Wednesday, November 29, 2006

Bagai anjing menyalak di ekor gajah



Sudah lama saya tidak menulis. Bukan sahaja menulis entri baru, malah menulis dalam ruangan mari berbual pun saya sudah buat-buat tidak endah sahaja. Mengapa ya? Di sini saya gariskan beberapa sebab yang relevan:
  • Saya malas. Sudah menjadi kebiasaan bagi manusia apabila mereka malas maka apa yang mudah untuk dibuat tidak dapat dibuat. Persoalannya, mudahkah menulis dan memperbarui blog? Pendapat saya adalah sukar. Maka bolehlah dikatakan saya sebenarnya tidak malas kerana menguruskan blog adalah tidak mudah.
  • Saya tiada isu. Memanglah saya tiada isu, negara yang punya isu, masyarakat yang ada isu. Isu saya cuma cinta semata. Tidak relevan diceritakan di sini. (Sila jangan ambil serius pengakuan ini. Sekadar berhumor atau dalam erti kata munzir berselongkor)
  • Saya sibuk dengan persiapan ke luar negara. Kepenatan menyesuaikan diri dengan perbezaan masa yang tidaklah terlalu ketara tetapi sekadar mengada-ngada. Luar negara di sini adalah negara beriklim khatulistiwa dan bercirikan panas dan lembap sepanjang tahun (Malaysia).
  • Saya sengaja. Sengaja menyepikan diri buat sementara waktu. Rakan-rakan bloggers yang lain juga turut sama sunyi buat masa ini. Kerana apa ya? Jawapan di tangan anda..
(saya cuba untuk menggariskan sebab-sebab di atas tetapi tidak tahu bagaimana mahu menggariskan ayat-ayat dengan code html. Cuma tahu menebal dan meng'italic' sahaja. Sebarang kesulitan amat dikesali)

Hari ini saya rasakan sudah cukup bagi saya untuk menyepi kerana saya rasakan hari ini terlalu menarik untuk dikongsi. Tetapi apalah erti berkongsi jika hanya saya yang memberi. Maka saya menyeru rakan-rakan bloggers yang lain agar turut mengemaskini laman masing-masing.Hehe.

Ketika sedang menggosok baju dengan seterika jenama Panasonic, saya mendengar saluran radio berfrekuensi FM 104.10 iaitu Radio Malaysia Pahang. Dan daripada situ maka lahirlah tajuk entri kali ini iaitu bagai anjing menyalak di ekor gajah. Maksud perumpaan ini melalui ingatan saya pada rancangan pagi tadi dan juga bantuan wikiquote adalah lebih kurang begini;

Seseorang yang lemah atau tidak berkemampuan cuba untuk melawan orang yang hebat atau berkemampuan pastilah pengakhirannya tidak menyebelahi si lemah tadi. Diuraikan lagi dalam konteks yang berbeza, orang yang miskin cuba untuk mengatasi orang yang kaya dalam pembidaan dalam jual-beli sudah pasti akan gagal dek kerana tiada wang atau harta yang banyak. Juga dijelaskan juga sebagai orang yang sudah pencen tidak boleh menentang seorang Perdana Menteri sudah pasti akan mendapat penentangan yang sehabis-habisnya oleh kroni-kroni(ini contoh saya sendiri)

Jadi begitulah serba sedikit penerangan ringkas tentang peribahasa yang menjadi pilihan kali ini. Walaubagaimanapun apa yang menarik tentang peribahasa ini?
  • Penggunaan anjing dan gajah dalam peribahasa ini sungguh menarik untuk dibincangkan. Kenapa anjing dan bukannya kucing? Kenapa gajah dan bukannya penguin? katakan jika anjing digantikan dengan kucing dan gajah digantikan dengan penguin maka beginilah jadinya; bagai kucing mengiau di ekor penguin. Tidak sedap pula bunyinya. Jadi saya simpulkan sahaja bahawa anjing dan gajah lebih sedap bunyinya. Juga mungkin kerana bunyi hasilan anjing lebih padu dari kucing. Alangkan salakan anjing yang kuat dan garang itupun tidak ditakuti si gajah, apatah lagi kemanjaan iauan kucing(iauan= kucing membuat bunyi mengiau). Juga mungkin mengandungi unsur sinisme. Entahla saya tiada masa untuk kaji benda ini. Apa pandangan anda?
  • Dalam perjalanan ke Kuantan saya mendengar berita jam tujuh di dalam kereta dan terdengar akan satu perkembangan yang saya kira kena dengan peribahasa ini. Tan Sri Musa Hasan, Ketua Polis Negara mengatakan bahawa pihaknya dalam proses untuk mencadangkan penubuhan sebuah universiti polis. Maklumat terperinci tidak dapat saya bekalkan kerana tiada sumber yang dapat saya cari di internet. Tetapi secara kasarnya beliau cuba untuk meningkatkan mutu perkhidmatan polis dengan menawarkan pelajaran dan kemahiran yang lebih tersusun melalui penubuhan sebuah universiti. Apa kaitan dengan anjing dan gajah? Oh, kaitannya begini. Jika kita lihat dunia jenayah masa kini teknik dan modus operandi yang diguna pakai semakin hari semakin canggih dan maju. Tidak kiralah jenayah kolar putih , biru atau tidak berkolar sekalipun, kehebatan penjenayah-penjenayah ini memanipulasi kepandaian akal dan dunia teknologi masakini tidak dapat dinafikan lagi. Teknik penyamaran, pemalsuan, senjata semakin menjadi masalah bagi pihak berkuasa untuk menangani kegiatan jenayah buat masa ini. Lihatlah bagaimana mikrocip bernilai lebih dari 40 juta itu berjaya dirompak dan dilarikan sehingga kini belum dapat dijejaki. Jadi elok benarlah jika anggota-anggota polis diberi lebih pendedahan dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat dan dapat menyaingi kehebatan sang penjenayah juga. Jika tidak, usaha-usaha polis untuk membanteras jenayah jadilah seperti anjing menyalak di ekor gajah. Selain itu, dapatlah dijadikan ilmu tambahan bagi anggota polis yang jika mereka bersara kelak dari dunia polis. Mereka akan menjadi lebih dilengkapi dengan pengetahuan dan ilmu lantas menambahkan prospek jika mahu membina karier di samping dunia kepolisan. Saya harap usaha beliau untuk pembinaan universiti ini mendapat perhatian yang sewajarnya. Perhatian dalam konteks diadakan diskusi ilmiah akan pro dan kontra penubuhan universiti seumpama itu.
  • Itu sahaja





Saya berkesempatan bersama-sama dengan golongan veteran yang terdiri daripada pihak universiti(KUKTEM) dan pengurus-pengurus kanan syarikat tempat saya bakal melakukan praktikal(FPG OLeochemicals). Saya mendengar dengan teliti butir-butir perbincangan mereka dan di sini ingin saya kongsikan sedikit perkara yang saya rasakan bermanfaat untuk ditulis, khususnya kepada golongan mahasiswa sekalian.

Hala tuju perbincangan mereka lebih kepada keupayaan mahasiswa masa kini. Beberapa perkara yang dibincangkan amat menarik perhatian saya dan ada juga yang menyebabkan saya berasa terasa dan terusik di hulu hati. Ada beberapa perkara yang saya bersetuju dan ada juga yang saya kurang setuju dan ada juga yang saya tidak setuju. Tetapi maklumlah perbincangan orang orang veteran maka saya duduk sekadar mendengar dan menghadam maklumat-maklumat yang berguna. Perbincangan mereka dikhususkan kepada bakal-bakal jurutera yang bekerja di dalam industri. Antara yang mereka bincangkan adalah:
  • Resume dan Cover letter
    • Perlu menarik perhatian terutamanya beberapa baris perkataan di permulaan. Tunjukkanlah anda sangat berharga untuk dimiliki oleh industri itu dan jangan terlalu merendah diri. Jual diri anda dan jadikan resume anda sebaik mungkin. Sikap mahasiswa yang memandang enteng kepada kepentingan resume ini amat dikesali. Pernah satu ketika satu seminar untuk menajamkan penangan resume diadakan di UTM tetapi bilangan yang hadir amatlah mengecewakan. Resume ini terlalu penting kerana ia memberi pandangan awal tanpa melihat kepada wajah calon yang berminat mendapatkan tempat dalam sesebuah syarikat. Ramai dikalangan pelajar yang sememangnya berbakat dan berkeupayaan tetapi gagal mendapat tempat dek kerana kegagalan mereka membuat CV yang mantap.

  • Keupayaan bekerja di tapak
    • Perbincangan mereka turut menyentuh akan kebolehan pelajar melakukan kerja-kerja di tapak industri. Kata mereka, pelajar-pelajar yang cemerlang ini hanya cemerlang di kertas tetapi tidak dalam pekerjaan. Aduh, salahkah jika cemerlang dalam peperiksaan?(detik hati saya ). Tentang hal ini saya kurang bersetuju kerana saya merasakan mereka tidak berlaku adil kepada golongan pelajar itu sendiri. Adakah mereka mengharapkan kemampuan pelajar ini setanding dengan mereka yang sudah bertahun-tahun pengalaman itu? Saya rasa para penemuduga wajar meletakkan kedudukan mereka di tempat pelajar buat seketika agar dapat berlaku adil. Dalam sistem pembelajaran di universiti sekalipun pendedahan terhadap industri tidaklah terlalu meluas dan mendalam. Maafkan saya jika saya tersilap,harap tolong perbetulkan kerana saya menulis dari pengalaman saya yang cetek ini. Jadi saya rasa, jika mereka mampu cemerlang di dalam peperiksaan tetap ada kemungkinan(kemungkinan yang lebih besar) untuk mereka turut cemerlang dalam bidang kerjaya. Cumanya, kepercayaan pendedahan perlu diberikan secukupnya kepada mahasiswa.
  • Temuduga
    • Pelbagai peristiwa yang dikongsi dalam topik ini. Daripada menemuramah jawatan pemandu hinggalah ke jawatan jurutera. Konsepnya mudah, setiap temuduga itu adalah untuk mengenali karakter seorang calon itu sendiri. Kebanyakan calon merasa gusar dan tidak jujur dalam jawapan mereka. Walhal, soalan yang diajukan penemuduga sangat mudah dan ringkas. Pengalaman si penemuduga dapat mengasingkan perihal calon itu sendiri. Bak kata pepatah sekilas ikan di laut sudah ditahu jantan betinanya. Maka gunakanlah peluang temuduga ini untuk menonjolkan karakter anda yang mampu memikat industri itu sendiri. Tidak perlu berdolak dalik dalam sebarang soalan dan jika tidak tahu katakan anda tidak tahu. Tidak perlu memusing-musing dan memeningkan pula kepala si penemuduga
Inilah antara perkara yang saya ingat pada perbincangan tadi. Saya merasa cukup tercabar dengan beberapa pandangan terutamanya yang mempersoalkan kemampuan generasi mahasiswa masakini. Tetapi tidaklah saya anggap pandangan mereka itu melemahkan semangat sebaliknya mengajar supaya lebih bersedia dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Perkembangan lain yang menarik perhatian saya adalah:
  • Kenyataan Perdana Menteri mengatakan bahawa RMK 9 akan dipercepatkan prosesnya. Saya menanti secepat manakah itu
  • Kenyataan Husam menjemput Mukhriz menyertai pakatan pembangkang
  • Pengguna dinasihatkan menjangkakan kenaikan kadar tol dari RM0.10 kepada RM1.00. Aduhai, mungkin ini salah satu dari RMK 9 yang mahu dicepat-cepatkan itu.
  • Mat rempit diundang tangani masalah ragut. Bukan mat rempit ke yang ragut meragut ni?? (ini saranan saudara Azeez)
  • Shevchenko untuk David Villa??Tidak! jangan musnahkan satu lagi bakat besar dalam dunia bola sepak.
  • Maafkan saya kerana tidak menyediakan pautan sepertimana yang biasa saya lakukan seperti dulu. Saya malas dan saya pasti anda pasti mampu mencari sumbernya.( Sekarang baca suratkhabar terus tak mainla suratkhabar online-online ni)
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca entri yang tidak seberapa ini. Semoga hidup kalian lebih berharga.

P.s: Menanti kelahiran blog baru dari seorang yang suka berhumor. Moga-moga blog baru itu akan muncul jua.

Oh, terlupa saya selitkan pengajaran dari peribahasa tadi;
Jika kita mempunyai kekurangan maka lakukanlah sesuatu untuk menutupi kelemahan tersebut.

Tambahan,
Jangan terlalu menumpukan kepada kelemahan sehingga terabai pada kekuatan yang kita ada. Jika tidak, mungkin yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Ma i do a ri ... Bang!!(bunyi tembakan pistol)

Friday, November 03, 2006

Sai Ngegeh? (2)

Terkini,kenyataan Tun Dr Mahathir berkenaan tindakan menghalangnya mengadakan perjumpaan terbuka





Pautan terbaru tentang pengalaman Ketua Pemuda Umno PJ tentang masalah yang serupa.


[Entri asal]

Sudah lama rasanya saya membiarkan blog ini tidak bersentuh dengan tulisan saya sendiri. Entri terakhir saya adalah bukan daripada tulisan saya melainkan tajuk dan sedikit komen di bawahnya. Saya agak sibuk dengan komitmen kepada pelajaran buat masa ini. Setakat saya menulis blog ketika ini, tinggal satu kertas peperiksaan sahaja yang tinggal iaitu dinamik haba. Izin saya terangkan arah tuju entri kali ini supaya pembaca yang dihormati sekalian tidak berada di dalam kegelapan mencari ke mana saya cuba membawa kalian kali ini. Niat saya kali ini;
  • Menerangkan entri sebelumnya
  • Menonjolkan perbezaan antara pelakon politik dan pelakon bola sepak
  • Sedikit catatan hidup penulis
  • Menyuruh pembaca mencari sendiri apa yang saya tidak senaraikan selain dari yang di atas
Penerangan entri sebelumnya

Amaran! Tidak sesuai buat penyokong Tun Dr Mahathir

Buat sesiapa yang tidak menjenguk atau meneliti apa yang terkandung di dalam entri sebelum ini. Silalah rujuk sekarang.

Kandungan utama surat adalah menerangkan tentang sebab kenapa Tun Dr Mahathir mengkritik Perdana Menteri yang saya percaya ramai di antara kita yang sayangkan beliau. Secara ringkasnya bolehlah saya rumuskan bahawa inti kepada surat itu adalah Perdana Menteri kali ini tidak boleh ditegur dan jika ditegur maka si penegur perlu bersedia menerima sebarang kemungkinan. Surat ini dikeluarkan beberapa hari selepas pertemuan empat mata antara beliau dengan Perdana Menteri. Sejauh mana kebenaran surat ini ya?

Tunggu! Sebelum saya meneruskan penulisan kali ini saya harap para pembaca sekalian cuba lupa sebentar akan sejarah pemerintahan zaman Mahathir dahulu. Saya rayu dan jika anda tidak mahu kosongkan sebentar tentang memori zaman Mahathir dahulu maka saya rasakan anda tidak perlu membaca entri ini lagi.

Tun menyenaraikan bahawa sesiapa yang mengkritik atau menegur Perdana Menteri akan dikenakan tindakan. Tindakan itu boleh jadi dilucutkan jawatan, dipecat, ditukar ke kawasan lain dan bermacam-macam lagilah.
Apa bukti? Tunjuk saya bukti?
  • Pelucutan jawatan saudara Zaharin daripada UMNO oleh Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri.
    • Pelucutan jawatan ini mungkin sudah dijangka kerana saudara Zaharin ini memang lantang bersuara ke atas sesiapa sahaja yang tidak disukai beliau. Pautan.
  • Ugutan untuk memecat Tun daripada UMNO.
    • Perkara ini baru dibincangkan dan hasilnya Tun tidak dipecat dari UMNO dan juga tidak dilucutkan jawatan daripada jawatan penasihat-penasihat yang dipegang beliau tatkala ini. Bak kata Perdana Menteri, Tun pasti tahu akan hadnya. Jadi saya rasakan mungkin ini strategi mereka untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan masih telus dengan kritikan yang diterima. Ataupun mereka gusar akan implikasi yang bakal diterima sekiranya Tun menerima tindakan pecat dan sebagainya. Harus diingat, Tun sudah pasti masak dengan lumrah dunia politik dan pastinya mempunyai strategi atau tindakan susulan beliau yang lain.
      Tentang hal pemecatan ini, saya turut keliru kerana, dalam perlembagaan UMNO sendiri.
    • Fasal 6: tanggungjawab dan hak ahli, saya kepilkan sedikit sahaja
      6.1.6 Berkhidmat kepada orang ramai.
      6.1.7 Bersedia dan sanggup menentang musuh-musuh negara.
      6.2 Tiap-tiap ahli mempunyai hak-hak yang berikut:
      6.2.1 Bercakap dan mengemukakan pendapat-pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat-mesyuarat parti.
    • Jadi saya tidak nampak apa relevannya di sebalik kokokan pak-pak menteri yang saya sudah sangsi akan kredibiliti mereka mendesak agar Tun disingkirkan dari UMNO dan dilucutkan jawatan dalam syarikat berkepentingan dalam kerajaan.
Tun juga ada menyebut di dalam surat terbuka itu bahawa perkhidmatan telefon mudah alih hendaklah didaftarkan supaya tindakan lanjutan boleh diambil ke atas SMS yang mengandungi provokasi atau apa-apa yang menggugat kerajaan. Masih ingat lagi kenapa kita harus daftar? Rujuk. Ada kalangan mereka yang tidak setuju akan mengatakan Tun ini sudah nyanyuk dan bercakap tidak di atas fakta kerana terang-terangan lagi akta itu dicipta untuk melindungi rakyat dari ugutan dan fitnah. Pendapat saya adalah jika anda anggap begitu, maka anda tidak harus menyalahkan ISA atas kekejaman yang ada atas kewujudannya. ISA juga diwujudkan atas alasan melindungi rakyat dan akhirnya akta ini lebih kepada melindungi cita-cita politik daripada melindungi keselamatan rakyat. Tidak mustahil undang-undang baru ini bakal dijadikan senjata baru bagi pihak yang berkenaan. Jadi saya rasakan isu pendaftaran perkhidmatan telefon mudahalih ini tidak boleh dijadikan peluru untuk menuduh Tun sudah nyanyuk atau apa apalah.

Selain itu, Tun turut menyatakan bahawa internet dan website akan diganggu secara elektronik. Benar, ini berlaku. Buktinya, tanyalah kepada forumer Mykmu.net dan kepada saudara Syed Imran tentang apa yang telah terjadi kepada laman mereka. Bagi saya, jika mereka menjadikan alasan bahawa tuduhan Tun tidak benar kerana masih ramai lagi blogger yang bebas maka saya tidak bersetuju kerana saya sendiri berasa gusar untuk menulis entri ini. Erti bebas pada saya adalah melakukan sesuatu tanpa ada perasaan risau dan gusar tentang kemungkinan untuk ditangkap atau sebagainya. Masih ingatkah akan gelaran penembak curi yang dilemparkan kepada blogger? Nasib baik kerajaan tidak ada undang-undang yang secara spesifiknya mampu menghalang secara total akan perkara ini. Hehe

Di dalam surat itu juga Tun ada menyebut tentang sokongan yang diterima oleh Perdana Menteri daripada 'konco-konconya'. Saya menganggap gelaran konco itu diberikan kerana tiadanya kredibiliti yang ditonjolkan oleh sang pengikut Perdana Menteri. "Saya menyokong Perdana Menteri kerana beliau adalah Perdana Menteri" begitulah slogan mereka yang secara membabi buta menyatakan sokongan kepada ketua mereka. Saya tidak berminat untuk ulas perkara ini kerana bidas-menbidas di antara pemimpin pergerakan pemuda UMNO sedang hangat di atas pentas surat menyurat. Pemuda Terengganu, Kedah, Kepala Batas(sudah dijangkakan,hehe) vs Pemuda Tampin dan Ipoh barat.

Bagi sesiapa yang secara sinisnya mengatakan bahawa perkara yang ditegur Tun ini adalah perkara yang sama seperti yang dilakukan ketika pemerintahan beliau, maka saya tidak salahkan anda mengatakan begitu tetapi saya akan menyalahkan anda sekiranya anda menjadikan ini alasan untuk tidak mahu mengambil endah akan fakta ini. Apa yang ditegur adalah untuk masa kini dan bukan untuk masa yang lalu. Perkara ini masih terjadi dan kesilapan yang lalu tidak sedikitpun menghalalkan kesilapan masa kini. Saya percaya, bekas penagih dadah yang mahu melaporkan di mana sarang penagihan tidak akan diabaikan laporannya sebaliknya sudah pasti lebih berguna kerana si bekas penagih dadah lebih arif tentang kehidupan lampaunya.


Saya rasa sudah cukup untuk saya ulas akan surat ini. Saya percaya ramai kalangan pembaca yang mual dengan mainan politik semasa dan marilah kita berehat dengan isu seterusnya.

Perbezaan antara pelakon politik dan pelakon bola sepak

Perkara ini timbul setelah saya menonton perlawanan sengit antara Chelsea dan Barcelona serta tangisan seorang ADUN pelabuhan klang. Bagi peminat bola sepak, anda pasti tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan ini. Bagi peminat politik tanah air anda pasti tidak tahan menahan air mata anda kerana terlalu lucu menyaksikan drama lakonan Datuk Zakaria ini. Sila lapangkan masa menonton sebentar ya,



Beliau sedih kerana 'niat suci' beliau mendirikan rumah ala istana itu disalahertikan oleh pihak media. Beliau sedih kerana salahkah beliau membina rumah demi kerana bilangan ahli keluarga yang ramai itu? Ramaikan 11 orang anak. Belum tambah cucu lagi tu. Saya terfikir tentang realiti kehidupan rakyat yang lain. Saya percaya, ramai lagi rakyat yang mempunyai lebih ramai orang anak dan lebih ramai lagi jika ditambah dengan cucu dan cicit jika dibandingkan dengan Datuk Zakaria ini. Bezanya, mereka tiada harta sebanyak RM 5 juta untuk membina rumah semewah itu. Jadi, kewajaran Datuk Zack ini menangis atas dasar bilangan keluarga yang besar adalah tertolak. Saya simpulkan sebagai begini, meraih simpati supaya dapat menutup kesalahan sendiri.

Menonton perlawanan bola pula, insiden seperti di bawah adalah mudah untuk dicari






Lucu dan kelakar bila memikirkan bahawa perkara begini terjadi di peringkat profesional dan lebih lucu lagi kerana perbuatan mereka ini berjaya dirakamkan dan ditelanjangkan di hadapan jutaan penonton di seluruh dunia. Namun begitu, pemain-pemain ini(pelakon bolasepak) masih gah berdiri di persada dunia bolasepak.

Sekarang soalan saya kepada anda ialah, apakah situasi ini bakal kita benarkan dalam dunia realiti kita iaitu politik? Mahukah kita dipimpin oleh mereka yang berlakon seolah-olah mewakili rakyat jelata. Mahu terburai perut saya apabila mendengar satu lagi penjelasan Datuk Zakaria kerana dia beralasan bahawa dengan terbinanya rumah itu maka ia bakal menjadi kenangan bahawa keluarga mereka pernah wujud di situ. Apakah signifikannya?(nada:retorik)

Ingin saya tonjolkan lagi lakonan politik yang lain? Nah,



Anda hakimi sendiri dengan meniliti arkib utusan Malaysia yang saya pautkan di sini.

Satu lagi perbezaan antara pelakon politik dan pelakon bolasepak yang saya ingin ketengahkan ialah berkenaan survival. Mengapa mereka berlakon? Jelas, pelakon bolasepak berlakon kerana kemenangan pasukan manakala lakonan politik adalah semata survival individu sahaja. Malah lakonan pelakon politik juga berkemungkinan untuk menjadi liabiliti kepada parti yang diwakilinya. Rakyat boleh menjadi mual dan benci lalu beralih kepada parti pembangkang yang lebih dilihat sebagai jujur buat masa ini.

Perbezaan seterusnya adalah dari segi sokongan. Penyokong bolasepak saya lihat sebagai lebih ikhlas dalam memberi sokongan kepada pasukan mereka. Ini kerana mereka tidak mendapat sebarang pulangan sama ada berbentuk material atau wang ringgit dari mereka yang disokong. Jika mereka menyatakan sokongan adalah kerana kualiti permainan dan nilai kepuasan yang dibawa oleh pasukan atau pemain tersebut. Dalam arena politik pula jauh bezanya. Sudah terang lagi bersuluh akan kesengalan dan kebatilan sesuatu perkara,lagi mahu disokong orang itu. Sudah pastilah mahu sokong kerana pulangannya sangatlah lumayan. Dapat pangkat,duit harta dan sebagainya bukan??

Apa kaitan saya ceritakan tentang Chelsea dan Barcelona tadi? Kerana saya lihat banyak lakonan dari kedua-dua pihak. Haih, hampa kerana gol penyamaan Drogba.

Catatan hidup penulis

Raya tahun ini banyak sungguh melawati rumah terbuka. Terima kasih kepada abang-abang dan kakak-kakak yang sudi menjemput saya ke rumah terbuka mereka. Makanan sungguh lazat dan enak. Namun saya masih tercari-cari akan lemang...

Rumah saya iaitu 301 Riccarton juga tidak ketinggalan dalam mengadakan rumah terbuka. Saya mewakili penghuni 301 memohon maaf andai ada di antara pengunjung rumah terbuka kami yang mendapati akan kekurangan makanan terutamanya ayam. Sungguh kami terleka dalam menaksir berapa orang yang bakal hadir hari itu. Saya berjaya membuat muffin,hehe. Terima kasih kepada saudari Neng yang sudi berkongsi resipi.

Saya baru dijangkiti penyakit perut yang sungguh menyeksakan. Alhamdulillah segalanya tampak semakin pulih buat masa ini. Saya terpaksa mengambil peperiksaan dalam keadaan mual dan loya. Bukan saya seorang sahaja, malah beberapa rakan yang lain turut mendapat masalah perut yang sama. Saya doakan kesejahteraan kita bersama.

Tiada yang terlalu menarik tentang hidup saya untuk ditulis untuk tatapan umum. Cukup sekadar sebaris dua sahaja.

Ada berita menarik yang saya ingin kongsi lagi. Berkenaan perlantikan Editor kumpulan baru untuk NST menggantikan Brendan Pereira. Dan saya anggap ini satu lagi kemenangan Tun terhadap Perdana Menteri





Panjang juga entri kali ini. Saya rasa cukup setakat ini sahaja. Mungkin kerana terlalu lama tidak menulis maka saya ceritakan segala-galanya pada hari ini. Ingin saya mohon maaf atas tulisan saya kali ini. Dengan kemaafaan tidak bermakna saya mengubah pendirian saya. Jika ada yang tidak setuju dengan buah fikiran saya, maka saya alu-alukan buah fikiran anda pula. Saya tidak wajib betul, tetapi saya harus untuk salah.

P.s: Sehingga sekarang maksud sai masih tidak diketahui. Penggunaan tajuk sekadar memberitahu khalayak bahawa entri ini ada kaitan dengan entri sebelumnya.