Monday, January 14, 2008

Buat aku termasam

Tiada kaitan


Bertemu kembali dalam tempoh beberapa hari. Jarang benar saya mengemaskini blog ini dua kali dalam tempoh sebulan. Kenapakah begini?
  • Saya mempunyai lebih masa( lebih masa tak bermakna saya ada 25/26 ataupun +24 jam sehari. Cumanya, lebih banyak masa saya sediakan untuk laman saya ini)
  • Motivasi untuk menulis telah kembali (semasa bekerja, kadang-kadang tumpuan saya teralih untuk menulis dalam bahasa melayu, maka inilah hasilnya)
  • Banyak isu atau idea yang bermain di fikiran
  • Kerajinan melebihi kemalasan
  • Beria-ria untuk berkongsi ( benar-benar teruja seolah-olah saya tahu segalanya. Usah bimbang saya hanya bercerita tanpa mempedulikan reaksi kalian. Saya hanya buat-buat tahu sahaja)
  • Salah satu aspek seorang helang yang cemerlang ialah rajin mengemaskini laman blog. Benar, sindrom helang yang cemerlang masih menghantui diri saya. (Saya menggunakan perkataan seorang helang bukannya seekor helang kerana saya merujuk helang itu kepada diri saya yang masih seorang manusia cuma mempunyai karakter yang sama dengan seekor helang yang cemerlang. Mohon maaf kepada aktivis bahasa yang ada di luar sana)

Baik, kita terus kepada apa yang ingin ditulis

Kita mulakan dengan sesi politik, baik yang sudah basi, sedang hangat, atau pun relevan sepanjang zaman.

Cerita politik mungkin boleh menjadi basi, bagi mereka yang tidak peduli. Bagi saya ia tidak pernah basi. Kerana politik bagi saya adalah satu keperluan. Bila mana saya rasa perlu, maka cerita politik yang lama-lama saya ungkit kembali atau imbas kembali sebagai rujukan di saat memerlukan. Bilakah saat memerlukan itu? Bila mahu mengundi, bila mahu bertanding, bila mahu menulis/mengulas, bila bila kiranya diriku perlu, Hari yang murung terdengar nada yang riang ria~~ .

Jadi apakah cerita yang menarik untuk dipamer kali ini?
Cerita mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir yang dipanggil sebagai salah seorang saksi dalam kes video lucah, eh silap video tidak lucah V.K Lingam. (asyik teringat lucah sahaja bila mana kes ini ada kaitan dengan Anwar). Ada apa dengan video Lingam ini? Apakah yang tersirat di sebalik semua ini? Saya rasa, lebih baik kita tunggu saja keputusan hakim nanti. Saya meramalkan begini,
1.Bilamana pihak yang menuduh tewas dalam kes ini, pastinya yang dicela adalah sistem perundangan yang ada sekarang. Tidak jujur, tidak adil, tidak bebas, dan paling hebat kata-kata yang akan digunakan adalah konspirasi peringkat tertinggi! Wah wah wah, dengarnya bukan main hebat ya..
2. Bilamana yang menuduh menang, maka yang dicanangkan adalah saya di pihak yang benar. Sukar benar mahu mengaku kita di pihak yang salah..

Isu video lucah Chua Soi Lek memang meremangkan bulu-bulu di badan saya(usah fikir terlalu spesifik ya). Isu CSL ini boleh dilihat dari pelbagai sudut. Baik dari sudut cakah, refleks mahu pun sepakan sudut. Pertama, dari sudut moraliti. Ini saya tidak mahu ulas kerana bagi saya moral itu ditentukan oleh komuniti/kaum/adat/agama. Sudut kedua, saya melihat pendedahan video ini tidak lebih dari mainan politik semata. Saya percaya pada teori ini, kebanyakan politikus di luar sana pasti ada kelemahan. Baik kelemahan dari segi wanita, harta, keluarga, atau pun pegangan. Kesemua kelemahan ini akan didedahkan dan dibogelkan oleh satu satu pihak untuk kepentingan mereka. Bak kata orang putih(saya bukan orang putih walaupun berkulit putih sedikit,hehe),'skeleton in the closet'. Dari sudut sepakan sudut pula, saya melihat pengakuan sendiri CSL bahawa dialah lelaki itu menjadi contoh menukar halangan kepada peluang(turning obstacle into opportunity). Apabila CSL membuat pengakuan begitu, saya secara peribadi merasa kagum pula dengan perwatakan bekas menteri itu. Bukan senang mahu mengaku beraksi dalam video porno. Lebih-lebih lagi anda berhadapan dengan kehilangan jawatan, status dan teman-teman. [sepakan sudut adalah satu peluang untuk menjaringkan gol]


Isu yang terhangat sudah pasti isu pilihan raya. Saya ada perasaan yang gusar bercampur gembira. Tetapi saya akui, perasaan gusar itu lebih kuat menerjah berbanding perasaan gembira. Bimbang bukan kerana apa, bimbang kerana salah memilih. Memilih adalah membuat keputusan. Dan keputusan bersandarkan rasional. Bimbang jika pilihan yang dibuat menjadikan keadaan sedia ada menjadi teruk atau lebih teruk. Gembira pula kerana sekurang-kurangnya dapat menghantar mesej kepada sesiapa yang sedang berkuasa.

Amaran! Saya tidak akan undi anda yang korup

Saya geram! Geram kerana satu demi satu helah yang dibuat kepada rakyat. Ya benar, memang Malaysia ke 6 terbaik dalam ranking itu, tetapi dari kategori apa?. Bingung saya memikirkan bagaimana media utama diperalatkan demi pihak-pihak yang tertentu..
Bandingkan pautan ini. [pautan 1] vs [pautan 2]vs [pautan 3]
Ranking Malaysia sebenarnya jatuh..

Makin dicerita tentang politik makin geram dibuatnya..Baiklah kita berpindah pada isu yang lain pula.



Isu yang kedua ialah isu saya. Saya secara tidak sengaja terbeli buku karangan John Perkins, yang bertajuk, Pengakuan Seorang Pembunuh Ekonomi. Ya, buku ini agak lama(3,4 tahun lepas diterbitkan), tetapi apa yang saya peroleh adalah sesuatu yang baru. Saya serba sedikit memahami kitaran ekonomi dunia yang sebenar-benarnya berlaku ketika ini. Isu IMF, Bank Dunia, eksploitasi bahan mentah, pemimpin yang korup digarap dengan berani dan lantang oleh penulis kelahiran Amerika ini. Buku ini mencetuskan keinginan untuk membaca buku tulisan beliau yang lain(Sejarah rahsia empayar Amerika) sehinggalah saya bertemu tulisan beliau yang lebih kurang begini maksudnya,

"Malaysia menerima tawaran (IMF,pada mulanya), ketiak eh ketika mengalami kejatuhan ekonomi(1997), kemudian menolak IMF dan kembali pulih"

Menarik..memang menarik... Saya ditarik oleh perkataan 'acquiesced' yang digunakan penulis. Hmm,siapakah yang pernah menerima tawaran IMF itu? Anda carilah jawapannya..

Penulis dalam erti kata lain menerangkan bahawa IMF, bank dunia adalah merupakan senjata Amerika menjajah ekonomi negara-negara yang berurusan dengannya. Anda mahu tahu lagi, silalah baca sendiri. (Perpustakaan Canterbury ada buku-buku ni, taip je Perkins dan anda carilah sendiri)

Saya rasa cukup dahulu setakat ini. Saya sudah penat menulis. Saya juga penat dengan isu semasa yang menunjukkan dunia ini makin tenat. Tenat dengan sebilangan orang yang gilakan kuasa, yang tidak peduli akan keamanan, dan hak asasi manusia yang lain.


P.s:
1.Sebenarnya saya mula menulis entri ini pada 14/1/2008. Oleh kerana sukar memberi tumpuan maka entri ini berlanjutan dalam proses penulisannya selama 3 minggu. Maka abaikan sahaja tulisan penulis di awal-awal entri kerana ia tidak relevan. Penulis sekadar mahu memanjang dan melebarkan entri kali ini. Penulis tidak menipu, tetapi sekadar berhelah.
2. Lagu yang dilampirkan kali ini adalah lagu kumpulan Opshop(band NZ ni,hehe). Khusus untuk mereka yang dalam hubungan jarak jauh , termasuklah saya..sobs..
3. Tajuk entri buat aku termasam sekadar memberi rasa geli. Kalau tak geli takpela... sekadar memberi ingatan kepada entri terdahulu yang bertajuk 'buat aku tersenyum'..

Saturday, January 05, 2008

Singgah di rumah


Helang yang cemerlang


Baru baru ini saya singgah di rumah. Rumah yang saya maksudkan adalah Malaysia. Malaysia tanah air tercinta.

Persinggahan saya bukan kosong, tidak pula satu, tidak pula dua, tetapi tidak terkira banyaknya pengalaman, kenangan, penangan, tawa, tangis, dan kepelbagaian jenis emosi yang lain.

Baiklah, mula cerita dengan pengalaman ketika program selama dua minggu di negeri sembilan (ataupun negeri tiga kali tiga). Program terbahagi kepada dua iaitu 'Helang yang cemerlang' dan satu lagi program keluarga angkat. Kedua-dua program mempunyai kelebihan masing-masing. Untuk program yang pertama, saya belajar menjadi helang yang cemerlang dan program yang kedua saya mendapat keluarga angkat. Oh, saya cuma berseloroh. Sebenarnya apa yang saya peroleh daripada kedua-dua program lebih bermakna daripada namanya. Sepertimana bermaknanya rasa pedas daripada nama asam pedas itu sendiri dan dinginnya rasa angin daripada nama kipas angin itu sendiri.

Program pertama banyak mengajar dan mengejutkan diri ini yang masih dalam keadaan separa tidur. Ditambah dengan kehadiran fasilitator yang hebat dan dilengkapi dengan pengalaman tersendiri, program ini memang mempunyai makna yang tersendiri dalam hidup penulis. Saya sedar yang jarang benar saya fikirkan tentang permasalahan diri, khususnya dari segi mentaliti dan kendiri. Selain pengisian program, peserta yang mengisi program turut menyentuh sanubari ini. Berjumpa teman-teman lama membuatkan hati ini gembira memikirkan persahabatan yang masih bertaut walau terpisah sementara. Sejauh mana pun kita berada, jika hati masih menaruh pertemuan, maka bertemu jua jika diizinkanNya. Oh, bukan sekadar kawan lama, malah kawan-kawan baru juga sentiasa diraikan gembira. [ayat-ayat habis skema]

Untuk program keluarga angkat pula, saya menerima satu keluarga angkat dan lebih manis lagi sebuah kampung angkat untuk dirindui. Oh, banyak benar perkara yang saya rindukan ketika ini, keluarga sebenar, si dia, keluarga angkat, rakan-rakan seperjuangan, kucing-kucing, sekolah lama, guru-guru, dan kampung halaman tercinta. Saya terharu dan kagum dengan layanan yang diberikan oleh penduduk yang rata-ratanya berketurunan jawa di Kampung Pachitan (sebut betul betul, Pachitan, pastikan bunyi chi itu cukup jawa ya. Sekali lagi, PaCHItan). Kami disambut dengan paluan kompang seolah-olah kami adalah orang kenamaan. Orang kampung Pachitan memang sempoi. Itu sahaja yang dapat saya ceritakan kerana perkataan sempoi bagi saya sudah cukup untuk menggambarkan;
1. Layanan yang tidak ada sebarang unsur perkauman kepada orang yang bukan berketurunan jawa(seperti saya)
2. Makanan yang sedap-sedap dan lazat. Bukankah saya peminat tempe?
3. Sopan santun yang masih segar di kalangan penduduknya
4. Dan sebagainya

Setiap pertemuan pastinya ada perpisahan, kami dilepaskan pulang dengan tangisan yang dalam benar maknanya bagi kami. Tangisan itu bermakna kami mendapat tempat di hati mereka, dan mereka juga mendapat tempat di hati saya. Jika diizin Tuhan, maka kita bakal bertemu lagi ya!

[kelemahan program yang pertama adalah saya tidak dapat berubah menjadi manusia kembali, saya menjadi helang yang cemerlang untuk selamanya..sobs]

Pulang seketika juga merupakan peluang untuk saya mendapatkan berita-berita sensasi secara terus melalui televisyen, surat khabar dan radio. Melalui inilah saya melepaskan rindu mendengar ucapan daripada Perdana Menteri yang cukup bertenaga dan menaikkan semangat saya untuk tidak menyukainya.Haha..

Saya agak duka kerana tidak sempat pulang ke Pekan Bandar Diraja dek kerana banjir yang melanda. Alhamdulillah, rumah saya tidak dinaiki air cumanya, saya tiadalah dapat pulang disebabkan paras air di jalan Pekan-Kuantan yang tidak mengizinkan segala jenis kenderaan kecuali bot, sampan, jet-ski, dan scuba diver untuk merentasinya. Saya tidak menyesal tidak dapat pulang kerana ini semua adalah kehendak Tuhan. Saya merancang, tuhan yang menentukannya. Mudah-mudahan bencana alam seperti ini(yang terburuk bagi Pahang dalam tempoh 30 tahun) tidak akan berulang lagi.

Tahun baru 2008, saya tiada azam baru, cuma saya mahu yang terbaik untuk semua. Doakan agar kita semua bisa menempuh hari-hari yang mendatang dalam tahun baru ini dengan sabar dan tabah.

P.s:
1.Entri kali ini sungguh bersikap peribadi daripada busy body. Maka, usahlah menjadi gusar sekiranya entri kali ini membuatkan kalian lebih kenal dengan saya.

2.Satu slogan untuk dikongsi, Kampung Pachitan, "Jeneng Nge Pelik tapi Menarik"

3. Bila saya menjadi helang, saya maksudkan helang jadian seperti di bawah ini


Helang cemerlang gemilang terbilang


3. Bila mana saya katakan rindu, ia bukan sesuatu yang kosong, tetapi berisi dengan pengharapan untuk bertemu kembali. Maka usah gusar, saya akan kembali...Saya rindu mahu mengemaskini blog ini juga!

Selamat Tahun Baru 2008 dan 1429H !