Friday, October 19, 2007

Jurang ini bukan sempurna

Jurang Zakaria


Kali ini saya mahu bicara tentang perjurangan. Dalam erti kata lain, saya mahu mengupas isu isu berkaitan jurang yang berlegaran di dalam pemikiran saya tatkala ini. Jadi, apakah jurang yang saya cuba ceritakan kali ini?

Tahukan anda jurang yang terdalam di dunia ialah jurang Mariana ? Bagus jika anda tahu tentang fakta itu. Tetapi tahukah anda salah satu filem saudara Yusof Haslam yang bertajuk Maria Mariana tiada kaitan langsung dengan jurang Mariana? Bagus jika anda tahu. [Maafkan saya kerana suka mengarut, hakikatnya saya kehilangan rentak untuk menulis kembali setelah meninggalkan jurang yang besar antara entri terdahulu dan entri kali ini]

Daripada saya membebel tidak tentu pasal dan mengelamun lebih baik saya terus ke arah idea-idea saya.

Saya menulis tentang entri berkisarkan jurang ini kerana saya sudah lama menyimpan perasaan terhadap Mariana... Ops, saya bergurau saja [habislah saya kena 'bahan' dengan seseorang nanti, :P]. Sebenarnya, saya terkejut dengan perkembangan ini yang melebarkan jurang antara golongan kaya dan yang tidak berapa kaya.

Saya melayari beberapa laman-laman blog yang sudah lama saya tidak layari dan hasilnya saya dapati pelayaran saya terkandas pada satu jurang yang dicipta di tengah-tengah negeri Selangor. Ya, cerita lama, pasal Abg Zakaria kita. Saya melihat perkara ini tidak munasabah langsung. Bilik utama yang lebih besar daripada sebuah rumah kos rendah! Ramai yang bisa berkata, biarlah dia dengan kekayaannya. Ala, lagipun bukankah rumah itu untuk cucu-cucu beliau yang ramai... tetapi tidak bagi saya, mana bisa dibiarkan kekayaan sebegini. Jurang sebegini tidak wajar ditonjolkan secara melampau dan terang-terangan. Usahlah menunjuk-nunjuk kekayaan yang kita punyai. Sudahlah tidak membantu meringankan beban yang tidak mampu, disakitkan pula hati dengan gelagat mempamerkan kekayaan yang melimpah ruah. Saya percaya, perkara ini tidak mustahil mengheret Malaysia ke dalam kancah perpecahan antara kelas atasan dan bawahan.

Peristiwa yang berlaku di Myanmar juga menarik minat saya untuk menulis sedikit perihal jurang ini. Saya tidaklah mengetahui secara mendalam tentang krisis politik yang melanda Myanmar tatkala ini, tetapi salah satu perkara yang mengakibatkan protes rakyat ialah jurang yang begitu besar antara yang kaya dan yang tidak kaya. Anak-anak kecil di jalanan merayu pelancong membeli poskad-poskad untuk mendapatkan sesuap nasi. Anak-anak orang kuat junta pula megah dalam majlis perkahwinannya.



Kebetulan ketika ini negara begitu hangat dengan pencapaian negara melahirkan angkasawan pertama. Kos untuk membiayai program ini bukan murah. Sudah pasti tidak murah. Bermula dari proses pemilihan hinggalah ke latihan terakhir, kosnya sudah pasti menelan jutaan ringgit. Ramai yang bisa berkata, "bukankah lebih baik jika wang itu diniagakan untuk perbelanjaan membantu golongan miskin yang melata di bumi ini?".. Ya, anda boleh berkata begitu, tetapi saya tertarik juga dengan kata-kata ini. "Kalau anda rasa perbelanjaan ke angkasa itu satu pembaziran, kenapa anda masih menggunakan internet? Silalah gunakan wang yang anda bayar untuk internet ini untuk memberi sedekah kepada orang yang memerlukan.. Ya, seringkali kita hanya pandai mengomel tetapi hakikatnya diri sendiri tidak mampu membantu ke arah yang lebih baik. Kadang-kadang, kita hanya melihat sesuatu perkara itu dari sudut nilai kewangan atau materialistik sahaja walaupun sebenarnya nilainya lebih daripada itu. Geram juga saya apabila membaca artikel tulisan Encik Belakang Orang ini. Mengatakan slogan untuk program angkasawan ini adalah 'Malaysia Bodoh' bagi menggantikan 'Malaysia Boleh'. Tapi nak buat macam mana, dalam kepandaian itu sudah pasti ada bahagian yang bodoh juga. Berkaitan dengan perkataan jurang, mungkin Kementerian Sains dan Teknologi mahu mengurangkan jurang ilmu astronomi dengan negara-negara kuasa besar yang lain.

Jurang yang berikutnya adalah jurang Ramadan. Benar, Ramadan bulan mulia itu. Ramadan mendekatkan kita dengan pencipta, mendekatkan kita pada agama, mengurangkan jurang kita dengan Dia. Dalam bulan mulia itu, jurang bangsa dirapatkan, jurang senioriti dikurangkan, dan pelbagai jenis jurang lagi dikurangkan. Namun begitu, usahlah jambatan yang pernah kita bina dalam menyambungkan jurang-jurang ini dirobohkan begitu sahaja. Benar, saya rindu akan Ramadan...

Baru menghadiri jamuan perpisahan untuk senior-senior Petsoc semalam. Mereka akan meninggalkan kami di bumi NZ ini. Jadi, bersempena entri kali ini, saya harap jurang jarak dan waktu antara kita tidak akan mendatangkan masalah kelak. Saya tidak mahu ada jurang persahabatan antara kita. Kerana jurang itu tidak sempurna...

Satu lagi jurang! Jurang ilmu dalam menghadapi peperiksaan nanti. Terasa banyak benar perkara yang harus diulangkaji untuk peperiksaan akhir tahun kali ini. Harap-harap minggu ulangkaji kali ini dapat menutup jurang yang ada dan membuatkan saya bersedia..

Setakat ini sahaja kali ini, kalau mahu berkata pasal jurang lagi sudah pasti saya akan mengaitkan dengan bolasepak. Jurang mata antara Liverpool dan pasukan lain di tangga teratas nampak seperti mahu melebar. Kena bersabar lagi nampaknya...

Sekian.. Selamat berjurang!

P.s: Kepada 'kamu', Mariana itu cuma gurauan sahaja ok..hehe