
Biarlah awal dua puluh hari pun, mana bisa semangat anak merdeka diukur dari sudut tarikh. Ya, saya mahu menulis tentang merdeka. Merdeka yang kita sendiri keliru dengan pengertian. Saya, kamu, mereka, kita, kami, dia, atau siapa siapa saja yang bisa keliru dengan kemerdekaan. Ada yang mengatakan kita tidak bisa erti apa itu merdeka kerana kita tidak pernah merasa erti penjajahan. Lebih-lebih lagi generasi lingkungan umur seperti saya yang tidaklah bersama-sama dengan pejuang-pejuang negara satu ketika dahulu. Benar, saya tidak bersama-sama dengan perjuangan mereka. Saya tidak bersama-sama dalam penentangan ke arah kebebasan. Saya tidak bersama-sama dalam penindasan penjajah ke atas yang dijajah. Saya tidak bersama-sama memegang sepanduk menentang Malayan Union satu ketika dahulu. Saya juga tidak memegang sepanduk meraikan kembalinya rombongan Tunku Abdul Rahman yang membawa 'tauliah kemerdekaan' dari British. Siapalah saya untuk meraikan kemerdekaan ini....
Merdeka itu tafsirannya pelbagai, dari segi sudut maupun statik. Merdeka itu ada yang mengatakan berakhirnya era penjajahan dari sebarang kuasa penjajah. Berakhirnya penjajahan itu membolehkan sesebuah negara itu bebas. Bebas merangka negaranya, merangka tarinya, merangka rakyatnya, merangka perangkaan yang sepatutnya berpandukan selera dirinya sendiri. Ada juga beranggapan merdeka itu tidak ada, kerana hakikat penjajahan itu sendiri ditolak. Ada beranggapan merdeka itu lebih luas ertinya jika digali dalam-dalam istilah itu. Suatu sudut lain membawa maksud merdeka itu tidak harus pada negara, malah wajib ada di dalam jiwa dan pemikiran rakyat. Jiwa perlu merdeka. Pemikiran perlu merdeka. Tidak ada unsur-unsur budaya kuning meresapi minda rakyat. Jika rakyatnya dikotori dengan budaya luar,maka secara tidak langsung negara itu sudah tidak merdeka lagi.
Sudah saya katakan pada perenggan pertama bahawa saya tidak bersama-sama dengan pejuang-pejuang bangsa yang melalui jerit perih menuntut kebebasan di tanah sendiri. Saya tidak mahu mencuri kegemilangan mereka. Saya tidak mahu merosakkan kepayahan dan usaha mereka dengan menumpang sekaki. Sindrom tumpang sekaki yang menyakitkan hati. Sindrom meraikan kemerdekaan secara berlebihan yang tidak pernah dihayati dan diketahui apa makna merdeka itu sendiri. Malahan, sambutan yang berlebihan inilah yang melunturkan jati diri rakyat yang kononnya berjiwa merdeka itu. Seperti tahun-tahun yang lalu, sambutan diadakan di mana berkumpulnya kumpulan-kumpulan seperti skinhead, punk, oi!, dan apa-apalah lagi yang sesat dan menyesatkan itu merosakkan imej merdeka itu. Mabuk, bergaduh, terkinja-kinja di malam merdeka, apakah ini? Ini baru kelunturan imej merdeka, belum dari sudut pengertian dan pengukuhan kefahaman merdeka itu sendiri. Mempersoalkan kewajaran sambutan kemerdekaan merupakan satu dilema. Sebagaimana dilema mahu menegur adat yang disangka ibadat dan apa-apa yang sesuai untuk dikaitkan dengan kejumudan dalam pemikiran. Jika yang dilakukan itu lebih merosakkan daripada membawa kebaikan, maka usahlah, lupakanlah. Umpama menyembah kubur milik seorang wali, kebaikan wali itu tidak terhakis namun si penyembahnya yang mendapat dosa besar.
Saya tidak bersama-sama dalam perjuangan satu ketika dahulu, walaubagaimanapun saya tetap tidak boleh dipersalahkan jika saya mahu mengingati perjuangan mereka. Kamu yang mahu meraikan kemerdekaan juga tidak boleh dipersalahkan. Saya dan kamu akan bersalah jika kita sama-sama merosakkan merdeka ini. Kita tidak dapat menaiki mesin masa berharap dapat berjuang kembali bersama nenek moyang kita. Cuma yang ada pada generasi kini adalah perjuangan meneruskan merdeka itu sendiri. Pengisian kemerdekaan. Mempertahankan kemerdekaan. Itu tugas kita bersama. Perjuangan yang tidak pernah akan selesai.......
Bercakap tentang merdeka, saya mahu menyelitkan tentang kemerdekaan individu. Individu ada hak untuk bebas, tetapi ada batas. Apa yang menentukan batas-batas itu? Anda tahu batas itu jika anda beragama, anda tahu batas itu jika anda ada rasional, anda tahu batas itu jika anda bersuami, anda tahu batas itu jika anda beristeri, dan anda tahu jika anda berkeluarga (tiga yang paling akhir saya tidak tahu kerana setakat ini saya cuma beragama dan berasional).
Saya menjadi terlalu emosi apabila saya menghayati sajak 'Perjuangan yang belum selesai' karangan Tun Dr Mahathir. Ditambah pula dengan versi lagu nyanyian Nora membuatkan semangat saya berkobar-kobar dan patriotik.
Perjuangan yang belum selesai
Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayatkan
dari melihat bangsaku dijajah
tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
sejarah silam tiada maknanya
sekiranya bangsa tercinta terpinggir dipersenda dan dilupakan
Bukan kecil langkah wira bangsa
para pejuang kemerdekaan
bagi menegakkan kemuliaan
dan darjat bangsa
selangkah beerti mara
mengharung sejuta dugaan
Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin
dan cermat bagi memastikan
negara merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita
Tugas kita bukan kecil
kerana mengisi kemrdekaan rupanya lebih sukar
dari bermandi keringat dan darah menuntutnya
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan,
mengangguk dan membenarkan,
kerana sekalipun bangganya negara kerana makmur dan mewahnya,
bangsaku masih melata dan meminta-minta di negaranya sendiri
Bukan kecil tugas kita meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
kerana rupanya selain memerdekakan,
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
bukankah sejak zaman berzaman
mereka menjadi pelaut, pengembara
malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,
menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera menjajah dunia yang tak dikenal Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau yang tidak mengenal erti takut dan kematian?
Di manakah silapnya
hingga bangsaku berasa begitu kecil dan rendah diri?
Apakah angkara penjajah?
Lalu bangsaku mulai melupakan kegemilangan silam
dan sejarah gemilang membina empayar
Tugas kita belum selesai rupanya
bagi memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya akan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
kerana masa depan belum tentu menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa
Perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda bangsanya
yang berjaya
Dr. Mahathir Mohamad Mei 1996
Maafkan saya jika saya ada menyinggung sesiapa dalam entri kali ini. Kita harus sedar sejarah kita sendiri. Ada yang mengatakan melayu itu kuat pada sejarahnya. Kita harus tidakkan kata-kata ini kerana kita turut mahukan kekuatan buat masa sekarang, dan bukan hanya pada sejarah. Hidupkan sejarah yang molek yang dicipta oleh mereka yang telah tiada...
0 komen:
Post a Comment