Friday, November 23, 2007

Guntur Bersih

Rumah sukan saya satu ketika dulu

Hai semua, apa khabar? Kali ini marilah kita berbicara tentang sesuatu yang hangat. Asyik asyik bicara tentang perkara yang suam-suam suku sahaja, tidak menariklah begitu bukan??

Baik, mari kita bicara tentang soal kebersihan. Tahukah anda kebersihan itu sebahagian daripada iman? Bagus jika anda tahu. Tahukah anda bahawa kebersihan itu sebahagian dari keadilan? Entah, saya pun tak tahu..(kalau BERSIH sebahagian dari Keadilan maka saya tahu).

Saya fikir sekarang ini mungkin waktu yang sesuai untuk kita bicara bersama-sama tentang perhimpunan BERSIH yang berlaku lebih kurang 2 minggu yang lalu. Saya akui saya memang lambat mahu mengupas isu ini, kerana bagi saya biarlah isu ini reda sedikit, barulah saya pandai-pandai mengulas sesuka hati saya. Ibarat mahu minum kopi, hiruplah sedikit-sedikit semasa ia panas, dan cernalah kesemuanya bilamana ia tidak mencederakan fizikal kita. Harus diingat ini semua pandangan peribadi saya sahaja, tiada kaitan dengan fahaman politik mana-mana pihak.

Secara jujur, saya tidak gemar dengan perhimpunan seperti ini. Saya tahu bila mana saya katakan pandangan saya ini maka ramailah yang akan menyerang pendapat saya ini. Woi!, kalaupun saya tidak bersetuju adakah bermakna saya bersetuju dengan pimpinan masa kini? Saya tidak pernah menyokong pimpinan yang merapu meraban macam cipan menyondol papan. (habisla saya disaman encik cipan). Perhimpunan ini tidak salah, cumanya saya sahaja yang kurang selesa dan tidak berminat. Benar, perhimpunan sebegini menjadi petanda suara rakyat, tetapi fahamkah rakyat apa yang mereka suarakan itu? Atau, fahamkah orang yang mahu disuarakan itu? Saya sendiri tidak faham kerana saya secara peribadi tidak tahu di mana ertinya semua itu. Ya, mereka mahukan pilihan raya yang bersih. Tetapi, jika saya tanyakan pada kalian semua, tunjukkan di mana kelemahan pilihanraya sekarang ini. Usah cakap kosong sahaja, cakap yang entah dari mana datangnya sumber berita.
Saya berbicara atas pandangan peribadi, dan pandangan saya terbatas pada setakat ini sahaja. Saya membaca banyak sumber yang mengatakan itu dan ini tetapi saya tidak nampak di mana datangnya bukti.. (oh, saya teringat pula dengan kebebasan media yang begitu terhad, lain daripada itu saya tidak nampak).

Waktu perhimpunan ini juga agak licik jika boleh saya katakan sebegitu. Kenapa licik? Kerana ia dibuat ketika bahang pilihan raya semakin menjelang. Berkata soal pilihan raya, maka bermacam-macam strategilah yang keluar, tidak kira dari pihak yang mana sekalipun. Maka, tidak salah jika saya katakan yang perhimpunan ini ada agenda politiknya berbanding agenda rakyat. Lagi satu, bukankah perhimpunan ini berkaitan pilihan raya? Jadi, anda rasa siapa yang beria-ria? Rakyatkah? atau sebahagian rakyat? atau individu politik yang mengambil kesempatan? Saya pelik juga kerana seolah-olahnya seluruh rakyat Malaysia berada di belakang parti politik tertentu itu.

Saya tidak mahu mengulas panjang berkenaan bagaimana pihak berkuasa menangani perhimpunan ini. Pendapat saya, tindakan mereka agak keterlaluan. Tapi bilamana saya fikirkan kembali tujuan perhimpunan ini, saya menjadi neutral kembali. Bagi saya, kedua-dua pihak mempergunakan sumber yang ada. Sumber kuasa politik, dan kuasa sentimen rakyat.

Pembaca yang dihormati sekalian, saya berfikir, dan anda berfikir, dan fikiran kita tidak harus betul, tetapi wajib untuk salah.

Walaubagaimanapun, saya mengucapkan tahniah juga kepada pihak BERSIH kerana dengan adanya anda maka kita telah ditonjolkan dengan kehebatan menteri-menteri kita menangani tekanan media antarabangsa. Jelas, mereka hanya gah di arus media perdana tetapi di arena antarabangsa, macam hampas! Oleh itu, pilihanraya nanti, pastikan jawapan yang tepat berada di tangan anda. Jangan pandai berhimpun saja ok.. [Juga dikejutkan dengan amaran PM, dia pantang dicabar la pulak]


Saya juga berminat mahu ulas satu lagi komponen yang ada kaitan dengan bersih. Apakah ia?
Baiklah, saya mulakan dengan teka teki..

Berbatang panjang di atas, berbulu di bawah.. Siapakah saya???

Hehe

Jawapan.....PENYAPU..

Kalau kita nak bersih, kita gunalah penyapu. Sial sangat ke penyapu tu? Penyapu tak boleh mendatangkan mudarat kepada kita kalau kita benar-benar beriman kepada Allah.
Kalau anda tidak faham apa yang saya katakan, maka lebih baik saya ulas sedikit latarbelakang kisah penyapu ini. Bermulanya kontroversi penyapu ini adalah ketika MB Selangor menghadiahkan penyapu kepada salah satu PBT tempatan. Hal ini kerana PBT ini gagal untuk mencapai target pungutan cukai dalam tempoh waktu yang ditetapkan. (baca) Maka, bermacam-macam reaksi timbul dari pelbagai pihak. Penyapu itu siallah, penyapu tidak sesuailah, penyapu menjatuhkan maruah, penyapu sampahlah, dan bermacam-macam penyapu lagi. Respon yang diterima rata-rata bersifat agresif. Yang saya mahu ketawa adalah kemarahan seorang menteri yang memarahi tindakan pemberian penyapu itu kerana katanya PBT di bawah kerajaan pusat bukan di bawah kerajaan negeri. Pelik tetapi benar. Bilamana ada kecacatan pada mana-mana PBT, maka yang terus diserang adalah kerajaan negeri, yang pusat terus menyorok berdiam diri.

Bagi saya, jika tidak diberi penyapu tidak apa, diberi pun sama sahaja. Bukannya besar sangat isu ini(maksud saya isu penyapu), melainkan ada pihak yang ada agenda mahu menjatuhkan pihak lain.
Mungkin kalau diberikan vakum lebih sesuai kot...hehe

(pautan1)(pautan2)(pautan3)(pautan4)
Pautan 1: dapat penyapu baru nak komplen!
Pautan 2: Penyapu bukan hina, tetapi terlalu hina
Pautan3 : Lebih baik saya bersara
Pautan 4: Alternatif kepada penyapu

Berkaitan bersih juga, saya ada pengalaman peribadi yang mahu dikongsi..
Berkaitan sumber kuasa yang bersih. Bersih? Dalam bahasa kejuruteraan atau perspektif alam sekitar, sumber kuasa yang tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar. Sekarang ini saya
baru berjinak-jinak dengan kuasa ini. Doakan saya berjaya menyudahkan kajian kuasa ini ya. Blog ini menarik untuk kalian lawati(pautan)

Apa lagi ya,
Lebih kurang dua minggu lagi saya akan pulang ke Malaysia, bertemu keluarga tercinta dalam tempoh masa yang singkat sahaja. Saya harap tiada upacara umpama BERSIH yang akan mengganggu gugat perancangan saya di tanah air kelak. Tidak sabar juga bertemu rakan taulan yang telah lama tidak kusua.

Oh ya,
Berkenaan angkasawan, kita telah terlewat untuk membangkang kerana angkasawan itu telah pun di hantar ke angkasa lepas. Apa yang dapat dilakukan ialah mengeksploitasi situasi yang ada.

Sampai di sini sahaja..

Ma I Do A ri..Bang! (Selamat berjurang)!

P.s:
1.Ada orang yang akan pulang ke Malaysia Isnin ini. Doa saya awak selamat sampai. Moga ketemu di Temerloh ya..(Temerluh ke Temerloh eh?,curiga(confius..))
2. Rumah kuning adalah juara rumah sukan di SMK Seri Pekan pada tahun 2003.hehe
3. Tak sabar nak naik MH. Apa itu MH ya?[jawapan]

Friday, October 19, 2007

Jurang ini bukan sempurna

Jurang Zakaria


Kali ini saya mahu bicara tentang perjurangan. Dalam erti kata lain, saya mahu mengupas isu isu berkaitan jurang yang berlegaran di dalam pemikiran saya tatkala ini. Jadi, apakah jurang yang saya cuba ceritakan kali ini?

Tahukan anda jurang yang terdalam di dunia ialah jurang Mariana ? Bagus jika anda tahu tentang fakta itu. Tetapi tahukah anda salah satu filem saudara Yusof Haslam yang bertajuk Maria Mariana tiada kaitan langsung dengan jurang Mariana? Bagus jika anda tahu. [Maafkan saya kerana suka mengarut, hakikatnya saya kehilangan rentak untuk menulis kembali setelah meninggalkan jurang yang besar antara entri terdahulu dan entri kali ini]

Daripada saya membebel tidak tentu pasal dan mengelamun lebih baik saya terus ke arah idea-idea saya.

Saya menulis tentang entri berkisarkan jurang ini kerana saya sudah lama menyimpan perasaan terhadap Mariana... Ops, saya bergurau saja [habislah saya kena 'bahan' dengan seseorang nanti, :P]. Sebenarnya, saya terkejut dengan perkembangan ini yang melebarkan jurang antara golongan kaya dan yang tidak berapa kaya.

Saya melayari beberapa laman-laman blog yang sudah lama saya tidak layari dan hasilnya saya dapati pelayaran saya terkandas pada satu jurang yang dicipta di tengah-tengah negeri Selangor. Ya, cerita lama, pasal Abg Zakaria kita. Saya melihat perkara ini tidak munasabah langsung. Bilik utama yang lebih besar daripada sebuah rumah kos rendah! Ramai yang bisa berkata, biarlah dia dengan kekayaannya. Ala, lagipun bukankah rumah itu untuk cucu-cucu beliau yang ramai... tetapi tidak bagi saya, mana bisa dibiarkan kekayaan sebegini. Jurang sebegini tidak wajar ditonjolkan secara melampau dan terang-terangan. Usahlah menunjuk-nunjuk kekayaan yang kita punyai. Sudahlah tidak membantu meringankan beban yang tidak mampu, disakitkan pula hati dengan gelagat mempamerkan kekayaan yang melimpah ruah. Saya percaya, perkara ini tidak mustahil mengheret Malaysia ke dalam kancah perpecahan antara kelas atasan dan bawahan.

Peristiwa yang berlaku di Myanmar juga menarik minat saya untuk menulis sedikit perihal jurang ini. Saya tidaklah mengetahui secara mendalam tentang krisis politik yang melanda Myanmar tatkala ini, tetapi salah satu perkara yang mengakibatkan protes rakyat ialah jurang yang begitu besar antara yang kaya dan yang tidak kaya. Anak-anak kecil di jalanan merayu pelancong membeli poskad-poskad untuk mendapatkan sesuap nasi. Anak-anak orang kuat junta pula megah dalam majlis perkahwinannya.



Kebetulan ketika ini negara begitu hangat dengan pencapaian negara melahirkan angkasawan pertama. Kos untuk membiayai program ini bukan murah. Sudah pasti tidak murah. Bermula dari proses pemilihan hinggalah ke latihan terakhir, kosnya sudah pasti menelan jutaan ringgit. Ramai yang bisa berkata, "bukankah lebih baik jika wang itu diniagakan untuk perbelanjaan membantu golongan miskin yang melata di bumi ini?".. Ya, anda boleh berkata begitu, tetapi saya tertarik juga dengan kata-kata ini. "Kalau anda rasa perbelanjaan ke angkasa itu satu pembaziran, kenapa anda masih menggunakan internet? Silalah gunakan wang yang anda bayar untuk internet ini untuk memberi sedekah kepada orang yang memerlukan.. Ya, seringkali kita hanya pandai mengomel tetapi hakikatnya diri sendiri tidak mampu membantu ke arah yang lebih baik. Kadang-kadang, kita hanya melihat sesuatu perkara itu dari sudut nilai kewangan atau materialistik sahaja walaupun sebenarnya nilainya lebih daripada itu. Geram juga saya apabila membaca artikel tulisan Encik Belakang Orang ini. Mengatakan slogan untuk program angkasawan ini adalah 'Malaysia Bodoh' bagi menggantikan 'Malaysia Boleh'. Tapi nak buat macam mana, dalam kepandaian itu sudah pasti ada bahagian yang bodoh juga. Berkaitan dengan perkataan jurang, mungkin Kementerian Sains dan Teknologi mahu mengurangkan jurang ilmu astronomi dengan negara-negara kuasa besar yang lain.

Jurang yang berikutnya adalah jurang Ramadan. Benar, Ramadan bulan mulia itu. Ramadan mendekatkan kita dengan pencipta, mendekatkan kita pada agama, mengurangkan jurang kita dengan Dia. Dalam bulan mulia itu, jurang bangsa dirapatkan, jurang senioriti dikurangkan, dan pelbagai jenis jurang lagi dikurangkan. Namun begitu, usahlah jambatan yang pernah kita bina dalam menyambungkan jurang-jurang ini dirobohkan begitu sahaja. Benar, saya rindu akan Ramadan...

Baru menghadiri jamuan perpisahan untuk senior-senior Petsoc semalam. Mereka akan meninggalkan kami di bumi NZ ini. Jadi, bersempena entri kali ini, saya harap jurang jarak dan waktu antara kita tidak akan mendatangkan masalah kelak. Saya tidak mahu ada jurang persahabatan antara kita. Kerana jurang itu tidak sempurna...

Satu lagi jurang! Jurang ilmu dalam menghadapi peperiksaan nanti. Terasa banyak benar perkara yang harus diulangkaji untuk peperiksaan akhir tahun kali ini. Harap-harap minggu ulangkaji kali ini dapat menutup jurang yang ada dan membuatkan saya bersedia..

Setakat ini sahaja kali ini, kalau mahu berkata pasal jurang lagi sudah pasti saya akan mengaitkan dengan bolasepak. Jurang mata antara Liverpool dan pasukan lain di tangga teratas nampak seperti mahu melebar. Kena bersabar lagi nampaknya...

Sekian.. Selamat berjurang!

P.s: Kepada 'kamu', Mariana itu cuma gurauan sahaja ok..hehe

Sunday, September 23, 2007

KonGsi

DOA

kepada pemeluk teguh

Tuhanku
Dalam termangu
Aku masih menyebut namamu

Biar susah sungguh
mengingat Kau penuh seluruh

cayaMu panas suci
tinggal kerdip lilin di kelam sunyi

Tuhanku

aku hilang bentuk
remuk

Tuhanku

aku mengembara di negeri asing

Tuhanku
di pintuMu aku mengetuk
aku tidak bisa berpaling

Nukilan Chairil Anwar

13 November 1943

Saturday, August 11, 2007

Catatan buat 20 hari nanti dan seterusnya


Biarlah awal dua puluh hari pun, mana bisa semangat anak merdeka diukur dari sudut tarikh. Ya, saya mahu menulis tentang merdeka. Merdeka yang kita sendiri keliru dengan pengertian. Saya, kamu, mereka, kita, kami, dia, atau siapa siapa saja yang bisa keliru dengan kemerdekaan. Ada yang mengatakan kita tidak bisa erti apa itu merdeka kerana kita tidak pernah merasa erti penjajahan. Lebih-lebih lagi generasi lingkungan umur seperti saya yang tidaklah bersama-sama dengan pejuang-pejuang negara satu ketika dahulu. Benar, saya tidak bersama-sama dengan perjuangan mereka. Saya tidak bersama-sama dalam penentangan ke arah kebebasan. Saya tidak bersama-sama dalam penindasan penjajah ke atas yang dijajah. Saya tidak bersama-sama memegang sepanduk menentang Malayan Union satu ketika dahulu. Saya juga tidak memegang sepanduk meraikan kembalinya rombongan Tunku Abdul Rahman yang membawa 'tauliah kemerdekaan' dari British. Siapalah saya untuk meraikan kemerdekaan ini....

Merdeka itu tafsirannya pelbagai, dari segi sudut maupun statik. Merdeka itu ada yang mengatakan berakhirnya era penjajahan dari sebarang kuasa penjajah. Berakhirnya penjajahan itu membolehkan sesebuah negara itu bebas. Bebas merangka negaranya, merangka tarinya, merangka rakyatnya, merangka perangkaan yang sepatutnya berpandukan selera dirinya sendiri. Ada juga beranggapan merdeka itu tidak ada, kerana hakikat penjajahan itu sendiri ditolak. Ada beranggapan merdeka itu lebih luas ertinya jika digali dalam-dalam istilah itu. Suatu sudut lain membawa maksud merdeka itu tidak harus pada negara, malah wajib ada di dalam jiwa dan pemikiran rakyat. Jiwa perlu merdeka. Pemikiran perlu merdeka. Tidak ada unsur-unsur budaya kuning meresapi minda rakyat. Jika rakyatnya dikotori dengan budaya luar,maka secara tidak langsung negara itu sudah tidak merdeka lagi.

Sudah saya katakan pada perenggan pertama bahawa saya tidak bersama-sama dengan pejuang-pejuang bangsa yang melalui jerit perih menuntut kebebasan di tanah sendiri. Saya tidak mahu mencuri kegemilangan mereka. Saya tidak mahu merosakkan kepayahan dan usaha mereka dengan menumpang sekaki. Sindrom tumpang sekaki yang menyakitkan hati. Sindrom meraikan kemerdekaan secara berlebihan yang tidak pernah dihayati dan diketahui apa makna merdeka itu sendiri. Malahan, sambutan yang berlebihan inilah yang melunturkan jati diri rakyat yang kononnya berjiwa merdeka itu. Seperti tahun-tahun yang lalu, sambutan diadakan di mana berkumpulnya kumpulan-kumpulan seperti skinhead, punk, oi!, dan apa-apalah lagi yang sesat dan menyesatkan itu merosakkan imej merdeka itu. Mabuk, bergaduh, terkinja-kinja di malam merdeka, apakah ini? Ini baru kelunturan imej merdeka, belum dari sudut pengertian dan pengukuhan kefahaman merdeka itu sendiri. Mempersoalkan kewajaran sambutan kemerdekaan merupakan satu dilema. Sebagaimana dilema mahu menegur adat yang disangka ibadat dan apa-apa yang sesuai untuk dikaitkan dengan kejumudan dalam pemikiran. Jika yang dilakukan itu lebih merosakkan daripada membawa kebaikan, maka usahlah, lupakanlah. Umpama menyembah kubur milik seorang wali, kebaikan wali itu tidak terhakis namun si penyembahnya yang mendapat dosa besar.

Saya tidak bersama-sama dalam perjuangan satu ketika dahulu, walaubagaimanapun saya tetap tidak boleh dipersalahkan jika saya mahu mengingati perjuangan mereka. Kamu yang mahu meraikan kemerdekaan juga tidak boleh dipersalahkan. Saya dan kamu akan bersalah jika kita sama-sama merosakkan merdeka ini. Kita tidak dapat menaiki mesin masa berharap dapat berjuang kembali bersama nenek moyang kita. Cuma yang ada pada generasi kini adalah perjuangan meneruskan merdeka itu sendiri. Pengisian kemerdekaan. Mempertahankan kemerdekaan. Itu tugas kita bersama. Perjuangan yang tidak pernah akan selesai.......

Bercakap tentang merdeka, saya mahu menyelitkan tentang kemerdekaan individu. Individu ada hak untuk bebas, tetapi ada batas. Apa yang menentukan batas-batas itu? Anda tahu batas itu jika anda beragama, anda tahu batas itu jika anda ada rasional, anda tahu batas itu jika anda bersuami, anda tahu batas itu jika anda beristeri, dan anda tahu jika anda berkeluarga (tiga yang paling akhir saya tidak tahu kerana setakat ini saya cuma beragama dan berasional).

Saya menjadi terlalu emosi apabila saya menghayati sajak 'Perjuangan yang belum selesai' karangan Tun Dr Mahathir. Ditambah pula dengan versi lagu nyanyian Nora membuatkan semangat saya berkobar-kobar dan patriotik.


Perjuangan yang belum selesai

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayatkan
dari melihat bangsaku dijajah
tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina


Air mata tiada ertinya

sejarah silam tiada maknanya

sekiranya bangsa tercinta terpinggir
dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa

para pejuang kemerdekaan

bagi menegakkan kemuliaan

dan darjat bangsa

selangkah beerti mara

mengharung sejuta dugaan


Biarkan bertatih

asalkan langkah itu yakin
dan cermat
bagi memastikan
negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara

mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita


Tugas kita bukan kecil
kerana mengisi kemrdekaan
rupanya lebih sukar
dari bermandi
keringat dan darah menuntutnya

Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan

kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan,

mengangguk dan membenarkan,
kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya,
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri

Bukan kecil tugas kita
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
kerana rupanya selain memerdekakan,

mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya

bukankah sejak zaman berzaman
mereka menjadi pelaut, pengembara

malah penakluk terkemuka?


Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,

menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan
ilmuan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera menjajah dunia yang tak dikenal Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau yang tidak mengenal erti takut dan kematian?

Di manakah silapnya
hingga bangsaku
berasa begitu kecil dan rendah diri?
Apakah angkara penjajah?
Lalu bangsaku mulai melupakan kegemilangan silam
dan sejarah gemilang membina empayar


Tugas kita belum selesai rupanya

bagi memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati

Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya


Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku

kerana masa depan belum tentu
menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah

dapat membina mercu tanda
bangsanya
yang berjaya


Dr. Mahathir Mohamad
Mei 1996


Maafkan saya jika saya ada menyinggung sesiapa dalam entri kali ini. Kita harus sedar sejarah kita sendiri. Ada yang mengatakan melayu itu kuat pada sejarahnya. Kita harus tidakkan kata-kata ini kerana kita turut mahukan kekuatan buat masa sekarang, dan bukan hanya pada sejarah. Hidupkan sejarah yang molek yang dicipta oleh mereka yang telah tiada...



Monday, July 30, 2007

Singkat

Sangat singkat kali ini
Singkat tapi bermakna
Contohnya
Kalau pakai kain singkat, nampaklah aib kita. Bukankah itu bermakna?
(sebenarnya saya mahu katakan singkat tetapi signifikan, signifikan menggantikan perkataan bermakna.)

Singkat sahaja entri kali ini, berkisar pada peranan.

Satu orang ada masalah yang besar bagi dia.

Satu orang anggap masalah itu mudah sahaja baginya.

Satu orang yang mula-mula tadi simpan masalah dalam hati sahaja kerana dia rasa, masalah itu remeh sahaja bagi orang lain mungkin. Simpan sahajalah dalam diri kerana rasa segan dan perasan malu.

Satu orang yang lepas yang mula-mula tadi bukan diciptakan tanpa peranan. Dia rasa masalah satu orang yang mula-mula tadi remeh kerana dia boleh selesaikannya.

Jadi, kalau ada masalah, mintalah bantuan orang lain, jangan malu, jangan segan....

Kadang-kadang saya anggap diri sudah cukup untuk sesuatu masalah
Tetapi saya masih ada banyak masalah

Satu lagi
Teringat polisi Malaysia(satu ketika dahulu namanya tanah Melayu, mengingatkan siapa yang terlupa atau sengaja lupa). Berlaku neutral. Menjadi neutral. Atau bersikap berkecuali.
Bunyi macam mudah, tidak mengambil mana-mana pihak untuk disokong. Mudah?

Ada susah. Ada mudah.

Susahnya, kita tiada kawan. Tak sokong mana-mana, mungkin hilang dua-dua kawan yang bertelagah. Contoh, kita tidak sokong komunis china, jadi kita tak jadi kawan china. Kita tak sokong kuasa besar Amerika, kita tak jadi kawan amerika. Bukan kita tak mahu kawan, kita mahu saja. Tapi, yang mahu dikawankan itu ragu dengan kita. Kalau kau kawan aku, kau kena sokong apa saja yang aku buat. Bukankah begitu? Lebih-lebih lagi waktu peperangan(perang panas atau perang dingin), masa inilah negara-negara kecil menjadi umpan dan mahu dikawankan.

Dari segi mudah pula, mudah dituduh. Dituduh sebagai pengambil jalan mudah. Tidak tahu setiakawan. Atau dituduh tidak tahu membuat keputusan

Singkatkan erti persahabatan
Kita akan nampak aib sahaja
Tak setuju tak apa
Saya tulis saja
Tak faham tak apa
Tanya sahaja

Friday, July 20, 2007

Musim

Sekarang ini musim durian


Dikatakan sesuatu itu musim, jika taraf populariti, pengeluaran, atau apa apa sajalah yang menggambarkan sesuatu itu menjadi kegilaan pada tempoh masa yang tertentu. Datangnya musim itu bukanlah datang secara bodoh-bodoh alang atau secara tiba-tiba tanpa sebab-sebab yang tertentu. Musim buah, musim menuai padi, musim peperiksaan, musim sejuk, dan pelbagai musim lagi datang atas beberapa faktor tertentu seperti faktor cuaca, faktor taburan hujan, faktor penjadualan, faktor kedudukan bumi relatif kepada matahari dan juga X factor. Oleh itu, menjadi kewajaran kepada kita untuk menghargai musim-musim ini dan mengambil sepenuhnya perkara yang menjadi keistimewaan dalam musim-musim yang tertentu. Sebagai contoh yang mudah, penggemar durian pastinya tidak melepaskan peluang tatkala munculnya musim durian dengan menghabiskan buah-buah durian yang ada di muka bumi ini. Hal ini kerana, jika dibiarkan sahaja buah-buah durian ini tidak dimakan, ini adalah satu kerugian bagi mereka. Ini akan menghasilkan sindrom kempunan dan keinginan yang tidak dapat diterima akal. Jika anda tinggal di luar negara ketika ini, anda pasti mahu menghargai dan berada dalam suasana musim cuacanya yang nyata berbeza dengan iklim tanah air kita. Maka, adalah tidak realistik jika kita mengidam mahu bermain salji di halaman rumah kita di Malaysia. Mudahnya, segeralah bertindak untuk menikmati yang indah-indah dalam sesuatu musim itu.

Saya tiada kesungguhan untuk menulis sesuatu yang berkualiti untuk dibaca tapi daripada tiada apa lebih baik saya usahakan sesuatu. Lebih dari sebulan saya biarkan blog ini tidak dikemaskini. Walaupun soal musim ini remeh dan tidak menarik, tetapi saya memilih ini kerana apa?

1. Kerana saya suka melihat peristiwa letak meletak jawatan/silalah letak jawatan/drama jangan letak jawatan dan apa-apalah yang berkaitan jawatan kebelakangan ini. Semua ini lahir dari musim yang pelbagai. Contohnya musim Piala Asia, EPL, La Liga, dan sebagainya. Sebagai rakyat Malaysia yang sukakan bola sepak, pastilah saya menginginkan kemenangan bagi pasukan kebangsaan. Namun, pencapaian skuad Norizan kali ini benar-benar menghampakan dan mengecewakan hati dan naluri. Bertitik tolak dari kekalahan memalukan 5-1 dan 5-0 masing-masing kepada China dan Uzbekistan membuatkan saya patah hati dan kecewa. Kecewanya saya turut dikongsi rakan-rakan yang lain. Bahkan ada yang berani mengatakan(saya tidak pasti ini untuk menyedapkan hati yang sudah tawar ataupun sebuah jenaka yang sangat sarkastik) mengaitkan kekalahan angka 5 itu berkaitan dengan sambutan kemerdekaan kita yang ke 50! (bukan mudah memastikan bolos 5 gol untuk dua perlawanan berturut-turut). Maka, selain daripada malu kepada skuad negara, adegan letak meletak jawatan sudah tidak dapat dielakkan lagi. Bermula dengan perletakan jawatan Tengku Abdullah, diikuti dengan Ibrahim Saad, dan 'tiba-tiba' diikuti oleh Khairy Jamaludin (KJ) [yang ini saya ketawa terbahak-bahak) membuatkan saya merumuskan kali ini sebagai musim meletak jawatan. Maka bermulalah satu gerakan revolusi yang mahukan pembersihan dalaman pengurusan FAM.

Apa yang menariknya sehingga tekanan dari peminat kali ini begitu hebat?(ini sekadar pandangan peribadi saya ya)
  • Kemarahan peminat memuncak-muncak bukannya baru selepas kekalahan dalam piala Asia ini. Kita telah dijamu dengan persembahan yang buruk dalam banyak lagi kejohanan sebelum ini. Kali ini,api kemarahan menyala-nyala kerana kita terpengaruh dengan persembahan yang lebih baik daripada jiran-jiran kita, Thailand, Indonesia, dan Vietnam. Lihatlah betapa hebatnya Thailand menumpaskan Oman, Vietnam menumpaskan UAE, dan Indonesia yang 'mengancam' Korea Selatan. Mereka mampu kita bagaimana? Maka tidak dapat tidak, peminat mengecam dengan mengeluarkan banner yang berbunyi begini, "kemudahan kelas pertama tetapi pengurusan kelas ketiga"

  • Saya menonton aksi lembik pemain pertahanan dan merumuskan peminat mana yang tidak marah melihat aksi selembik dan se'aww' begitu. Malah ada yang mengatakan bahawa fungsi Fadzli Shaari sebagai pemain ke-12 pihak lawan angkara kesilapan beliau yang mudah memberikan bola kepada pihak lawan.
  • Jika mahu dikorek sebab-sebab kemarahan memang panjang polemiknya. Bagi saya apa yang lebih penting sekarang adalah pelaksanaan dan bukannya polemik semata. Polemik yang begitu panjang tentang kemerosotan aksi pasukan kebangsaan sungguh hangat perdebatan. Malangnya polemik itu sekadar polemik, panjang dan berpanjangan mahu menjadi polimer pula. Saya tertarik dengan satu kata-kata ini, "siapa yang boleh, buat..siapa yang tak boleh, kritik"
Saya tidak mahu membincangkan baikkah perletakan jawatan ini kepada mutu bola sepak negara. Sebaliknya, lebih baik dibincangkan rancangan masa hadapan. Jangan sampai peminat hilang sebarang minat langsung kepada bolasepak tempatan selepas ini....

Selain bola sepak, cuba teka apa lagi yang berlaku insiden letak meletak?
Jawapan saya, letak telefon, letak kereta, dan perletakan jawatan dalam PKR yang begitu ketara. Ada yang mengatakan perletakan jawatan dan tindakan keluar parti oleh beberapa muka-muka besar dalam PKR adalah kerana ketidakpuashatian terhadap pucuk pimpinan parti. Orang bawah penat perjuangkan reformasi, yang direformasikan seronok membuncitkan perut sendiri. Ini pandangan sebelah pihak. Bagi pihak di sana(baca:pihak PKR) kehangatan isu perletakan jawatan dan keluar parti ini adalah sekadar gimik kerajaan semata. Kenapa? Jawapannya mudah, kerana pilihanraya umum semakin hampir.
Apa respon saya tentang isu di atas?
Mudah, kita lihat bagaiman survival parti itu selepas ini. Sejarah yang berlaku pada parti Semangat 46 mungkin atau mungkin tidak berlaku lagi. Cumanya, kredibiliti Saudara Anwar Ibrahim sedikit tercalar pada pandangan saya.
Tercalar?
Lihat isu ini(Anwar dan mahkamah) dan ini(Ezam vs Anwar)

Apa lagi ya?
Selain daripada insiden yang sudah meletak jawatan, ada juga yang digesa dilepaskan jawatannya. Ini termasuk seorang manusia yang lahir dari Pekan Bandar Diraja(Duli bersemayam, memerintah watan penuh keadilan) yang digesa diletakkan jawatan dek kerana kecelakaan yang melanda helikopter Nuri. Terlebih dahulu takziah kepada ahli keluarga mangsa-mangsa yang terlibat. Beliau bukan sehaja digesa melepaskan jawatan kerana insiden ini, malah turut dikaitkan(selagi boleh kait, kaitlah) dengan pengeboman model dari Mongolia. Begitu juga dengan apa yang menimpa Ketua Polis Negara. Juga digesa meletakkan jawatan...Saya pula terasa mahu menuduh pensyarah yang tidak digemari dan memaksa mereka meletak jawatan,hehe.

[sesiapa yang ada lagi cerita tentang letak jawatan, sila tambah ya.Lalalalalalalala, menunggu seorang Imam meletakkan jawatan]

Mak kata sekarang ini musim durian....rindunya nak makan durian...rindu pada mak juga

Musim lain yang menimpa manusia ialah musim bercinta, musim berpisah dan sebagainya. Sehebat manapun sesuatu musim itu, tidaklah wajar untuk kita berubah. Sewajarnya, kita menyesuaikan diri dengan musim itu. Berenang kerana tercampak di dalam kolam arak tidak menghalalkan kita sengaja meminum arak, sebaliknya kita yang perlu berenang di dalamnya mencari tepian yang selamat.

Musim yang saya hadapi sekarang, adalah musim membaca cerita-cerita lama. Membaca tulisan-tulisan berkaitan sejarah negara benar-benar menarik minat hati saya ketika ini. Saya baru selesai membaca buku "The reluctant politican, Tun Dr Ismail and his time". Sebuah buku yang menjadikan saya mengetahui peranan beliau khususnya dalam kestabilan politik era 60an dan awal 70an. Beliau juga disegani oleh rakan dan seteru termasuk TDM[ditulis dalam buku ini Tun Dr Ismail lebih merestui Musa Hitam daripada TDM]. Peranan beliau tidak terlalu diketahui oleh generasi masa kini mungkin kerana beliau bukan Perdana Menteri. Jawatan tidak menggambarkan besarnya sumbangan. Ada apa dengan Presiden atau PM kalau selalu sahaja bercuti daripada membuat kerja????????????????????

Haaaa
Satu lagi musim yang menarik adalah musim perpindahan pemain sempena musim panas ini. Tidak sabar menanti musim baru EPL dan La Liga yang baru. Sejauh mana kehebatan pemain yang berhijrah khususnya Henry dan Torres dapat merubah sesebuah pasukan.
Yeay! Anda tidak akan berjalan seorang diri!

Sekain

Eh

Sekian

Ma I Do Ari.. Bang!

Friday, June 15, 2007

Entri ini khas untuk semua


Tidak adil jika dahulu saya bersedih saya luahkan segalanya di dalam ruangan maya ini. Bila mana saya dihujani bahagia saya mendiamkan diri tanpa sebarang bicara. Itu tidak adil.Maka izin saya menjadi adil, bicara seketika, berbunyi taipan bahagia. Segala derita yang sudah lama saya simpan, saya tanam, saya hancurkan, saya bakar, saya padam, saya lenyek, semua sudah hancur berkecai dan pasti,pasti,pasti tidak sekali kali akan saya harapkan lagi. Menjadi bahagia itu sukar, jika hati berterusan memudahkan urusan derita. Meronta-ronta, teriak, jerit, laung, pekik kepada bahagia yang telah lama pergi. Biarkan bahagia lama itu pergi, kerana bahagia yang lama itu sudah tamat tempohnya bersama bekas pemiliknya. Bahagia yang itu sudah tamat tempoh dan luput, basi, busuk, dan harus pergi..Selamanya.

Saya kategorikan diri saya sebagai bahagia buat masa ini. Saya bahagia juga sebelum ini. Cuma 'kamu' membuatkan saya berani,tegar,tegas dan beragas untuk memaklumkan semua ini. 'Kamu' penyebab entri ini, pencetus entri ini, penjana jemari ini, menari gembira untuk semua....

Sekian, coretan sebuah rasa, bersulam kata-kata, dikongsi buat semua

Sunday, June 10, 2007

Bukan itu, bukan ini


Ku Cari Damai Abadi.
Aku Cari bukan harta bertimbun-timbun

untuk hidup kaya
Aku cari bukan wang berjuta-juta

untuk hidup bergaya

Aku cari bukan kawan-kawan
untuk hidup berfoya-foya

Aku cari Mana dia Al-Ghazali
Aku cari mana dia Al-Shafie
Kita bongkar rahsia sunnah nabi

Cari Panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi

Dialah Teman

Dialah Wali


Dia mencukupi Aku hidup bererti
Menikmati Damai Abadi.

-Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi- -9 Mei 2003-
(Malam Puisi Utusan ke-10)




Masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan selamat berbahagia kepada Perdana Menteri. Moga menemui damai abadi hendaknya.

Kepada abg Inzaghi, maaf kata, saya masih mahu mengemaskini blog ini. Saya sayangkan blog ini. Jangan kerana kekalahan yang kecil dalam dunia bola sepak, anda terus menjadi lemah dalam segalanya.

Salam bahagia buat semua



Thursday, May 24, 2007

Kejut-an listrik=mu

Abg Inzaghi

dewa(afifi):weh, bile nak update blog?
anas: tunggu liverpool menang dulu

inzaghi: bila nak update blog?
anas: Tidak!!!

Ada yang mengatakan, keajaiban tidak berlaku dua kali, dan kali ini adalah buat sekalian kalinya....

A.C Milan 2-1 Liverpool

Tuesday, April 24, 2007

Entri ini ertinya kalah

.Erti kekalahan sebenar.


Kekalahan itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima
Kekalahan itu bukan sesuatu yang enak untuk dicerna


Kekalahan adalah satu perkataan yang sememangnya dilihat, didengar, dan disebut sebagai perkara negatif. Banyak benar situasi yang mengujakan, menggoncang, mengusik keinginan sanubari saya untuk mengulas dan membuat sedikit komentari tentang kewajaran kekalahan itu sendiri.

Banyak cabang kekalahan yang saya mampu ungkit dari kehidupan seharian saya sendiri dan juga kehidupan seharian orang lain. Istilah 'tak nak kalah' bagi saya merupakan istilah yang besar maknanya. Maksud istilah itu mampu memberi tafsiran terhadap keadaan psikologi dan penerimaan semulajadi terhadap satu keadaan yang bernama kekalahan.

Dari segi peribadi, kekalahan merupakan sesuatu yang menakutkan.
Kenapa?
  • Kekalahan itu pedih kerana diri terlalu yakin untuk menggapai kemenangan
  • Kekalahan itu menyakitkan kerana diri sendiri tiada upaya untuk menang. Hakikat kelemahan dan kekurangan sendiri itu ditolak kerana memikirkan diri sudah cukup sempurna
  • Kekalahan kadang-kadang tidak memberi gambaran sebenar akan kekuatan sebenar kita. Tetapi benarkah?
  • Kekalahan itu memalukan. Lebih-lebih lagi jika ditonton oleh orang lain.
  • Kekalahan itu bukanlah kemenangan yang diimpikan (ulang-ulang isi yang sama, siapa suruh serius sangat baca)
Saya berminat untuk menulis tentang kekalahan kerana saya melalui beberapa situasi kekalahan dalam masa yang terdekat ini. Situasi kekalahan ini saya bolehlah pecahkan kepada beberapa perkara, berkaitan peribadi, masyarakat, bangsa dan negara.

Maka eloklah rasanya saya mulakan dengan yang paling penting, iaitu berkaitan negara. Jika anda tidak bersetuju dengan susunan saya ini(kerana anda merasakan perkara peribadi lebih penting atau dalam erti kata lain, anda tidak mahu kalah) maka bacalah dari bawah ke atas. Kebelakangan ini saya jarang mengambil pusing akan perkara-perkara yang berkaitan negara kerana sibuk dengan agenda lain. Antara agenda yang saya lalui adalah agenda peribadi. Oh, cukup setakat ini gusar nanti saya bercerita soal peribadi dahulu sebelum bicara soal negara. Baik, teruskan berbisnes. Sindrom yang melanda negara tatkala ini adalah sindrom pilihanraya di N11 Ijok. Hebat rasanya pertarungan kali ini. Kehebatan yang sudah pastinya melangkaui dua pilihanraya sebelumnya (Batu Talam dan Machap) yang kedua-duanya menjadi milik BN. Debat antara kedua-dua parti ini sedang rancak menari melalui pentas ceramah umum dan juga melalui platform laman web dan blog. Apa yang menarik berkenaan pilihanraya kecil ini adalah bersemukanya dua muka besar dari kedua-dua parti, Datuk Seri Najib dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar semenjak sebelum pilihanraya lagi riuh mengaitkan kelibat Najib dalam kontroversi pembunuhan Altantuya. Penggunaan C4 yang dikatakan tertera nama kementerian pertahanan(hehe, bom itu mungkin ditampal semula agaknya) benar-benar mahu mengaitkan Najib dengan kes ini. Najib pula tidak mahu kalah dengan lebih ke arah beralah. Tetapi mengalah Najib tidak kosong, mengalah Najib dengan peluru yang disorok dalam kantung seluarnya. Apa yang disimpan itu pun tiada siapa yang tahu. Memang jika diperhatikan pilihanraya kali ini menjadi pertembungan secara tidak langsung antara Najib dan Anwar. Kredibiliti Najib selaku TPM pasti tercalar andai jentera pilihanraya kali ini tidak mampu menggugat kempen bekas TPM itu. Politik itu tidak pernah sunyi dari kontroversi. Politik juga tidak pernah sunyi dengan situasi taknak kalah. Tidak pernah lagi saya mendengar pihak yang kalah mengakui kekalahan dan juga kelemahan jentera parti. Kebanyakan sudah pasti menyalahkan sistem pilihan raya, prinsip demokrasi, dan sebagainya. Lebih teruk lagi, menyalahkan pihak pengundi kerana membuat undian yang salah. Seolah-olah wajib mengundi mereka. Seharusnya kekalahan itu dikaji dan diberi ubatan yang sepatutnya. Belajarlah memenangi hati pengundi dengan mengubah persepsi awal mereka terhadap sesebuah parti. Saya tidak mengkhususkan kepada mana-mana pihak tetapi secara umumnya saya melihat pengundi-pengundi kebanyakannya memilih berdasarkan persepsi. Bercerita tentang persepsi sudah pasti menyentuh pelbagai lagi isu terutamanya hal yang mewujudkan persepsi itu sendiri [saya tidak perlu sentuh yang ini].

Satu lagi perkara taknak kalah yang dapat saya cungkil baru-baru ini adalah berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama. Haha. Berlumba-lumba mencipta rekod yang entah apa-apa. Rekod yang saya kira tidak membantu apa-apa. Rekod kebab terpanjang? Rekod sandwich tertebal? Aduhai lebih baik panjangkan saf di dalam masjid. Haaa, yang paling baru, mat-mat rempit menewaskan kontinjen negara lain dalam operasi terjun menerjun di kutub utara. Tahniah! [sila jangan menerima ucapan tahniah sebagai sesuatu yang ikhlas, boleh jadi saya sarkastik, boleh jadi...]



Saya rasa itu sahaja berkenaan negara. Saya membaca buku yang bertajuk 'Ousted 'yang menceritakan bagaimana berlakunya perpecahan antara Malaya dan Singapura yang saya rasa cukup menyedihkan. Satu lagi episod taknak kalah yang berlaku. Atau mungkin itu adalah yang terbaik bagi kedua-dua negara berjiran ini. Perkauman saya percaya merupakan satu sentimen utama yang mengheret kedua-dua negara ini kepada satu perpisahan. Saya percaya, jalinan kaum sewaktu masa dahulu adalah sangat berbeza dengan masa kini. Namun, itu tidak menjamin apa-apa selagi tiada toleransi atau sifat mengalah antara kita. Mengalah bererti memberi ruang kepada semua untuk merasa. Mengalah tetapi dalam masa yang sama harus berlaku adil dan saksama. Dan adil itu kadang-kadang tidak bermakna sama rata tetapi bijak dalam membahagi bahagia untuk sekarang dan akan datang...



Dari segi peribadi, saya melalui pelbagai siri kekalahan dalam pelbagai bentuk. Dan salah satunya saya menghadapi kekalahan dalam permainan game Pro Evolution Soccer 6. Nampak remeh, tetapi dari permainan ini sebahagian karakter manusia dapat saya telah. Bagaimana reaksi kita apabila menang, reaksi apabila kalah, reaksi apabila seri, cukup menceritakan segalanya. Sudah pasti, perkara yang paling sukar adalah menerima kekalahan walau kita tidak rugi barang sedikit pun sekiranya mengakui kelemahan sendiri. Mungkin perkara ini lahir dari cogankata yang digunakan satu ketika dahulu iaitu 'jadilah yang terbaik di antara yang terbaik' dan yang lebih taknak kalah lagi adalah 'jadilah yang terbaik kalahkan yang lain'. Corak pemikiran inilah yang menghasilkan mentaliti sentiasa menang. Tidak salah untuk menang tetapi ketahuilah kemenangan itu sesuatu yang subjektif dan dari segi peribadi, saya melihat kemenangan itu melalui cara kita meraikan kemenangan dan juga kekalahan itu sendiri. Jadi saya percaya kata-kata ini lebih bermakna, 'jadilah antara yang terbaik'...

Bicara soal bolasepak, saya sangat tidak berpuas hati dengan beberapa pasukan yang suka menyalahkan keadaan, khususnya sang pengadil. Walaupun benar juga sang pengadil memainkan peranan dalam mencipta kekalahan(keputusan memberikan penalti) tetapi corak permainan yang lemah dan tidak meyakinkan juga harus dipersalahkan. Saya mengambil contoh kekalahan Real Madrid kepada Racing Santander. Menyalahkan pengadil tidak mengubah kedudukan pasukan yang teruk dan tidak bermain baik.(baca kalau berminat)

Dari sesuatu yang lebih peribadi. Saya bertarung dengan prinsip dan perasaan. Memecah sesuatu prinsip kadang-kadang menguraikan kaca-kaca hati. Dan saya tidak pasti akan pilihan saya kali ini, meski saya tahu prinsip saya itu jelas untuk sesuatu yang ideal. Cumanya, kebimbangan manusia yang lemah seperti saya ini tidak bertempat dan terlalu pesimis. Maka, saya hampir kalah tetapi atas dasar tidak mahu kalah, saya berpegang kembali kepada prinsip sendiri. Prinsip dan perasaan, jika tidak diurus dengan baik, mampu meleburkan kedua-duanya sekali.

Saya suka benar tidak mahu kalah dalam perbandingan cuaca dengan kawasan yang lain di New Zealand ini. Seboleh-bolehnya Christchurchlah yang paling sejuk dan yang paling hebat cuacanya. Dan saya percaya, anda di kawasan yang lain sudah pasti tidak mahu kalah dan mahu mengangkat tempat anda sebagai lebih sejuk. Perkara yang sama juga berlaku di kalangan pelajar jurusan yang berbeza. Semua tidak mahu kalah mengatakan kursus mereka lebih sukar dan mencabar. Mekanikal dengan ujian, bengkel; kimia dengan makmal; elektrikal dengan menghadap komputer sentiasa; dan pelbagai lagi. Mungkin saya sahaja yang merasakan begini tetapi sifat taknak kalah ini benar mencuit hati.

Sebagai kesimpulannya, kekalahan itu walaupun pahit harus diambil dengan hati yang terbuka dan akal yang menerima. Apabila kekalahan menjenguk kita, yakinlah kemenangan itu ada pada waktu yang berbeza, cara yang berbeza, keadaan yang berbeza. Bersifat mengalah tidak bermakna anda lemah, tetapi anda menang bertarung dengan ego sendiri. Apabila kalah usahlah menghamburkan pelbagai alasan, sebaliknya perbaikilah kelemahan yang sedia ada untuk masa yang seterusnya.

P.s:
Saya sebenarnya mahu menggunakan perkataan kiasu tetapi bimbang ada yang mentafsirkan saya menujukan entri ini kepada entiti tertentu. Usah bimbang, saya menujukan entri ini kepada semua manusia tanpa mengira siapa anda...

Kepada penyokong Roma maafkan saya, saya tidak menjumpai definisi kekalahan sebenar melainkan tumpas 7-1 di tangan Manchester United.

Tahniah kepada Raul kerana tidak pernah dilayangkan kad kuning selama 30 bulan. Hehe.

Saya melihat pertemuan itu kadang-kadang sebagai satu masalah. 'Kamu' yang berkenaan sudah tahu pasti kenapa ya....

Ma I do A ri.. Bang!

Friday, April 13, 2007

Apabila yang hilang itu kembali

Saya memikirkan banyak persoalan di dalam diri sejak akhir-akhir ini. Memikirkan sesuatu yang berkaitan dengan sebuah konflik yang tidak pernah wujud. Sebuah konflik yang cuma hasil dari olahan fikiran dan hati. Olahan yang cukup melemahkan. Olahan yang saya kira sudah cukup melunturkan warna-warna keceriaan dalam diri sendiri. Hasilnya, saya merasakan diri menjadi seorang yang picisan. Membosankan. Menjengkelkan. Membencikan. Atau dalam bahasa yang saya suka gunakan, tidak berguna.

Saya tidak pernah menyalahkan sesiapa kerana segalanya cuma lahir dari diri sendiri. Cuma konflik-konflik yang saya olahkan itu berkisarkan watak-watak yang sentiasa berlegar dalam lingkungan manusia yang bernama sahabat. Benar, apa yang saya katakan ini benar. Tidak saya tujukan sebarang ketidakpuashatian saya di dalam blog ini kepada sebarang orang, baik yang mengenali saya mahupun yang langsung tidak pernah bersua muka. Cuma, saya rasa mahu mencoretkan apa yang saya rasakan ketika ini.

Menjadi manusia yang sempurna memang mustahil. Memuaskan hati semua orang juga mustahil. Apa yang mampu dilakukan cuma mencari jalan ke arah itu. Walaupun jalan itu benar tiada, namun mencari jalannya saja sudah benar menjadi mulia.
Dan dalam ruangan ini saya memohon maaf kepada sesiapa sahaja. Yang saya lukakan hatinya, yang saya sakitkan hatinya, yang saya dalam sedar atau tidak mengungkapkan dalam kata atau perbuatan sesuatu yang menjengkelkan hati.

Entri ini berkisar pada kemaafan. Permohonan maaf dari seorang sahabat kepada sahabat yang lain.

Sunday, February 18, 2007

Apa itu alternatif dan pesimistik?


Ke arah negara yang lebih selamat

Saya terfikir sendirian,

“Adakah ketika saya mula memahami cerita di sebalik tabir, atau dengan bahasa yang lebih mudah mencerna maklumat dari sumber altenatif, saya sudah menjadi seorang yang pesimistik terhadap kerajaan?


Dari persoalan di atas, saya cungkil dua lagi persoalan.

  1. Apa itu pesimistik?
  2. Apa itu alternatif?

Dan ketika mencari jawapan saya terjumpa akan ini,

Dalam kamus dewan cetakan ke empat 1993


Alternatif

1. pilihan yang merupakan kemestian(keharusan) 2. satu pilihan di antara dua kemungkinan.

Pesimistik


Bersikap atau berpandangan mudah putus harap(cenderung melihat keburukan sesuatu, segera merasa kecewa atau hilang kepercayaan terhadap sesuatu).

Lantas, saya menggelengkan kepala tanda mengatakan tidak kepada soalan tadi. Ya, saya tidak pesimis kepada segala tindak tanduk kerajaan malah saya optimis. Maka dengan ini saya berusaha mencari sedikit demi sedikit ubat bagi mengurangkan penyakit pesimistik yang saya rasakan sudah menjadi kronik dari tanggapan saya sendiri. Saya tidak mahu dilabel sebagai anti-kerajaan kerana saya bukan sebuah produk untuk dilabelkan. Bahkan dicop pro-kerajaan pun saya tidak mahu kerana nanti hitam legam tubuh badan saya.

Ok, terus berbisnes.

Saya dengan penuh ghairah mendengar perkhabaran kehebatan ekonomi Malaysia yang dikatakan sangat memuncak dan meningkat tatkala ini. Dengan nilai Foreign Direct Investment (FDI) yang tertinggi dalam sejarah iaitu setinggi RM20.2 billion tahun lalu[pautan] Begitu juga dengan pengumuman dagangan berjumlah RM 1 trillion yang juga merupakan pencapaian gemilang negara. Lebih gemilang lagi, di bawah pimpinan Perdana Menteri yang terbilang cuti peribadinya. Amboi, bukan main cemerlang lagi ya!.

Ketika itu saya mula mempersoalkan diri sendiri. Monolog dalaman berbunyi begini.

“ Anas, percayalah kata-kata mereka kali ini,negara memang sedang dalam kerancakan ekonomi dek kerana modal insane yang digembar-gemburkan, usah beralih dulu pada media alternative kerana tiada keharusannya lagi. Bukankah maksud alternative yang ditulis tadi juga bermaksud keharusan. Anas, cuba jadi optimis dan terima dengan bulat-bulat sahaja.”

Maka saya dengan rela hati,membujuk rayu melepas keinginan melayari laman alternative. Tetapi selang keesokan harinya….

Kata Perdana Menteri;

It’s about time we have alternative channels to provide opinions on many issues and situations around the world that will not only attract people in Europe but also the people here and in the globalised world,” he said when opening the Al-Jazeera English language broadcast centre here yesterday.

‘‘Kalau Al-Jazeera dapat memainkan peranan dengan baik, kita yakin dengan pandangan alternatif (berita) mereka (Al-Jazeera) dalam pelbagai saluran,’’ kata Perdana Menteri.

Aduh, perkataan alternative tadi membuatkan saya hilang pertimbangan dan merasakan seolah-olah Perdana Menteri mengatakan kepada saya supaya menyelami juga maklumat dari laman alternative. Hasilnya, saya temui begini, FDI itu memang tinggi berbanding dahulu tetapi hakikatnya kenaikan itu Cuma dari segi dalaman. Maksud saya, mengapakah nilai FDI kita berbanding negara jiran kita jatuh.[pautan] Bahkan kita berada di belakang Indonesia buat pertama kalinya!. Aduh, sikap optimis saya membawa saya tersungkur kembali di lembah pesimistik.

17-10-2006: Malaysia slips four places to 6th in Asean FDI ranking

Foreign direct investment into Malaysia down

Maka saya rasakan cukup tidak puas hati, saya cari satu berita lagi untuk meyakinkan bahawa saya bukan pesimistik. Hasilnya, saya jumpa berita ini yang menyatakan bahawa rakyat Malaysia sangatlah bahagia dengan indeks kebahagian ialah 8.2 daripada 10 mata maksimum. Dan dalam laporan itu tidaklah dinyatakan di manakah sumbernya dan agensi manakah yang membuat bancian. Atas dasar apa semua ini? Kami mahu bukti. Dan kerana itu kami menjadi pesimis. Rakyat yang pesimis.

Kamu katakan keluarga bahagia. Kenapa ada yang membunuh anak sendiri atas kesempitan hidup?. Kamu katakan keluarga bahagia kenapa ada anak yang dibuang ke sana ke mari? Kamu katakan bahagia dan selesa, kenapa saban hari ada sahaja kes jenayah ragut,bunuh, rompak dan banyak lagi? Selesa? Selesa dengan tandas sahajakah skalanya? Selesakah kita dengan berita-berita memuja-muja pimpinan walhal banyak lagi derita di jalanan? Dan sudah tentu kami mahu nikmati kebahagian dan keselesaan yang bukan hanya pada skala sahaja….

Saya tertanya juga, dengan rancaknya khabaran ekonomi ini, apa kesan kepada saya? Turunkah kos hidup? Atau sekadar gimik sahaja. Atau mungkin pilihan raya sudah dekat. Maka untuk itu saya sudah ada jawapannya…

Saya terpanggil untuk mengulas akan kecelakaan jalanraya yang gamat melanda ketika ini. Sungguh, sungguh murah nyawa kita di jalan raya. Berhemahlah, dan bertimbangrasalah. Tidak perlu menjadi pemandu yang hipokrit. Hanya berhemah tatkala polis berada di jangkauan mata. Kerana maut itu tidak meminta izin pihak polis. Anda mampu mengubahnya.

Saya suka benar membaca laporan berita harian hari ini yang mendedahkan bahawa pelajar IPTA lebih memilih kepada lelaki tua yang berharta dan kaya. Aduhai, nampaknya saya perlu menjadi kaya dan tua dahulu..Hahaha.

Satu lagi yang menjadi kecoh yang benar-benar menggelitik hati saya adalah berkenaan penarikan beberapa perkara di dalam kabinet kerajaan

1. Penarikan bantuan buku teks percuma bernilai RM100juta( Tiba-tiba kerajaan ada RM2.6 Billion untuk diagih kepada kawasan luar Bandar)

2. Penarikan hadiah Myvi dan sebagainya untuk penukar Mykad

3. Penarikan tambahan lauk semalam (oh, itu isu kabinet dapur sahaja,maaf)

Jadi, saya tanya kepada diri sendiri. Isu jambatan bengkok, AP, FTA, yang jauh lebih penting tidaklah terlalu panas perdebatan di kalangan ahli kabinet sendiri. Kenapakah kali ini mereka bersuara dengan lantang sehingga menyalahkan pentadbiran kementerian yang dahulu? Fikir-fikirkan..

Jadi saya undur diri buat masa ini.

P.s: Saya bukan pemandu yang berhemah, tetapi saya cuba berubah. Saya pernah ditunjuk dua jari tengah dari seorang penumpang sebuah kereta yang saya potong tanpa menggunakan signal. Sebenarnya, saya terdesak mahu mengelak sebuah jentolak yang tiba-tiba ada di hadapan saya.

Ronaldo menjaringkan dua gol dalam penampilan kedua untuk AC Milan menentang Siena. Wah,hebat!

Saya pesimis? Anda?

Ma I Do A ri . Bang! (Bunyi tembakan pistol)

Thursday, February 15, 2007

Semua itu cita-cita


Ya, saya peminat Raul dan Real Madrid



Pada usia sebegini tua, saya rasakan sedikit gusar dan gundah. Memikirkan apakah yang bakal saya tempuhi pada masa yang bakal menjelang. Sering saya terfikir, 10 tahun, 20 tahun dari sekarang, bagaimanakah kehidupan saya? Apakah yang akan saya lakukan? Di manakah saya akan berpijak? Di bumi yang nyata atau di alam mimpi semata? Sungguh, saya merasakan sedikit kalut sejak akhir-akhir ini. Memikirkan masa hadapan. Ya, subjek yang menjadi persoalan sejak di zaman tadika lagi. Saya tidak pernah tetap dengan cita-cita. Tidak. Tidak pernah. Saya teringat ketika mengisi maklumat untuk dimuatkan dalam buku rekod murid di zaman sekolah rendah, saya pernah menulis pekerjaan di bawah sebagai cita-cita saya.

1. Peguam
2. Polis
3. Pemburu
4. Guru
5. Saintis

Senarai di atas merupakan senarai cita-cita saya ketika masih di tahap satu. Peguam? Polis? Pemburu? Guru? Semua itu antara lingkungan pekerjaan yang berada dalam pengetahuan saya ketika itu. Tidak pernah terfikir akan profesyen lain sama ada sebagai jurutera, doktor, angkasawan, farmasis, politikus, mahupun pemandu F1. Saya memang tidak gempak dalam memilih cita-cita sepertimana kanak-kanak zaman sekarang yang mampu memikirkan untuk menjadi seorang pakar perisian komputer atau menjadi seorang raja lawak astro. Kanak-kanak sekarang memang cepat belajar.

Seingat saya, senarai itu sedikit demi sedikit berubah menjadi lebih gempak dan ranggi dengan hadirnya perkataan-perkataan seperti jurutera, angkasawan, doktor, pakar IT dan sebagainya. Masuk ke alam sekolah menengah, barulah saya mengerti akan jurutera itu banyak cabangnya, doktor itu banyak bidangnya, maksudnya, ini lebih memeningkan kepala saya. Kemudian, mungkin kerana gila glamor ataupun bunyinya yang sedap-sedap sahaja, saya memilih hala tuju saya sekarang ini. Kejuruteraan Kimia.

Masuk alam kolej dan universiti, terus bingung kerana dalam cabang kimia itu sendiri ada banyak lagi pecahannya. Oh, major dalam bioproses, petrokimia, alam sekitar dan pengurusan!. Apa-apapun saya telah memilih untuk menjadi seorang jurutera kimia dan saya redha akan apa yang bakal menimpa saya nanti.

Cumanya, kadang-kadang saya memikirkan, saya mahu membina cabang karier yang lebih hebat. Saya sekarang terfikir untuk membuat bisnes secara kecil-kecilan. Cuma, saya tidaklah terlalu bersungguh dan serius. Tetapi, perkara ini sering bermain di dalam fikiran. Saya menemui beberapa rakan-rakan lama saya dan saya turut bicara tentang bisnes. Berniaga ikan, membuka restoran, bahkan pernah bicara mahu membuka kilang. Mungkin kerana pengaruh bekerja di alam industri membuatkan saya menjadi lebih celaru dengan cita-cita saya.

Apa-apa pun, saya tahu buat masa ini saya perlu fokus dengan modal yang saya ada tatkala ini. Bukan modal insane seperti rancak digembar-gemburkan. Tetapi modal yang saya maksudkan adalah asas saya tatkala ini. Iaitu asas dalam pendidikan dan pelajaran. Tumpukan pada pelajaran tetapi dalam masa yang sama merancang catur kehidupan. Tidak mahulah menjadi seperti peribahasa yang berbunyi, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’. Harapnya tidaklah ya.

Saya baru tamat menghabiskan kerja-kerja praktikal yang sungguh mencabar dan kritikal di FPG Oleochemicals. Rumusan? Tidak perlu bicara soal rumusan kerana saya masih tidak menulis apa-apa di dalam laporan praktikal untuk penilaian pihak universiti. Hahaha. Cumanya, saya memperoleh serba sedikit pengalaman dan pengetahuan baik dari segi industri mahupun kemanusiaan. Pengalaman dan pengetahuan yang bakal saya gunakan dalam kehidupan yang mendatang.

Lagi beberapa hari saya akan pulang ke negara asal saya. Doakan perjalanan saya selamat dan doakan saya bakal menjejakkan lagi kaki ke Malaysia.

Saya masih seperti dulu. Tetapi lebih dalam bercita-cita. Maka usah gusar untuk menegur saya, berbual dengan saya, bicara dengan saya, atau belanja saya, kerana saya masih seperti dulu.

P.s: Saya sengaja membiarkan modal INSANE ditulis walaupun sebenarnya adalah modal INSAN. Salahkan Microsoft word kerana sesuka hati membetulkannya menjadi insane. Tapi mungkin betul juga ia sebenarnya adalah modal insane. Hahahahaha.

Sebenarnya, saya ada perkara lain yang mahu diulas tetapi perkara di atas yang saya ceritakan sekadar tangkap muat sahaja kerana saya lupa apa sebenarnya yang saya mahu tulis.

Tentang Real Madrid, pecat sahaja Capello, gantikan dengan Shebby.Hahaha

Ma I Do Ari. Bang! ( Bunyi tembakan pistol mainan adik kamu)

Sunday, January 21, 2007

Menunggu Malaysia Berubah

Pekan bandar diraja-Indah dan Makmur


Tajuknya sudah cukup untuk memperkatakan hala tuju entri kali ini. Cumanya, hala tuju yang saya suluhkan, mungkin bersimpang siur dan berbelit-belit lantas menjadikan idea asal saya disalah tafsir atau disalah anggap.

Baik, mari terus berbisnes.

Saya terfikir akan beberapa perkara yang menarik untuk dibincangkan dan dikongsi bersama. Malangnya, saya rasakan sudah tidak selamat lagi untuk saya bincangkan sesetengah perkara yang saya kira perlu diketengahkan demi satu perubahan. Perubahan yang menjurus kepada kebaikan dan kemaslahatan umum. Perubahan yang tiada agenda peribadi di sebaliknya. Perubahan yang suci dan tulus murni .

Kenapa saya katakan tidak lagi selamat?

Hal ini kerana urutan tuntutan saman yang dikemukan oleh pihak NST beberapa pegawai kanannya kepada dua blogger terkemuka antarablogger iaitu saudara Ahiruddin Atan@Rocky dan Jeff Ooi[pautan] . Maka saya rasakan harus berhati-hati terhadap apa-apa yang ditulis di dalam alam maya ini. Berhati-hati dalam erti kata saya sebagai menulis perkara yang benar-benar tepat dan diakui kesahihannya. Secara mudahnya, saya harus menulis dan memastikan saya memautkan sumber-sumbernya dari laman yang menyokong kerajaan semata. Saya tertanya kenapa harus disaman kedua-dua blogger itu? Adakah kerana fakta mereka sasar? Adakah kerana cerita mereka fitnah? Adakah cerita mereka omong kosong? Bagi saya yang sentiasa mengikuti tulisan Rocky, saya tidak rasakan begitu. Maka saya tidak sabar menunggu bagaimana kesudahan isu saman-menyaman ini.

Dengan pengumuman saman itu maka saya turut umumkan bahawa kita sudah tidak bebas bersuara lagi. Tidak bebas mengkritik. Tidak bebas menyuarakan ketidakpuashatian kita. Tidak bebas menggunakan blog sebagai penyampai maklumat kerana kita menjejaskan kestabilan negara milik puak pemerintah.

Saya tiada kepentingan apa-apa pun melalui tulisan saya ini. Saya tidak mengharapkan suapan ringgit dari orang ramai dengan tulisan saya. Jua tidak mengharapkan sebarang kedudukan dan populariti. Cumanya, saya mahu pembaca yang dihormati sekalian meneliti bagaimana saya melihat isu semasa dari sudut pemikiran saya. Saya tuliskan itu dengan harapan, mana yang baik kita jadikan teladan, mana yang buruk kita buang dalam jamban. Dalam hal Rocky dan Jeff Ooi dan juga kebanyakan blogger yang lain, saya percaya mereka juga mahu berkongsi apa yang mereka tahu kepada masyarakat. Semuanya dengan satu harapan, untuk satu perubahan ke arah Malaysia yang berubah…

Saya dengan ini mengumumkan sokongan saya kepada blogger-blogger yang menghadapi masalah dalam meneruskan perjuangan sebagai penyampai dan pemberitahu kepada mereka yang tidak tahu dan buta akan kebenaran (memanglah, selama ini kita buta kerana hanya membaca NST dan seangkatan dengannya, tidak pernah tahu apa cerita sebenar di sebaliknya).

Baiklah, perkara di atas Cuma sekadar pemberitahuan bagi mereka yang tidak tahu dan sebagai platform untuk saya mengutarakan sokongan saya dan menentang segala bentuk tindakan yang menghalang kebebasan saya menulis di dalam blog ini.

Saya ada sedikit perkara lagi yang saya ingin kongsi berkenaan dengan banjir. Saya rasakan dalam dua entri yang lalu saya ada menyentuh perihal banjir. Kali ini saya mahu sentuh lagi kerana saya percaya pihak banjir tidak boleh menyaman saya. Hal ini berkaitan dengan mempolitikkan banjir, wajarkah?. Sudah pasti secara umum dan mengikut kepada naluri kebiasaaan akan kita katakan tidak wajar. Tetapi, mengapakah ada sebilangan kita yang masih mempolitikkan bala dari Allah ini? Mudah saya rasa jawapannya, kerana pemikiran yang merasakan diri mereka betul dan penuh dengan dendam. Cuba teliti dialog di bawah.

“ Ha tengoklah banjir kat Johor tu, dulu kata kat Kelantan saliran tak baguslah apelah. Sekali Johor tenggelam apa cerita?”

Saya yang mendengar kata-kata itu merasa sungguh panas dan marah. Cumanya, saya tidak mengutarakan kemarahan saya secara berdepan kerana masalah hubungan antara bos dan pekerja bawahan. Bagi saya, adalah tidak wajar mengatakan begitu kerana bala Allah ini boleh turun kepada sesiapa sahaja yang Allah rasakan mahu diuji. Bukankah ada pelbagai sebab yang menyebabkan bala diturun kepada sesuatu kaum? [rujuk]

Bagi saya, jika anda marahkan pihak lain kerana pernah mempolitikkan banjir di Kelantan, anda tidak harus menjadi seperti mereka. Anda marahkan mereka kerana hal itu, tetapi anda pun menjadi seperti mereka. Aduhai, lebih baik anda marahkan tiang lampu atau anda memulaukan barang-barang jualan kumpulan NST. Kalau anda marahkan penagih dadah kerana mengambil dadah akibat tekanan hidup, wajarkah anda juga mengambil dadah apabila tekanan hidup melanda diri anda? Saya tinggalkan kepada anda untuk menjawab soalan-soalan di atas.

[saya tidak boleh tulis lebih-lebih, nanti kene marah dengan bos atau lebih teruk kena saman, saya tiada duit, saya sudah miskin setelah melangsaikan hutang tmnet RM306.15 …….kopak duitku]

Apa lagi yang saya ingin kongsi….[haaaa, ni die]

Adik saya kehilangan telefon bimbitnya di sebuah pasaraya terkemuka di daerah Pekan [nama dirahsiakan atas alasan takut disaman]. Telefon bimbitnya dirampas oleh lelaki yang tidak dikenali sebaik sahaja dia mengeluarkan telefon dari beg galasnya. Lelaki itu terus melarikan diri dengan motosikal yang sudah ditunggu seorang lagi rakannya. Adik saya terpinga-pinga dan terus mendapatkan saya di rumah untuk membantunya. Tanpa berfikir panjang lagi saya terus mengambil kayu hoki tahun enam saya dan bergegas ke tempat kejadian, manalah tahu jika dia masih ada di situ, bolehlah saya rampas kembali. Namun hampa tiada. Saya terus ke balai polis dan menemankan adik saya membuat laporan polis. Aduh, sungguh leceh menunggu. Mahu melaporkan kecurian pun satu masalah, bagai yang dicuri pula merupakan pesalah.

“kenapa awak tak jaga handfon awak elok?”

“Kenapa senang sangat bagi kat orang tu?”

Dan pelbagai lagi soalan yang bengong.

Aduh saya rasa bingit dan mahu marah kerana adik saya tengah runsing pasal kehilangan telefon, mereka menghujani soalan yang seolah-olah melindungi si pencuri tadi. Saya kata dalam hati, mereka ini mungkin terlalu letih dengan kes-kes jenayah yang bertimbun sekarang ini. Maka saya tidak jadi mahu marah-marah sangat. Cumanya, kita harus menjadi lebih simpati dan memahami keadaan orang lain. Janganlah jadi seperti seorang Menteri ini, orang sedang bersedih pasal kerosakan harta benda akibat banjir, memikirkan bagaimana mahu meneruskan kehidupdan selepas ini, Menteri ini menyalahkan penduduk kerana tidak mempedulikan amaran yang pernah dikeluarkan sebelum ini[pautan]. Aduh, dunia memang perlu berubah

Saya tertarik dengan calon bebas yang akan menentang calon BN di Batu Talam. Usia sebaya dengan saya. Saya ucapkan semoga berjaya dalam pilihanraya nanti.

[Penulis teringat TV3 dan seangkatan dengannya mengatakan bahawa calon bebas yang akan bertanding nanti adalah tajaan PAS dan Keadilan. Nah, sekarang mereka halakan peluru kepada DAP pula].

Saya mendengar lagu ‘Waiting on the world to change” dan saya tertarik dengan liriknya.




Me and all my friends
We're all misunderstood
They say we stand for nothing and
There's no way we ever could
Now we see everything is going wrong
With the world and those who lead it
We just feel like we don't have the means
To rise above and beat it

So we keep waiting (waiting)
Waiting on the world to change
We keep on waiting (waiting)
Waiting on the world to change
It’s hard to beat the system [sungguh sukar]
When we're standing at a distance [lebih-lebih lagi ketika tengah belajar ini]
So we keep waiting (waiting)
Waiting on the world to change

Now if we had the power
To bring our neighbors home from war
They would have never missed a Christmas
No more ribbons on their door
When you trust your television
What you get is what you got
‘Cuz’ when they own the information ooohhh,
They can bend it all they want

So while we're waiting (waiting)
Waiting on the world to change
We keep on waiting (waiting)
Waiting on the world to change
It's not that we don't care
We just know that the fight ain't fair
So we keep waiting (waiting)
Waiting on the world to change

(Guitar solo)

We're still waiting (waiting)
Waiting on the world to change
We keep on waiting (waiting)
Waiting on the world to change
One day our generation
Is gonna rule the population [saya sangat tertarik dengan ini. Kitalah pelapis pimpinan akan datang]

So we keep on waiting (waiting)
Waiting on the world to change
Know we keep on waiting (waiting)
Waiting on the world to change
we keep on waiting (waiting)
Waiting on the world to change
Waiting on the world to change
Waiting on the world to change
Waiting on the world to change

Saya terpaksa menyertakan liriknya yang sudah pasti di dalam bahasa Inggeris. Mahu tunggu lagu-lagu melayu yang liriknya sinis terhadap kerajaan sudah pasti susah kerana silap sedikit sudah pasti akan disaman dan dimatikan watak artis itu. Haha

Apa lagi yang saya inginkan perubahan ya? Oh, sudah pasti pasukan bola sepaknya. Malaysia menentang Singapura. Walaupun saya jangkakan kekalahan atas perbandingan perlawanan menentang Thailand tempoh hari, namun saya tetap harapkan sinar perubahan jua.

P.s:
1.Penulis gemar menggunakan penagih dadah sebagai contoh. Hal ini kerana penulis berniat menjadikan penagih dadah sekurang-kurangnya berguna di dalam dunia blog penulis

2.Telefon bimbit adik penulis tidak dapat dijejaki, namun orang yang mengambilnya sudah dikenal pasti melalui CCTV pasaraya terkemuka itu.

3.Penulis tersenyum lebar dengan jaringan Pennant yang sungguh mengujakan[pautan]

4.Tertanya-tanya kenapa RM20 juta untuk sekolah di Kepala Batas, atau lebih tepat sekolah Perdana Menteri [pautan]. Bagaimana dengan sekolah lama saya? Kena tunggu TPM jadi PM dululah begini....

5.Banyak lagi mahu ditulis, tapi tunggulah lain kali...

Ma I Do A ri ...Bang!!(Bunyi tembakan pistol)

[penulis menafikan cuba menyamakan diri dengan Kurosagi dalam segala apa hal dan bentuk sekalipun. Sebarang persamaan adalah tidak disengajakan]

Friday, January 12, 2007

Cemas

Lintah

Saya mulakan entri ini dengan Bismillah
Disudahi dengan alhamdulillah
Begitulah sehari dalam hidup kita
Mudah-mudahan dirahmati Allah

[Oh! saya terlupa menyuruh anda membaca rangkap pertama entri cemas ini seperti seolah-olah anda menyayi lagu nasyid ‘Bismillah’, nyanyian kumpulan nasyid kontemporari Raihan. Oleh kerana itu anda dikehendaki mengingatkan penulis selepas ini ya]

Saya ada satu cerita yang saya ingin kongsikan. Sebuah cerita yang ilhamnya saya peroleh dalam suasana banjir yang berlaku tidak lama dahulu. Kisah sebuah keluarga yang saya hasilkan sendiri. Ringkas, tetapi anda fikirkan sendiri mesejnya.

Ada sebuah keluarga yang pada mulanya hidup mereka aman dan damai sehinggalah pada suatu ketika…. (maaf saya tidak pandai sangat bercerita bagai beckyillham bicara, maka maafkan saya)
Si bapa sebenarnya meminjam wang sebanyak USD200,000 dolar daripada seekor lintah darat yang baru mendapat hadiah wang tunai sebanyak USD 1 juta dolar selepas menjual darah yang dihisap selama ini kepada tabung bank dunia. [Darah yang dihisap oleh lintah tadi terdiri daripada pelbagai golongan lapisan masyarakat sama ada yang miskin, kaya, tua, muda, melayu, cina, India, jawa, bugis, banjar, arab. Juga tidak mengira pekerjaan dan di mana mereka berada; peladang di ladang Synergy Drive, petani di sawah padi milik syarikat kilang beras cap rambutan, budak praktikal di FPG, guru sekolah di sekolah dan banyak lagilah. ]

Setelah tempoh pinjaman yang ditetapkan si bapa tidak mampu untuk memulangkan kembali wang yang pernah dipinjam dari si lintah darat. Maka marahlah lintah darat tadi dan mengancam mahu mendapatkan kembali wangnya walau dengan apa cara sekalipun. Maka si lintah tadi memilih untuk melakukan cara yang bersesuaian dengan tema kehidupannya, iaitu menghisap darah seluruh ahli keluarganya. Si bapa yang ketakutan terus melarikan diri ke luar negara. Alasan bapa? Dia penat menguruskan keluarga dan mahu berehat sebentar seorang diri. Katanya, dia tidak bimbang akan keluarganya kerana dia sudah melepaskan tanggungjawabnya kepada ibu (timbalan ketua keluarga) untuk menghadapi tempoh sukar ini bersama anak-anak mereka.

Pergilah si bapa dengan penuh rasa bersalah dan kasih sayang ke luar negara mencari damai abadi. Si ibu yang bijak bestari berpemikiran melayu glokal itu mengadakan rundingan damai abadi dengan si lintah tadi. Ibu mencadangkan agar si lintah menghisap darah keluarga mereka secara berkala iaitu sebanyak satu meter padu seminggu. Maka sudah sebulan darah mereka dihisap dan keadaan fizikal mereka sangat lemah dan longlai. Maka bertanyalah si anak kepada ibunya.


Anak: Ibu, kenapa ayah berada di luar negara? Kita di sini bagai mahu kering darah dihisap intah, tergamak ayah meninggalkan kami di sini, adakah bapa tidak sayangkan kami? Anak-anaknya…”
Ibu: Kuri, bapak sayangkan kamu semua. Jika tidak, masakan bapak bisa menalipon dari padang golf di sana. Bapak katakan bapak pantau dari jauh
Anak: Oh, begitu rupanya….saya tak sangka ayah pantau kita dari jauh sahaja….Btw mak, nama saya bukan kuri, nama saya Suri…

Bijak ibu bukan bijak biasa. Bijak ibu getaran yang sama. Ibu telah memikirkan satu strategi yang mantap dan hebat. Ibu menyusun sebuah strategi yang bisa memakan dirinya sendiri. Ibu menghirup segelen refined glycerin yang dicuri dari kilang berdekatan dengan harapan refined glycerin itu akan memasuki aliran darahnya. [ Mengikut hemat saya, jika refined glycerin ini ditelan pada kadar yang tinggi oleh manusia mereka akan mati jika tidak sekadar kebas badan sahaja. Jika yang menelan adalah lintah, maka memang akan mati].

Si ibu pengsan kerana badannya kebas dan dia sempat menyuruh sang lintah darat menghisap darahnya pada waktu yang ditetapkan. Sesungguhnya perjanjian konsesi antara mereka adalah rahsia tetapi penulis dapat menceritakan kepada kalian melalui teknik menggodam komputer peribadi milik si ibu tadi. Maka, matilah lintah darat tadi kerana menghisap darah si ibu yang bercampur dengan refined glycerin itu. Tamatlah ancaman daripada si lintah darat yang sungguh kejam itu.

Maka pulanglah bapa dari pelariannya tadi dengan hajat mahu berjumpa keluarganya. Namun apa yang dicitakan hanya sia-sia kerana keluarganya telah berpindah ke tempat lain. Mereka pindah ke bulan yang dikelilingi hutan-hutan hijau. Setiap malam si bapa melihat bulan dan berfikir..

“Kali ini, aku benar-benar pantau dari jauh…..”

Sebenarnya, si anak berasa kecil hati dengan si bapa kerana sekadar memantau dari jauh…Ibunya yang bijak bestari berjaya menipu wang milik si lintah darat dan menjadi kaya raya sehingga dapat berhijrah ke bulan.

Tamat…

Sebenarnya cerita ini hanya rekaan semata-mata. Buat mereka yang sedih mendengar cerita ini maka maafkan saya. Buat mereka yang tertawa, saya tidak buat lawak pun. Buat mereka yang jelek dengan cerita ini, sudah saya katakan cerita ini adalah rekaan saya. Saya penulis blog ini. Saya punya sukalah..

Ingin saya tegaskan bahawa cerita ini hanya rekaan penulis semata-mata dan tiada kaitan dengan yang hidup dan yang mati. Sesungguhnya khasiat refined glycerin tidaklah diketahui penulis tetapi yang pasti jangan cuba menelan segelen bahan kimia itu ya.

Saya tertarik dengan penarikan atau dengan lebih tepat pemboikotan Pas dan PKR dari pilihanraya kecil di DUN 06 Batu talam yang bakal dijalankan tidak lama lagi. Saya rasakan mereka merasakan sesuatu yang serius perlu diambil perhatian oleh SPR. Saya teringat komen Tan Sri Rashid yang menidak dan memperlekehkan pihak Jabatan Pendaftaran Negara dengan perkataan ‘Tak boleh harap’. Kata-kata beliau memang menyingsingkan lengan kesabaran saya kerana saya pernah berkhidmat sebentar dengan JPN dan saya tahu komitmen mereka. Saya katakan Tan Sri Rashid ini enggan mengakui kelemahan sendiri sebaliknya menuduh kepada pihak yang lain pula. Sudahlah begitu, diperlekehkan pula pihak yang lain di hadapan jutaan penonton televisyen. Saya puas secara peribadi dengan tindakan PAS dan PKR menarik diri yang seolah-olah memberi tamparan kepada kredibiliti SPR itu sendiri. Alasannya jelas, SPR harus menggubal kembali apa yang dikatakan sebagai tidak relevan lagi pada masa kini. Bagi pihak yang menentang penarikan pembangkang ini, saya hormati pendirian anda. Saya Cuma membayangkan satu gelanggang yang telah disediakan dengan sempurna namun mutu pengadilan menghampakan. Saya kira lebih baik tidak bertanding kerana sudah pasti akan kekalahan. Seperti mana juga kekesalah Sazali Samad di Doha baru-baru ini.

Saya terlalu mentah untuk bicara soal ini maka saya tinggalkannya supaya kedewasaan saya pada masa akan datang menjawabnya.

Penulis akan berurusan dengan pihak kementerian kesihatan esok. Penulis berharap mendapat layanan dan perhatian yang sewajarnya dari petugas yang berkaitan. Saya tidak mengharapkan karpet merah, cuma cukuplah dengan sekuntum senyuman…
[sebelum penulis sempat naikturun entri ini, penulis terlebih dahulu berurusan dengan badan kerajaan itu. Hasilnya, berjambak senyuman penulis terima, namun apa yang penulis inginkan tidak mampu dilunaskan buat masa ini. Banyak lagi langkah yang perlu dijalani contohnya seperti urusan surat menyurat dan sebagainya. Penulis telah berkunjung ke tiga pejabat yang berlainan untuk menyiapkan tugasan namun tiada kesampaiann kepada apa yang penulis inginkan. Ini cuma birokrasi mudah, belum lagi tahap tinggi seperti yang dikatakan Perdana Menteri semalam. Untuk memulakan industri di Malaysia 9 langkah harus dilalui dalam tempoh 30 hari berbanding di Jepun dua langkah dalam masa dua hari. Teruskan usahamu Perdana Menteri]

Sudah sebulan lebih penulis berada di tanah air. Ini juga bermakna yang penulis cuma mempunyai sebulan lebih juga sebelum berangkat kembali ke tempat menuntut ilmu. Maka, harus saya hargai anugerah ini.

Kepada mereka yang membaca entri ini, terima kasih. Kepada yang tidak membaca, salahkan mereka yang membaca kerana tidak memberitahu anda kewujudan entri ini secara khususnya, dan blog ini secara umumnya.

Sekian, terima kasih…

P.s: Refined glycerin adalah salah satu produk utama di tempat kerja penulis. Baru-baru ini syarikat mendapati ada kekurangan kuantiti refined glycerin yang dihasilkan dan dicurigai ada yang dicuri. Refined glycerin boleh kedapatan di dalam minuman seperti coca-cola dan kebanyakan ubatan tempatan dan luar negara.
Penulis sedar akan kehilangan inti realiti cerita tadi dan semuanya adalah disengajakan atas alasan pantau dari jauh. Eh, bukan,sebenarnya atas alasan mengembangkan variasi dalam tulisan saya.
Tajuk cemas diambil kerana komputer penulis mengalami masalah sebelum dapat menaip entri ini. Komputer enggan berfungsi apabila suis penghidup ditekan. Penulis benar-benar tertekan dan cemas sehingga terdetik mahu membeli komputer baru…tetapi sudah pasti hanya angan-angan kerana penulis tiada duit. Haha
USD dolar dipilih daripada RM. Alasan? FTA dan anda . Apa kata rafidah? [pautan]

Penulis gemar perkataan melayu glokal

Penulis dikejutkan dengan satu lagi kenaikan yang bakal dihalusi Perdana Menteri. Alhamdulillah. Moga-moga usul kenaikan gaji kakitangan awam ini diluluskan.[pautan]



Ma I do A ri.. Bang!! (Bunyi tembakan pistol)