Tuesday, March 18, 2008

Ini adalah surat saya kepada dia



Kepada yang bakal membaca, amaran saya kepada anda, entri ini khas untuk dia, yang hari lahirnya jatuh pada hari ini 18/3. MAKA, tinggalkan entri ini sekiranya anda tidak mahu mendengar kata-kata cinta bersulam bunga dari saya. Haha

Ini adalah surat terbuka, dari saya kepada dia
__________________________________________________________________________________________________________

Dia,
Lembah Pantai,
59200 KL,
Malaysia


18/3/2008

Kehadapan awak yang namanya terpaksa dirahsiakan demi faktor-faktor keselamatan,

Apa khabar awak di sana? Harap sihat hendaknya. Saya di sini sihat-sihat sahaja. Bukan saya sahaja, malah rakan rumah saya yang bernama Selor(bukan nama sebenar) juga sihat.

Umum mengetahui bahawa hari ini adalah hari Selasa bertarikh 18 haribulan
Mac. Namun, umum tidak mengetahui bahawa hari ini adalah hari jadi
awak. Maka dengan ini saya mengucapkan selamat hari lahir kepada awak.
Saya mendoakan segala yang terbaik buat awak. Semoga apa yang dikerjakan ketika
ini, akan mencipta lorong-lorong yang menuju ke arah kejayaan.

Tarikh ini juga bukan sahaja bermakna kepada ayah, ibu, abang-abang, dan kakak
awak, malah turut bermakna kepada saya.
Hurmm. Kenapa ya? Saya pasti jawapannya sangat jelas, tetapi saya tetap mahu menegaskan bahawa awak penting dalam hidup saya. Maka, hari kelahiran awak merupakan hari yang ceria buat diri saya juga.

[pada yang masih membaca(selain awakla), anda sangat menyibuk!]

Awak,
Ini adalah luahan hati saya.Kita berdua dahulu punya sejarah silam yang sendiri.
Saya berterima kasih kepada awak
yang membuatkan saya terus menjalani kehidupan dengan melihat jalan di hadapan,
apa di hadapan,bukan di belakang. Jalan di hadapan itu walaupun berliku, tetapi
harus untuk gagah dilalui, kerana ada sumber motivasi, iaitu awak. Mudah-mudahan, segala rintangan dan pengharapan yang dilalui, akan dirasai juga kesan hasilnya..



Masih ingatkah pemandangan di atas? Ya, di sinilah Pelabuhan Wellington, tempat berdekatan universiti anda. Saya pasti, anda pasti ,merindui segala yang berlaku di sini, segala yang anda tempuhi dan harungi. Izinkan saya menjadi perasan buat seketika dengan mengatakan bahawa awak pasti merindui saya juga, lebih dari kerinduan awak kepada Lambton Quay, Pak n Save, Tren merentas bukit, penduduk yang ramah dan bermacam lagi panorama-panorama indah yang dikaitkan dengan Wellington.

Awak,
Saya masih berada di sini, dan awak pula berada di sana. Maka, saya harap kita sabar menanti kepulangan yang dinanti.

Sampai di sini sahaja warkah terbuka saya kepada awak.
Selamat hari jadi . Panjang umur murah rezeki.
Anggaplah ini sebahagian dari hadiah hari jadi saya kepada awak...sekadar yang saya termampu..

Ikhlas,
Penulis kisahitu


P.s: Surat ini ditulis sehari sebelum 18/3

Monday, March 03, 2008

Lupakan tajuk, fokus pada...

Melihat kesenangan dari kaca mata yang berdarah


Seringkali dalam kehidupan, kita hilang arah, kita hilang punca, kita hilang fokus. Mudahnya, dalam satu fasa-fasa kehidupan, ada ketikanya, kita tersasar jauh dari tujuan asal. Alasannya pelbagai, lupa, malas, letih, tiada motivasi, putus asa, gagal, atau serik, atau lebih teruk lagi, tiada teknik untuk sampai ke sasaran.

Contoh mudah, jika kita seorang pelajar, matlamat kita adalah belajar, dan belajar itu sendiri ada matlamatnya. Matlamat kita belajar adalah untuk menambah ilmu sejajar dengan tuntutan agama. Tatkala kita menjalani kehidupan sebagai pelajar, kita mengharungi kesukaran dan halangan yang menjadikan matlamat kita kabur. Mudah kata, jika kita diuji dengan kegagalan dan kesempitan waktu, kita tertarik untuk mengambil jalan mudah. Meniru laporan, kerja rumah, dan juga meniru di dalam dewan peperiksaan. Dengan melakukan tindakan-tindakan yang mengurangkan kualiti pembelajaran, maka kita sedikit demi sedikit sasar dari..........

(saya berhenti setakat ini kerana saya sudah lari dari matlamat saya, sebenarnya saya mahu bercerita tentang isu semasa, bukan soal niat ataupun matlamat..hahaha)

Maaf kepada mereka yang benar-benar memberikan fokus kepada dua perenggan pertama tadi. Sebenarnya saya tidak tahu apa lagi yang mahu ditulis tentang matlamat dan tujuan.

Saya menggunakan tajuk entri seperti di atas kerana tertarik dengan kata-kata kapten pasukan Liverpool.[pautan]. Beliau membicarakan bahawa Liverpool seharusnya melupakan sahaja tajuk, tetapi fokus pada tempat keempat. Kenapa keempat? Kerana matlamat itu sahaja yang realistik buat masa ini. Mahu mengidam kejuaraan Liga Perdana Inggeris sudah pasti menjadikan pengidamnya kecewa. Kita tidak cukup bagus, begitulah luahan Jamie Carragher. Bagaimana reaksi saya sebagai penyokong Liverpool? Adakah saya bersetuju atau adakah saya mahu terus mengharapkan kejuaraan kali ini?
Jawapan saya: sudah pasti tidak, kerana saya tahu mereka tidak cukup bagus untuk memenanginya musim ini. Tahun hadapan? Mengapa tidak?(jawapan yang sungguh mencerminkan saya seorang yang optimis)

Bersangkut paut dengan cerita Liverpool ini, saya akan menarik anda, pembaca sekalian kepada fenomena pilihanraya yang bakal tiba tidak lama lagi. Perkara menarik yang mahu dikaitkan adalah berkenaan dengan apakah harapan pihak-pihak yang bertanding dalam pilihanraya kali ini. Adakah apa yang dimanifestasikan sejajar dengan kehendak rakyat? Atau lebih mudah lagi adakah apa yang dimanifestasikan sesuai dengan faktor-faktor semasa? Banyak benar janji-janji yang ditaburkan dari kedua-dua pihak tetapi malangnya, janji-janji yang ditaburkan kedua-dua pihak tidaklah mampu menarik minat saya untuk menyokong mana-mana pihak. Saya tidak menyokong bukan kerana saya sombong. Tidak, cuma saya kurang jelas dan yakin dengan kemampuan mereka untuk menunaikan janji-janji itu. Maka, saya rela tidak menyokong dari merasa tertipu dan dipergunakan. Antara janji-janji mereka
Saya tidak menaruh harapan yang tinggi kepada pemenang pilihanraya kali ini untuk mengubah segala-galanya dalam sekelip mata. Saya tidak percaya yang generasi kepimpinan sekarang mampu untuk mengalahkan rasuah, kronisme yang melanda negara ini. Saya menganggarkan generasi-generasi yang lebih muda untuk mengambil alih tampuk pemerintahan sekaligus memperbaiki segala keburukan yang ada. Maka sebagai generasi baru, saya bercita-cita mahu merubah segalanya, tetapi tidak seorang diri,saya berharap rakan-rakan di luar sana turut sama membina sebuah generasi yang lebih matang dan bertamadun...


Saya tidak berapa teruja dengan berita-berita yang keluar kerana kebanyakannya dijadikan sensasi, bukan kerana fitrah berita itu sendiri. Berita yang fitrahnya sensasi adalah seperti di bawah:
1.Penyokong pembangkang masuk BN.hehe [pautan 1]. Penyokong PKR tapi masuk BN? Masuk BN sahaja tapi masih sokong PKR. Sensasi gila
2. Perang [pautan 2]. Bila la dunia nak aman. Bila PM la ni sudah tak memerintah kot..
3. Punca tekanan adalah testosterone. [pautan 3]. Apekehe?
4. PM Bangladesh kepanasan [pautan]
5. Biodiesel tidak baik untuk alam sekitar. [pautan]

Berita yang disensasikan
1.Ganjaran kepada imam. [pautan 4]
2.Pas kepanasan. [pautan 5]
3. Penduduk kedah jadi jutawan kerana UMNO. [pautan 6]
4. Parti pembangkang kena cermin diri.haha. saya ketawa bukan kerana berita tetapi ketawa kepada dia yang bercakap.. [pautan 7]
5. Pas benarkan calon mengumpat![pautan8]

Saya menghabiskan sebuah lagi buku karangan John Perkins, dan apa yang beliau simpulkan adalah menarik. Beliau menulis bahawa syarikat-syarikat gergasi dunia seperti Shell, ExxonMobil dan Toyota sebagai punca utama kepada ketidakseimbangan ekonomi dunia. Walaubagaimanapun beliau tidak menutup sebarang peluang kepada syarikat-syarikat ini untuk menjadi penawar kepada penyakit ekonomi ini. Beliau percaya, masalah ini lebih mudah dirawat jika syarikat-syarikat ini bekerjasama untuk merawat masalah ciptaan mereka. Kerana itulah syarikat-syarikat gergasi dunia mula memberi perhatian kepada masalah alam sekitar, alternatif kepada minyak konvensional, krisis dunia dan sebagainya. (they are the problem, but they are part of the solution)


Membaca buku tulisan beliau juga membuatkan saya terfikir akan kesenangan sebilangan manusia dengan harga kesengsaraan sejumlah manusia yang lain. Bagi siapa siapa yang pernah menonton filem Blood Diamond, anda pasti faham akan kata-kata saya. Berlian yang dijual atas kemahuan(bukan keperluan) sebilangan manusia mengakibatkan peperangan yang berlanjutan. Lebih menyedihkan, kita dibutakan dari melihat isu ini. Kita bukanlah bodoh, tetapi jahil kerana tidak pernah diberitahu akan perihal yang sebenar. Selain itu, pakaian, kasut , topi dan apa-apa yang kita banggakan memakainya sebenarnya adalah simbol kesusahan manusia yang lain. Sudah pasti anda mendengar tentang sweatshop. Kilang yang menawarkan gaji yang sangat rendah. Serendah $2 dolar sehari. Maka, saya berperasaan malu mahu memakai kasut jenama Nike yang sudah dibeli tahun lepas. Juga peralatan komputer yang murah...
Ketahuilah yang sebilangan kesenangan yang kita kecapi hari ini, di sebaliknya adalah atas kesusahan manusia yang lain. Maka, sama-sama kita berusaha untuk memperbaiki kepincangan atau lebih gempak lagi kebobrokan dunia masa kini.

Itu sahaja.
Sekian

P.s:
1. Jika apa yang saya bicarakan adalah samar-samar sahaja, maafkan saya kerana saya menulis dalam keadaan tergesa-gesa
2. Kepada yang bakal mengundi. Undi dengan bijak. Pilihlah CALON yang anda rasakan mampu menjadi yang terbaik untuk anda.
3. Semalam hari lahir saya. Maaf, anda terlambat mahu mengucapkan happy burfday kepada saya. hahahahahahahhhahaa
4. Jika saya silap, maka memang lumrah manusia melakukan kesilapan.
5. Politik bukan gelanggang menabur janji, sebaliknya memberi budi.
6. Lupakan parti, fokus pada....Calonnya