologi?
Adakah kau nak naik gaji?

Aduhai mama
Payau benar rasanya
Kopi teh pun sama
Jawab mama:"Tak ada gula"

Aduhai bapa
Carikan mama gula
Kenapa bapa?
Kau tidak tahu apa-apa!

Internet ada
Telefon ada
Duta pun ada
Surat juga yang kau suka

Mereka menipu
Kau rasa begitu
Jika itu
Tunjukkan bukti padaku

Sungguh bahaya
Jika 'bapa' lena
Semua tak kena
Berubahlah segera!

Hampir terlupa
Pesanan bapa
Kepada si apek tua
Jangan buat lagi ya!

HAhaHA

Tuesday, October 03, 2006

Semoga bertemu lagi

Esok, seorang sahabat saya akan pulang ke negara asalnya, Mesir. Kami mula berkenalan sejak semester kedua bermula dan dari perkenalan itu kami menjadi lebih kenal antara satu sama lain. Teringat, mula-mula saya sangkakan namanya Ahmad, rupa-rupanya namanya ialah Umar. Mungkin saya sukar menafsir slanga arabnya ketika itu atau saya tidak mengorek telinga sendiri. Saya pun kurang pasti.

Sungguh, saya menghargai perkenalan ini kerana melaluinya saya dapat belajar pelbagai perkara. Saya juga yakin bahawa sahabat-sahabat saya yang lain yang mengenali beliau dengan lebih lanjut pasti bersetuju dengan pandangan saya ini.

Kehadiran beliau pada awalnya, saya sangkakan sebagai kehadiran biasa sahaja. Pelajar Phd datang dan pergi tanpa membawa sebarang kesan kepada diri saya. Namun, kehadiran Abang Umar ini benar-benar mengajar saya banyak perkara dan menyuluhkan saya akan sesuatu yang memohon kepada pencerahan.

Tidak pernah saya berjumpa dengan orang yang benar-benar komited terhadap perjuangan Islam. Tidak pernah saya melihat seorang yang baru, terus menjadi penggerak kepada gerakan Islam di tempat yang terlalu asing untuknya. Semangat yang ditonjolkan oleh beliau benar-benar mencabar diri saya yang sudah berada lebih lama setahun darinya di sini. Kehadiran beliau menjadi satu nadi yang berdenyut kepada pergerakan muslim di universiti yang asing ini. Banyak idea-idea dan tenaga yang dicurahkan demi menjayakan sesuatu program yang menjadi jalan kepada dakwah Islam.

Saya dan sahabat-sahabat yang lain mempunyai kenangan tersendiri ketika bekerja bersama beliau dalam beberapa program di sini. Aduhai, masih saya teringat saya terlalu marah kepada beliau kerana kami begitu teruk dimarah pada Festival Makanan Antarabangsa yang lalu. Saya merungut-rungut dan tidak puas hati dengan cara beliau menegur kami. Beliau seolah-olah mahu memberitahu kepada semua akan kesalahan kami yang terlewat hadir atas sebab komitmen kelas. Beliau dapat menghidu kemarahan kami dan pantas berjumpa kami secara peribadi.

Terjemahan kata-kata beliau:
" Saya minta maaf jika kejadian tadi mengguris perasaan kamu. Apa yang saya tahu, kejadian seperti ini(lewat) tidak patut berlaku kerana ini tidak baik untuk persatuan kita. Saya rasakan perihal lewat ini tidak bagus dan tidak patut kamu amalkan. Saya minta maaf sekali lagi dan harap kamu semua faham. Saya tidak bermaksud menyinggung kamu secara terus dan kerana itu maafkanlah"

Saya berasa bersalah kerana terlalu cepat menghukum beliau. Saya merasakan apa yang dikatakan itu ada benarnya. Perancangan yang rapi dan jitu perlu dalam membawa usaha dakwah dan Islam. Tidaklah baik perkara-perkara seperti ini berlaku dan benar teguran beliau memang bertempat. Kami mengambil iktibar dari perkara yang telah terjadi dan tidak mengungkit kembali akan apa yang telah berlaku.

Apa yang saya ceritakan ini hanya satu daripada pelbagai kenangan saya dengan beliau. Esok beliau akan bertolak pulang dan pastilah saya dan rakan rakan yang lain akan merindui beliau mengimami solat tarawih kami. Saya berdoa agar pemergian beliau ini hanya sementara dan tidak untuk selamanya. Bukan bermaksud saya mahu dia hidup selamanya, tetapi saya berharap dia akan pulang kembali ke Canterbury menyudahkan kursus Phdnya. Harapannya adalah 50/50....Siapa lagi yang akan bersemangat seperti beliau dalam menggerakkan apa-apa aktiviti nanti. Sungguh, saya rasakan nadi utama seakan akan tercantas jika beliau tidak kembali ke sini nanti.

Kepada rakan rakan Malaysiaku yang terkejut akan reaksi Abang Umar baru-baru ini tentang peristiwa berbuka di Ilam Common room dahulu, ketahuilah saya tidak terkejut langsung. Mungkin kalian yang jarang bersama dengan beliau akan merasa pelik akan tahap sensitiviti dan respon beliau kepada perkara yang kalian anggap kecil. Saya memahami perasaan Abang Umar dan saya tidak hairan bila beliau menyatakan ini adalah kali pertama beliau bertemu dengan jemaah seperti kita (ini bukan satu pujian, fikirkanlah....). Mana-mana ruang yang buruk dalam komuniti kita haruslah kita perbaiki kerana mengikut pemerhatian kasar saya selama ini, sebarang aktiviti yang berkaitan dengan surau dan aktiviti Islam pastilah dihadiri pelajar-pelajar melayu Malaysia dengan ramainya. Ini secara tidak langsung memberi petunjuk mudah kepada bukan Islam untuk menilai sendiri apa itu Islam. Walaupun tidak wajar saya katakan Islam itu dilihat dari penganutnya, tapi jika tidak kita yang memberi contoh, maka siapa lagi?

Saya rasa cukuplah setakat ini sahaja. Nanti jika saya terus menulis tentang Abang Umar ini maka ramai yang kurang gemar dan terasa hati. Maklumlah, pertentangan budaya. Tetapi bagi saya, budaya itu wajar dikikis jika ia bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam. Itu sahaja.