Sunday, January 21, 2007

Menunggu Malaysia Berubah

Pekan bandar diraja-Indah dan Makmur


Tajuknya sudah cukup untuk memperkatakan hala tuju entri kali ini. Cumanya, hala tuju yang saya suluhkan, mungkin bersimpang siur dan berbelit-belit lantas menjadikan idea asal saya disalah tafsir atau disalah anggap.

Baik, mari terus berbisnes.

Saya terfikir akan beberapa perkara yang menarik untuk dibincangkan dan dikongsi bersama. Malangnya, saya rasakan sudah tidak selamat lagi untuk saya bincangkan sesetengah perkara yang saya kira perlu diketengahkan demi satu perubahan. Perubahan yang menjurus kepada kebaikan dan kemaslahatan umum. Perubahan yang tiada agenda peribadi di sebaliknya. Perubahan yang suci dan tulus murni .

Kenapa saya katakan tidak lagi selamat?

Hal ini kerana urutan tuntutan saman yang dikemukan oleh pihak NST beberapa pegawai kanannya kepada dua blogger terkemuka antarablogger iaitu saudara Ahiruddin Atan@Rocky dan Jeff Ooi[pautan] . Maka saya rasakan harus berhati-hati terhadap apa-apa yang ditulis di dalam alam maya ini. Berhati-hati dalam erti kata saya sebagai menulis perkara yang benar-benar tepat dan diakui kesahihannya. Secara mudahnya, saya harus menulis dan memastikan saya memautkan sumber-sumbernya dari laman yang menyokong kerajaan semata. Saya tertanya kenapa harus disaman kedua-dua blogger itu? Adakah kerana fakta mereka sasar? Adakah kerana cerita mereka fitnah? Adakah cerita mereka omong kosong? Bagi saya yang sentiasa mengikuti tulisan Rocky, saya tidak rasakan begitu. Maka saya tidak sabar menunggu bagaimana kesudahan isu saman-menyaman ini.

Dengan pengumuman saman itu maka saya turut umumkan bahawa kita sudah tidak bebas bersuara lagi. Tidak bebas mengkritik. Tidak bebas menyuarakan ketidakpuashatian kita. Tidak bebas menggunakan blog sebagai penyampai maklumat kerana kita menjejaskan kestabilan negara milik puak pemerintah.

Saya tiada kepentingan apa-apa pun melalui tulisan saya ini. Saya tidak mengharapkan suapan ringgit dari orang ramai dengan tulisan saya. Jua tidak mengharapkan sebarang kedudukan dan populariti. Cumanya, saya mahu pembaca yang dihormati sekalian meneliti bagaimana saya melihat isu semasa dari sudut pemikiran saya. Saya tuliskan itu dengan harapan, mana yang baik kita jadikan teladan, mana yang buruk kita buang dalam jamban. Dalam hal Rocky dan Jeff Ooi dan juga kebanyakan blogger yang lain, saya percaya mereka juga mahu berkongsi apa yang mereka tahu kepada masyarakat. Semuanya dengan satu harapan, untuk satu perubahan ke arah Malaysia yang berubah…

Saya dengan ini mengumumkan sokongan saya kepada blogger-blogger yang menghadapi masalah dalam meneruskan perjuangan sebagai penyampai dan pemberitahu kepada mereka yang tidak tahu dan buta akan kebenaran (memanglah, selama ini kita buta kerana hanya membaca NST dan seangkatan dengannya, tidak pernah tahu apa cerita sebenar di sebaliknya).

Baiklah, perkara di atas Cuma sekadar pemberitahuan bagi mereka yang tidak tahu dan sebagai platform untuk saya mengutarakan sokongan saya dan menentang segala bentuk tindakan yang menghalang kebebasan saya menulis di dalam blog ini.

Saya ada sedikit perkara lagi yang saya ingin kongsi berkenaan dengan banjir. Saya rasakan dalam dua entri yang lalu saya ada menyentuh perihal banjir. Kali ini saya mahu sentuh lagi kerana saya percaya pihak banjir tidak boleh menyaman saya. Hal ini berkaitan dengan mempolitikkan banjir, wajarkah?. Sudah pasti secara umum dan mengikut kepada naluri kebiasaaan akan kita katakan tidak wajar. Tetapi, mengapakah ada sebilangan kita yang masih mempolitikkan bala dari Allah ini? Mudah saya rasa jawapannya, kerana pemikiran yang merasakan diri mereka betul dan penuh dengan dendam. Cuba teliti dialog di bawah.

“ Ha tengoklah banjir kat Johor tu, dulu kata kat Kelantan saliran tak baguslah apelah. Sekali Johor tenggelam apa cerita?”

Saya yang mendengar kata-kata itu merasa sungguh panas dan marah. Cumanya, saya tidak mengutarakan kemarahan saya secara berdepan kerana masalah hubungan antara bos dan pekerja bawahan. Bagi saya, adalah tidak wajar mengatakan begitu kerana bala Allah ini boleh turun kepada sesiapa sahaja yang Allah rasakan mahu diuji. Bukankah ada pelbagai sebab yang menyebabkan bala diturun kepada sesuatu kaum? [rujuk]

Bagi saya, jika anda marahkan pihak lain kerana pernah mempolitikkan banjir di Kelantan, anda tidak harus menjadi seperti mereka. Anda marahkan mereka kerana hal itu, tetapi anda pun menjadi seperti mereka. Aduhai, lebih baik anda marahkan tiang lampu atau anda memulaukan barang-barang jualan kumpulan NST. Kalau anda marahkan penagih dadah kerana mengambil dadah akibat tekanan hidup, wajarkah anda juga mengambil dadah apabila tekanan hidup melanda diri anda? Saya tinggalkan kepada anda untuk menjawab soalan-soalan di atas.

[saya tidak boleh tulis lebih-lebih, nanti kene marah dengan bos atau lebih teruk kena saman, saya tiada duit, saya sudah miskin setelah melangsaikan hutang tmnet RM306.15 …….kopak duitku]

Apa lagi yang saya ingin kongsi….[haaaa, ni die]

Adik saya kehilangan telefon bimbitnya di sebuah pasaraya terkemuka di daerah Pekan [nama dirahsiakan atas alasan takut disaman]. Telefon bimbitnya dirampas oleh lelaki yang tidak dikenali sebaik sahaja dia mengeluarkan telefon dari beg galasnya. Lelaki itu terus melarikan diri dengan motosikal yang sudah ditunggu seorang lagi rakannya. Adik saya terpinga-pinga dan terus mendapatkan saya di rumah untuk membantunya. Tanpa berfikir panjang lagi saya terus mengambil kayu hoki tahun enam saya dan bergegas ke tempat kejadian, manalah tahu jika dia masih ada di situ, bolehlah saya rampas kembali. Namun hampa tiada. Saya terus ke balai polis dan menemankan adik saya membuat laporan polis. Aduh, sungguh leceh menunggu. Mahu melaporkan kecurian pun satu masalah, bagai yang dicuri pula merupakan pesalah.

“kenapa awak tak jaga handfon awak elok?”

“Kenapa senang sangat bagi kat orang tu?”

Dan pelbagai lagi soalan yang bengong.

Aduh saya rasa bingit dan mahu marah kerana adik saya tengah runsing pasal kehilangan telefon, mereka menghujani soalan yang seolah-olah melindungi si pencuri tadi. Saya kata dalam hati, mereka ini mungkin terlalu letih dengan kes-kes jenayah yang bertimbun sekarang ini. Maka saya tidak jadi mahu marah-marah sangat. Cumanya, kita harus menjadi lebih simpati dan memahami keadaan orang lain. Janganlah jadi seperti seorang Menteri ini, orang sedang bersedih pasal kerosakan harta benda akibat banjir, memikirkan bagaimana mahu meneruskan kehidupdan selepas ini, Menteri ini menyalahkan penduduk kerana tidak mempedulikan amaran yang pernah dikeluarkan sebelum ini[pautan]. Aduh, dunia memang perlu berubah

Saya tertarik dengan calon bebas yang akan menentang calon BN di Batu Talam. Usia sebaya dengan saya. Saya ucapkan semoga berjaya dalam pilihanraya nanti.

[Penulis teringat TV3 dan seangkatan dengannya mengatakan bahawa calon bebas yang akan bertanding nanti adalah tajaan PAS dan Keadilan. Nah, sekarang mereka halakan peluru kepada DAP pula].

Saya mendengar lagu ‘Waiting on the world to change” dan saya tertarik dengan liriknya.




Me and all my friends
We're all misunderstood
They say we stand for nothing and
There's no way we ever could
Now we see everything is going wrong
With the world and those who lead it
We just feel like we don't have the means
To rise above and beat it

So we keep waiting (waiting)
Waiting on the world to change
We keep on waiting (waiting)
Waiting on the world to change
It’s hard to beat the system [sungguh sukar]
When we're standing at a distance [lebih-lebih lagi ketika tengah belajar ini]
So we keep waiting (waiting)
Waiting on the world to change

Now if we had the power
To bring our neighbors home from war
They would have never missed a Christmas
No more ribbons on their door
When you trust your television
What you get is what you got
‘Cuz’ when they own the information ooohhh,
They can bend it all they want

So while we're waiting (waiting)
Waiting on the world to change
We keep on waiting (waiting)
Waiting on the world to change
It's not that we don't care
We just know that the fight ain't fair
So we keep waiting (waiting)
Waiting on the world to change

(Guitar solo)

We're still waiting (waiting)
Waiting on the world to change
We keep on waiting (waiting)
Waiting on the world to change
One day our generation
Is gonna rule the population [saya sangat tertarik dengan ini. Kitalah pelapis pimpinan akan datang]

So we keep on waiting (waiting)
Waiting on the world to change
Know we keep on waiting (waiting)
Waiting on the world to change
we keep on waiting (waiting)
Waiting on the world to change
Waiting on the world to change
Waiting on the world to change
Waiting on the world to change

Saya terpaksa menyertakan liriknya yang sudah pasti di dalam bahasa Inggeris. Mahu tunggu lagu-lagu melayu yang liriknya sinis terhadap kerajaan sudah pasti susah kerana silap sedikit sudah pasti akan disaman dan dimatikan watak artis itu. Haha

Apa lagi yang saya inginkan perubahan ya? Oh, sudah pasti pasukan bola sepaknya. Malaysia menentang Singapura. Walaupun saya jangkakan kekalahan atas perbandingan perlawanan menentang Thailand tempoh hari, namun saya tetap harapkan sinar perubahan jua.

P.s:
1.Penulis gemar menggunakan penagih dadah sebagai contoh. Hal ini kerana penulis berniat menjadikan penagih dadah sekurang-kurangnya berguna di dalam dunia blog penulis

2.Telefon bimbit adik penulis tidak dapat dijejaki, namun orang yang mengambilnya sudah dikenal pasti melalui CCTV pasaraya terkemuka itu.

3.Penulis tersenyum lebar dengan jaringan Pennant yang sungguh mengujakan[pautan]

4.Tertanya-tanya kenapa RM20 juta untuk sekolah di Kepala Batas, atau lebih tepat sekolah Perdana Menteri [pautan]. Bagaimana dengan sekolah lama saya? Kena tunggu TPM jadi PM dululah begini....

5.Banyak lagi mahu ditulis, tapi tunggulah lain kali...

Ma I Do A ri ...Bang!!(Bunyi tembakan pistol)

[penulis menafikan cuba menyamakan diri dengan Kurosagi dalam segala apa hal dan bentuk sekalipun. Sebarang persamaan adalah tidak disengajakan]

Friday, January 12, 2007

Cemas

Lintah

Saya mulakan entri ini dengan Bismillah
Disudahi dengan alhamdulillah
Begitulah sehari dalam hidup kita
Mudah-mudahan dirahmati Allah

[Oh! saya terlupa menyuruh anda membaca rangkap pertama entri cemas ini seperti seolah-olah anda menyayi lagu nasyid ‘Bismillah’, nyanyian kumpulan nasyid kontemporari Raihan. Oleh kerana itu anda dikehendaki mengingatkan penulis selepas ini ya]

Saya ada satu cerita yang saya ingin kongsikan. Sebuah cerita yang ilhamnya saya peroleh dalam suasana banjir yang berlaku tidak lama dahulu. Kisah sebuah keluarga yang saya hasilkan sendiri. Ringkas, tetapi anda fikirkan sendiri mesejnya.

Ada sebuah keluarga yang pada mulanya hidup mereka aman dan damai sehinggalah pada suatu ketika…. (maaf saya tidak pandai sangat bercerita bagai beckyillham bicara, maka maafkan saya)
Si bapa sebenarnya meminjam wang sebanyak USD200,000 dolar daripada seekor lintah darat yang baru mendapat hadiah wang tunai sebanyak USD 1 juta dolar selepas menjual darah yang dihisap selama ini kepada tabung bank dunia. [Darah yang dihisap oleh lintah tadi terdiri daripada pelbagai golongan lapisan masyarakat sama ada yang miskin, kaya, tua, muda, melayu, cina, India, jawa, bugis, banjar, arab. Juga tidak mengira pekerjaan dan di mana mereka berada; peladang di ladang Synergy Drive, petani di sawah padi milik syarikat kilang beras cap rambutan, budak praktikal di FPG, guru sekolah di sekolah dan banyak lagilah. ]

Setelah tempoh pinjaman yang ditetapkan si bapa tidak mampu untuk memulangkan kembali wang yang pernah dipinjam dari si lintah darat. Maka marahlah lintah darat tadi dan mengancam mahu mendapatkan kembali wangnya walau dengan apa cara sekalipun. Maka si lintah tadi memilih untuk melakukan cara yang bersesuaian dengan tema kehidupannya, iaitu menghisap darah seluruh ahli keluarganya. Si bapa yang ketakutan terus melarikan diri ke luar negara. Alasan bapa? Dia penat menguruskan keluarga dan mahu berehat sebentar seorang diri. Katanya, dia tidak bimbang akan keluarganya kerana dia sudah melepaskan tanggungjawabnya kepada ibu (timbalan ketua keluarga) untuk menghadapi tempoh sukar ini bersama anak-anak mereka.

Pergilah si bapa dengan penuh rasa bersalah dan kasih sayang ke luar negara mencari damai abadi. Si ibu yang bijak bestari berpemikiran melayu glokal itu mengadakan rundingan damai abadi dengan si lintah tadi. Ibu mencadangkan agar si lintah menghisap darah keluarga mereka secara berkala iaitu sebanyak satu meter padu seminggu. Maka sudah sebulan darah mereka dihisap dan keadaan fizikal mereka sangat lemah dan longlai. Maka bertanyalah si anak kepada ibunya.


Anak: Ibu, kenapa ayah berada di luar negara? Kita di sini bagai mahu kering darah dihisap intah, tergamak ayah meninggalkan kami di sini, adakah bapa tidak sayangkan kami? Anak-anaknya…”
Ibu: Kuri, bapak sayangkan kamu semua. Jika tidak, masakan bapak bisa menalipon dari padang golf di sana. Bapak katakan bapak pantau dari jauh
Anak: Oh, begitu rupanya….saya tak sangka ayah pantau kita dari jauh sahaja….Btw mak, nama saya bukan kuri, nama saya Suri…

Bijak ibu bukan bijak biasa. Bijak ibu getaran yang sama. Ibu telah memikirkan satu strategi yang mantap dan hebat. Ibu menyusun sebuah strategi yang bisa memakan dirinya sendiri. Ibu menghirup segelen refined glycerin yang dicuri dari kilang berdekatan dengan harapan refined glycerin itu akan memasuki aliran darahnya. [ Mengikut hemat saya, jika refined glycerin ini ditelan pada kadar yang tinggi oleh manusia mereka akan mati jika tidak sekadar kebas badan sahaja. Jika yang menelan adalah lintah, maka memang akan mati].

Si ibu pengsan kerana badannya kebas dan dia sempat menyuruh sang lintah darat menghisap darahnya pada waktu yang ditetapkan. Sesungguhnya perjanjian konsesi antara mereka adalah rahsia tetapi penulis dapat menceritakan kepada kalian melalui teknik menggodam komputer peribadi milik si ibu tadi. Maka, matilah lintah darat tadi kerana menghisap darah si ibu yang bercampur dengan refined glycerin itu. Tamatlah ancaman daripada si lintah darat yang sungguh kejam itu.

Maka pulanglah bapa dari pelariannya tadi dengan hajat mahu berjumpa keluarganya. Namun apa yang dicitakan hanya sia-sia kerana keluarganya telah berpindah ke tempat lain. Mereka pindah ke bulan yang dikelilingi hutan-hutan hijau. Setiap malam si bapa melihat bulan dan berfikir..

“Kali ini, aku benar-benar pantau dari jauh…..”

Sebenarnya, si anak berasa kecil hati dengan si bapa kerana sekadar memantau dari jauh…Ibunya yang bijak bestari berjaya menipu wang milik si lintah darat dan menjadi kaya raya sehingga dapat berhijrah ke bulan.

Tamat…

Sebenarnya cerita ini hanya rekaan semata-mata. Buat mereka yang sedih mendengar cerita ini maka maafkan saya. Buat mereka yang tertawa, saya tidak buat lawak pun. Buat mereka yang jelek dengan cerita ini, sudah saya katakan cerita ini adalah rekaan saya. Saya penulis blog ini. Saya punya sukalah..

Ingin saya tegaskan bahawa cerita ini hanya rekaan penulis semata-mata dan tiada kaitan dengan yang hidup dan yang mati. Sesungguhnya khasiat refined glycerin tidaklah diketahui penulis tetapi yang pasti jangan cuba menelan segelen bahan kimia itu ya.

Saya tertarik dengan penarikan atau dengan lebih tepat pemboikotan Pas dan PKR dari pilihanraya kecil di DUN 06 Batu talam yang bakal dijalankan tidak lama lagi. Saya rasakan mereka merasakan sesuatu yang serius perlu diambil perhatian oleh SPR. Saya teringat komen Tan Sri Rashid yang menidak dan memperlekehkan pihak Jabatan Pendaftaran Negara dengan perkataan ‘Tak boleh harap’. Kata-kata beliau memang menyingsingkan lengan kesabaran saya kerana saya pernah berkhidmat sebentar dengan JPN dan saya tahu komitmen mereka. Saya katakan Tan Sri Rashid ini enggan mengakui kelemahan sendiri sebaliknya menuduh kepada pihak yang lain pula. Sudahlah begitu, diperlekehkan pula pihak yang lain di hadapan jutaan penonton televisyen. Saya puas secara peribadi dengan tindakan PAS dan PKR menarik diri yang seolah-olah memberi tamparan kepada kredibiliti SPR itu sendiri. Alasannya jelas, SPR harus menggubal kembali apa yang dikatakan sebagai tidak relevan lagi pada masa kini. Bagi pihak yang menentang penarikan pembangkang ini, saya hormati pendirian anda. Saya Cuma membayangkan satu gelanggang yang telah disediakan dengan sempurna namun mutu pengadilan menghampakan. Saya kira lebih baik tidak bertanding kerana sudah pasti akan kekalahan. Seperti mana juga kekesalah Sazali Samad di Doha baru-baru ini.

Saya terlalu mentah untuk bicara soal ini maka saya tinggalkannya supaya kedewasaan saya pada masa akan datang menjawabnya.

Penulis akan berurusan dengan pihak kementerian kesihatan esok. Penulis berharap mendapat layanan dan perhatian yang sewajarnya dari petugas yang berkaitan. Saya tidak mengharapkan karpet merah, cuma cukuplah dengan sekuntum senyuman…
[sebelum penulis sempat naikturun entri ini, penulis terlebih dahulu berurusan dengan badan kerajaan itu. Hasilnya, berjambak senyuman penulis terima, namun apa yang penulis inginkan tidak mampu dilunaskan buat masa ini. Banyak lagi langkah yang perlu dijalani contohnya seperti urusan surat menyurat dan sebagainya. Penulis telah berkunjung ke tiga pejabat yang berlainan untuk menyiapkan tugasan namun tiada kesampaiann kepada apa yang penulis inginkan. Ini cuma birokrasi mudah, belum lagi tahap tinggi seperti yang dikatakan Perdana Menteri semalam. Untuk memulakan industri di Malaysia 9 langkah harus dilalui dalam tempoh 30 hari berbanding di Jepun dua langkah dalam masa dua hari. Teruskan usahamu Perdana Menteri]

Sudah sebulan lebih penulis berada di tanah air. Ini juga bermakna yang penulis cuma mempunyai sebulan lebih juga sebelum berangkat kembali ke tempat menuntut ilmu. Maka, harus saya hargai anugerah ini.

Kepada mereka yang membaca entri ini, terima kasih. Kepada yang tidak membaca, salahkan mereka yang membaca kerana tidak memberitahu anda kewujudan entri ini secara khususnya, dan blog ini secara umumnya.

Sekian, terima kasih…

P.s: Refined glycerin adalah salah satu produk utama di tempat kerja penulis. Baru-baru ini syarikat mendapati ada kekurangan kuantiti refined glycerin yang dihasilkan dan dicurigai ada yang dicuri. Refined glycerin boleh kedapatan di dalam minuman seperti coca-cola dan kebanyakan ubatan tempatan dan luar negara.
Penulis sedar akan kehilangan inti realiti cerita tadi dan semuanya adalah disengajakan atas alasan pantau dari jauh. Eh, bukan,sebenarnya atas alasan mengembangkan variasi dalam tulisan saya.
Tajuk cemas diambil kerana komputer penulis mengalami masalah sebelum dapat menaip entri ini. Komputer enggan berfungsi apabila suis penghidup ditekan. Penulis benar-benar tertekan dan cemas sehingga terdetik mahu membeli komputer baru…tetapi sudah pasti hanya angan-angan kerana penulis tiada duit. Haha
USD dolar dipilih daripada RM. Alasan? FTA dan anda . Apa kata rafidah? [pautan]

Penulis gemar perkataan melayu glokal

Penulis dikejutkan dengan satu lagi kenaikan yang bakal dihalusi Perdana Menteri. Alhamdulillah. Moga-moga usul kenaikan gaji kakitangan awam ini diluluskan.[pautan]



Ma I do A ri.. Bang!! (Bunyi tembakan pistol)




























Sunday, January 07, 2007

Apabila saya bicara...

Gambar YM penulis tatkala ini. Dia adalah sepupu penulis dan bercita-cita menjadi cicakman


Saya memikirkan topik yang sesuai untuk dibicarakan. Sesuatu yang santai dan tidak terlalu berat. Apabila saya bicara soal berat maka saya maksudkan sesuatu yang tidak melibatkan persoalan bangsa dan negara. Apabila saya bicara soal yang melibatkan persoalan bangsa dan negara maka secara terus terang saya katakan yang saya berniat mempolitikkan tulisan saya. Maka saya harap entri kali ini tidak melibatkan sesuatu yang berat dan menyusahkan pembaca sehingga kalian akan meneka-neka saya ini memihak kepada parti yang mana. Ditambah lagi dengan kehangatan kekosongan kerusi di ADUN N06 Batu Talam di Raub Pahang yang saya jangkakan merupakan satu kekosongan yang bakal diisi dengan pelbagai pengertian. Pengertian yang menurut fikiran saya sebagai begini:

· Jika BN tewas, maka itu merupakan isyarat jelas kepada Pentadbir utama negara untuk memperbaiki apa yang buruk dari kaca mata rakyat. Jika rakyat tidak setuju dengan apa yang dialami sekarang maka pilihan yang akan dibuat adalah menyingkirkan barisan yang pernah mereka pangkah dahulu. Mereka pangkah yang lain. Senang cerita.

· Jika BN menang,dengan syarat

o Kemenangan bersih ( jika saya bicara soal bersih maka saya maksudkan sebagai tanpa kehadiran pengundi syaitan(hantu), rasuah dan taktik kotor yang lain). Jika BN menang dengan kemenangan bersih maka saya tidak mampu menidakkan kemenangan mereka. Tetapi saya mampu menggelengkan kepala kerana memikirkan pilihan rakyat yang tidak merasa serik dengan kepincangan yang berlaku buat masa ini. Kepincangan yang saya ungkaikan dari pelbagai segi. Tidak perlulah saya terangkan lagi segi apakah yang dipelbagaikan itu. Boleh jadi segi tiga, segi empat, mahu pun segitiga bermuda(haha, ingat lawak la tu)

o Kemenangan tidak bersih, maka saya akan mentertawakan mereka dan senyum sendirian memikirkan apakah yang menimpa kita sekarang ini. Terfikir dengan cara apakah mungkin kita dapat melepaskan diri dari cengkaman buas puak penggila kuasa ini.

Sebenarnya saya tidaklah mengharapkan sesuatu keajaiban yang amat mengujakan dari pilihanraya kecil ini. Cumanya saya fikirkan tidak mustahil sesuatu yang besar bakal berlaku. Kerana yang menjadi mustahil itu cuma pada batasan sejarah. Jika saya bicara soal sejarah maka saya kaitkan dengan peristiwa silam peribadi juga. Bagi saya, kesedihan masa silam tidak menjadikan kebahagiaan sesuatu yang mustahil untuk dikecapi. Mungkin sudah dikecapi, hanya kita yang sukar menghalusi, kerana bahagia pada mata kasar kita tidak kelihatan sepertinya juga gelombang infrared dan ultraungu. Memerlukan pada alatan khas untuk kita ketahui kewujudannya. Pada kehidupan ini, kebahagiaan yang tersirat itu memerlukan kesabaran sebagai alat untuk kita mengesaninya. Semahunya kita bahagia selalu, tetapi kita mudah putus asa pada halangan di hadapan. Semahunya kita ceria selalu, tetapi kita tidak pernah bersedia mengukir senyum tatkala musibah menimpa. Jika kita mahu bahagia maka kita harus tahu sengsara. Jika tidak kita tidak pernah tahu apa itu bahagia.

Saya tertarik dengan muka depan berita harian bertarikh 5/1/2007 yang menulis bahawa betapa cemerlangnya strategi yang dirancang oleh Perdana Menteri kita dalam menjana keutuhan bangsa[pautan]. Cumanya, saya kurang faham dengan kenyataan bahawa strategi itu ada, cuma perlaksanaannya kurang membanggakan. Dan saya tertanya sendiri, atas tanggungjawab siapakah memantau keberkesanannya? Atau adakah strategi itu terlalu mengagumkan sehingga pihak yang berwajib tidak mampu melaksanakannya? Atau dalam bahasa mudahnya terlalu realistik? Atau dalam bahasa yang dipermudahkan, ‘gimik politik’ semata?. Sungguh saya tidak dapat menahan geli hati saya ketika menonton buletin utama pada malam sebelum tercetaknya berita tentang kehebatan strategi itu. Tidak terfikir dalam tempoh cuma tiga tahun beliau sudah mampu mengujakan pemujanya untuk mengadakan seminar khas yang menceritakan perihal hebatnya idea-idea beliau yang sekarang masih belum terbukti menurunkan beberapa perkara yang sedang mencanak naik tatkala ini. Saya tidaklah menutup mata pada penurunan pengangguran yang diwar-warkan oleh Senator Muhammad bin Muhd Taib. Jika benar maka saya ucapkan tahniah.

Ini saya petik dari berita harian halaman yang sama,

Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din, pula berkata pihak tertentu yang mempunyai agenda sendiri juga sering campur tangan dalam pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan.

“Ada pihak cuba mengambil kesempatan daripada pendekatan pentadbiran Perdana Menteri yang dilihat berlembut dan bertolak ansur. Mereka memanipulasikan rancangan kerajaan demi memenuhi kepentingan sendiri.

“Golongan ini sering melengah-lengahkan tempoh pelaksanaan dasar kerajaan dengan membuat tuntutan sendiri sehingga ia melambatkan, malah kadangkala menghentikan terus pelaksanaannya,” katanya.

Kadang kadang ada masanya kita harus berlembut dan ada masanya kita harus bertegas. Hikmah itu bukan hanya pada kelembutan. Tetapi juga dalam kekerasan. Cumanya, ketegasan dalam kelembutan itu lebih dihargai manusia. Tetapi apa gunanya sekadar berlembut tetapi tiada ketegasan? Anda nilailah segalanya...

Saya teringat kata-kata PM yang lebih kurang begini berbunyi. “Kita harus membina kekuatan dalaman untuk mendapatkan perpaduan yang benar-benar tulen dan kukuh”. Saya mahu ulas perkara ini. Benar, tapi saya tidak tahu apakah yang dimaksudkan pada kekuatan dalaman itu kerana saya hanya terfikirkan satu bentuk kekuatan dalaman sahaja setakat ini. Haha, saya teringat iklan minuman Super Power di kaca TV. Bagi yang tidak tahu, Super Power adalah minuman yang seangkatan dengan Tongkat Ali Power Root dan Kopi Jantan dan sebagainya.


Iklan Super Power


Sudah saya katakan yang saya hanya cuba untuk membicarakan soal yang ringan tapi saya tidak berjaya elak kali ini. Mungkin naluri saya suka membicarakan persoalan yang berat. Oh, tidak! Saya seorang yang ceria dan tidak serius dalam kerja saya. Kadang-kadang tulisan tidak menggambarkan perilaku sebenar saya. Maka berhati-hati dengan tulisan sesiapa sahaja.

Saya suka benar apabila keluar daripada Masjid Pelabuhan Kuantan selepas menunaikan solat Jumaat baru-baru ini. Hal ini kerana khutbahnya benar-benar saya nantikan untuk sekelian kalinya. Pembicaraan khutbahnya adalah berkenaan suatu yang berat. Apabila saya bicara soal berat maka saya .... (anda sambung sahaja sendiri, saya pasti anda tahu apa sambungan bagi ayat di atas) Sebelum ini semenjak berada di tanah air saya rasakan yang khutbah Jumaat adalah lesu dan tidak bersemangat. Bukanlah kerana khatib itu bersuara syahdu dan lembik tetapi kerana intinya yang tidak ubah seperti lirik-lirik lagu yang kononnya nasyid tetapi sebenarnya memuja-muja sang kekasih. Bagi saya pengisian khutbah haruslah bertepatan dengan kepentingan dan keutamaan yang dihadapi masyarakat Islam setempat pada ketika itu. Wajarkah kita bicara soal kepentingan memakan buah-buahan tempatan tatkala kebanjiran murtad melanda negara kita? ( nanti ada yang menuduh saya berfikiran jumud kerana bicara soal banjir murtad tatkala negara baru kebah dari banjir besar)

Baru-baru ini saya dikejutkan dengan berita kematian senior saya di sekolah dahulu. Diserang batuk kering mengikut ceritanya. Adiknya yang sama umurnya dengan saya sudah pergi dahulu menyahut panggilan Ilahi baru beberapa bulan yang lepas. Takziah saya ucapkan. Mati tidak mengira berapakah umur kita. Moga-moga kita sudah bersedia menghadapinya.

Baru-baru ini saya tersedar sesuatu. Saya sedar yang saya sudah lupa bagaimana rasanya menyukai seseorang. Saya terlupa bagaimana hebatnya cinta itu sehingga saya memandang lemah pada yang sedang dibuai perasaan rindu dan sayang. Saya melihat itu sebagai sangat asing dan pelik. Saya katakan kepada diri saya yang saya beruntung sekarang. Saya tidaklah menyesal atas perasaan saya dahulu sungguh tidak. Tetapi saya tidak menyesal berfikiran seperti sekarang. Berfikiran enteng kepada cinta manusia. Maafkan saya.

Ada yang mengatakan blog saya ini mempunyai mood. Saya kurang pasti apakah mood itu. Tetapi mood itu ditafsirkan sebagai membuatkannya sedih, ketawa, kagum, dan sebagainya. Harap-harap cetusan mood itu bukanlah sesuatu yang buruk. Saya menulis bertemankan emosi saya, dan saya harap anda turut berkongsi emosi dengan saya. Maksud saya, berkongsi apa yang saya rasakan dalam tulisan ini. Saya harap tulisan saya menjadi penghubung pemikiran kita walaupun mungkin saya asing bagi kamu semua. Saya mengalu-alukan pemikiran anda juga.

Saya bermain futsal bersama rakan rakan saya. Sekejap sahaja sudah penat tetapi saya tidak puas. Anda tidak perlu tahu mengapa kerana saya hanya menjaringkan satu gol sahaja dan melepaskan beberapa peluang keemasan yang lain. Haih....

P.s: Takziah kepada ahli keluarga Datuk Tengku Paris Tengku Razlan. Semoga bertabah atas segala apa yang berlaku.
Selamat tahun baru kepada semua. Azam baru? Jangan tanya saya, saya seperti ini juga pada setiap tahun.
Menanti penerbangan tambang murah ke New Zealand.


Terima kasih kerana sudi membaca
Ma I do A ri..Bang!!(Bunyi tembakan pistol)