Tuesday, July 29, 2008

Bukan Inggeris


Jadi inilah dia yang dikatakan oleh Benitez sebagai 'bercakap bahasa Inggeris dengan baik tetapi bukan Inggeris'

Apa apa pun

Selamat berjaya

Saturday, July 26, 2008

Coret sikit


Muzakarah UMNO PAS, satu perkara yang saya ragui.

Ragu-ragu saya benar kerana ia bukan muzakarah, tapi muqabalah. Apa-apalah

Mula-mula saya ingat muqabalah itu macam mubahalah, lebih kurang saja bunyinya. Rupanya tidak.

Anda tahu apa itu muqabalah?

Apa beza muzakarah dan muqabalah?

Saya tak peduli, kalau setakat berlawan kepandaian bahasa arab baik tak payah.

Pertemuan antara PIBG dan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang ini muqabalah ke muzakarah ?

Apa-apalah

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Bukan senang nak jumpa orang macam ni. Maksud saya bukan orang biasa, tapi politikus. Menolak sokongan kerana kesetiaan. Tidak mengapa, janji selamat.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Eh, tak dapat naik mercedes?

Naik Perdana sudeyh.

Pendapat saya?

Saya memilih untuk tidak bising kerana Perdana dan Mercedes dua-dua tidak mesra alam. Dua dua berkuasa tinggi dan menggunakan kapasiti minyak yang tinggi.

Jawapan saya, naik kancil je la YB semua. Selamat YB naik kancil. tak percaya tengok gambar bawah, boleh jadi robot.

------------------------------------------------------------------------------------------------
Nak tau siapa buat kopi paling sedap?

Khairy tahu jawapannya
.

Baik punye!

Thursday, July 24, 2008

Kisah minyak

Kebergantungan kepada minyak benar-benar membuatkan kita tersepit. Perkara ini dapat dibuktikan dengan perubahan-perubahan yang berlaku sama ada pada peringkat individu, masyarakat, negara dan juga seluruh dunia. Kewajaran mengubah kebergantungan kepada minyak, yang sumbernya tidak dapat diperbaharui, wajar diberikan perhatian yang serius.

Ada beberapa pilihan bagi menangani masalah yang berlaku pada skala dunia ini. Pilihan ini boleh jadi bersikap pasif, aktif, retrospektif mahupun agresif. Pilihan-pilihan ini adalah sekadar cadangan dan keberkesannya adalah tidak dapat dibuktikan pada skala realiti dan praktikaliti. Pilihan-pilihan ini sekadar bersandarkan teori dan dengan harapan semuanya berjalan lancar pada skala keberkesanan 100%.

Pilihan pertama adalah membiarkan sahaja perkara ini berlaku. Usah pedulikan tentang segala-segala yang digemburkan pihak media. Bersikap pesimis benar-benar menjadi jawapan kepada segala perkara. Namun begitu, untuk membuat tidak tahu adalah sesuatu yang tidak realistik. Hal ini bermaksud meneruskan pembelian petrol pada kadar yang sama walaupun harganya meningkat. Hal ini jelas melanggar hukum ekonomi berkaitan permintaan dan harga. Harga naik, maka permintaan turun. Jelas, pilihan yang lebih baik bukanlah membiarkan sahaja ia menekan kita, sebaliknya mengubah gaya hidup supaya kuantiti minyak yang digunakan berkurangan.

Mengurangkan kadar penggunaan bermakna mengurangkan sedikit kebergantungan terhadap petrol. Secara tidak langsung juga menjadikan kita lebih mesra kepada alam sekitar. Kurangnya penggunaan kereta, berkuranganlah asap-asap pencemar menodai udara persekitaran. Langkah ini cumalah reaksi terhadap kenaikan harga minyak pada skala individu. Pasti ramai yang melenting jika disentuh akan tanggungjawab merubah cara hidup ini. Kerana keengganan merubah cara hidup, maka kebanyakan menolak tanggungjawab kepada pihak yang lain. Dipersoalkan pula kenapa pihak yang berada di atas sana tidak mengubah cara hidup. Benar, perkara ini berlaku, tetapi ia bukan alasan mutlak dan tidak pula menghalang diri sendiri dari berubah. Lihat, ada yang menaiki kereta kecil golf sebagai menggantikan kereta biasa.

Jika dilihat dari sudut penggunaan yang terlampau, maka kaedah untuk menyelesaikannya adalah dengan mengurangkan penggunaan daripada penggunaan terlampau kepada penggunaan yang sekadarnya. Walaubagaimanapun, manusia ini tidak semuanya sama. Ada yang lihat dari perspektif yang berbeza. Perspektif itu adalah dari melihat sudut pengeluaran. Di luar sana, ada yang berteriak supaya diselongkar segala-gala yang ada di dalam perut bumi ini bagi menurunkan sedikit bebanan yang mereka rasai ketika ini. Mereka percaya masih banyak lagi sumber yang belum diteroka dan wajib diteroka sekarang, walau dengan cara apa sekalipun. Oleh kerana itulah cadangan menggali perut bumi Amerika yakni di Alaska dianggap mampu mengatasi krisis yang dialami ketika ini. Harus diingat perkara ini sememangnya ditentang oleh aktivis-aktivis alam sekitar dan mereka yang percaya minyak yang ada harus disimpan untuk suatu ketika yang benar-benar perlu sahaja. Harus diingat juga, Bush sentiasa menyokong usaha meneroka ini walaupun kawasan itu adalah kawasan lindungan hidupan liar Alaska.

Sekadar ini sahaja ulasan saya berkenaan kenaikan harga minyak dunia buat masa ini. Topik ini adalah terlalu panjang untuk dibincangkan dan saya juga kekurangan ilmu dalam bidang ini. Jika ada masa dan ketika, penghasilan cerita-cerita minyak yang menarik akan saya bentangkan di kemudian hari.

Perbincangan di lain hari
  • Sumber yang boleh diperbaharui, gimik atau realiti?

Wednesday, July 23, 2008

Gelaran

Saya rasa saya sudah tidak sabar mempunyai gelaran yang baru sekitar keluarga saya. Tahniah kepada kakak saya yang sudah direzekikan untuk mengandung. Alhamdulillah

Lelaki atau perempuan saya tidak peduli.

Janji saya jadi seorang uncle

Uncle Anas

Uncle J.J

Uncle Werewolf

Saya gembira!!

Tuesday, July 22, 2008

Brek

Semalam

Saya tidak sedar saya memandu laju dalam harapan menuju ke destinasi dengan cepat, selamat dan bergaya, sehinggalah saya ditegur oleh teman perjalanan saya.
"Perlahankan kenderaan ini, tekanlah brek"
Saya faham dia risaukan keselamatan kami. Kami berbalah sementara. Namun saya akur.
Dia risaukan keselamatan.
Saya mahu tiba cepat.
Kedua dua ada cara sendiri bersama niat yang satu.

Hari ini

Saya berhentikan kereta ini. Menekan brek sepenuhnya.
Dia keluar dan mencari teksi
Namun dia sempat berjanji, kita jumpa dan bersama-sama di destinasi.
Dan saya angguk, menunggu saat itu
Saya tidak meneruskan perjalanan, terkedu, terdiam, memikirkan meneruskan perjalanan seorang diri.
Saya akan mulakan perjalanan kembali, dengan harapan menuju destinasi.
Saya percaya, perjalanan ini sangat jauh jika tidak ditemani kesabaran.

Monday, July 21, 2008

Makanan dunia

Saya dan beberapa rakan saya tersentuh hati tatkala ditunjukkan gambar-gambar ini. Bisakah anda semua berpuas hati dengan nilai makanan yang hanya $1.23 seminggu? Puas hati atau tidak, itulah realiti kehidupan masyarakat di Chad, antara negara yang termiskin di dunia.

Bandingkan pula dengan kebanyakan mereka di lain lain kawasan..


Anda lihatlah sendiri di pautan ini.

Pengajaran:
Bersyukur, sentiasa beringat ada yang lain yang lebih susah dan derita dari kita.
Afrika, contoh klasik kuasa politik yang keji. Akhirnya rakyat menderita. Mahukah kita sebegitu? Tepuk dada dan tanya selera..

Tahukah anda inflasi di zimbabwe ialah 2 juta peratus. Ya, dua juta peratus. Wang yang sama yang dapat membeli kereta semalam langsung tidak dapat membeli makanan ruji keesokan harinya...

Saturday, July 19, 2008

Imbas dan kupas

Kira kira sepuluh tahun yang lalu kita masing-masing digemparkan dengan isu pemecatan Timbalan Perdana Menteri berurutan daripada tuduhan salah guna kuasa dan juga liwat. Sekali lagi umum dikejutkan dengan pendedahan dan skandal yang sama membabitkan individu yang sama, tetapi pada kadar waktu yang berbeza. Bagi khalayak, sudah pasti kes kes sebegini menjadi sesuatu yang tidak enak untuk didengar. Dilihat dari sudut mana sekalipun, perbuatan meliwat adalah terkutuk dan dilaknat, khususnya dari segi agama.

Pelbagai andaian dapat difikirkan daripada peristiwa ini. Ada yang percaya. Ada yang tidak. Ada yang marah. Ada yang tidak. Ada yang peduli. Ada yang tidak. Hanya yang pasti, semua mendengar dan mengikuti pokok perbincangan ini. Liwat atau tidak?

Bersandarkan soalan yang diajukan, maka ia akan bercambah kepada soalan-soalan kecil yang lain. Jawapannya hanya dua, sama ada ya atau pun tidak. Walaubagaimanapun, persoalan ini bukan kecil, dan tertuduh bukanlah org yang 'kecil' di mata rakyat Malaysia. Orang inilah yang pada satu masa dahulu mempunyai imej yang sangat cemerlang di kalangan pemimpin pemimpin UMNO suatu ketika dahulu. Imej baik itu tidak terbatas pada pentas politik, malah berkembang mekar dari segala sudut dan gelaran warak, islamik, dan seangkatan dengannya seolah olah menjadi kata sifat yang wajib untuk beliau. Oleh kerana inilah apabila tuduhan meliwat dilemparkan, ia seolah olah melanggar hukum alam. Sebagaimana merasa masin ketika disuap gula, orang yang cacat sahaja begitu.

Reaksi rakyat ketika era reformasi sekitar 1998 cukup untuk menceritakan betapa rakyat tidak mempercayai tuduhan kepada beliau. Jika ingatan penulis tidak menipu, pelajar-pelajar juga aktif dalam membela beliau. Rakan saya membawa tag yang menyokong reformasi dan dipamerkan pada rakan-rakan yang lain. Malahan, Perdana Menteri ketika itu diletakkan sebagai seorang antagonis yang merancang konspirasi yang sangat tersusun. Hal inilah yang menyebabkan kekuasaan Barisan Nasional pada pilihanraya umum pada tahun 1999 sedikit tercalar. UMNO khususnya, mengalami krisis pengurangan ahli dek kerana wujudnya satu parti baru, yang bernama Parti Keadilan Nasional

Tidaklah semua rakyat berpendirian sedemikian. Ada yang berpendirian menunggu keputusan mahkamah, dan ada juga yang terus berkata setuju dan menyokong tindakan pihak pendakwa raya. Walaubagaimanapun, impak golongan sebegini tidak begitu dirasai melainkan akan dihumban dan dikategorikan sebagai bersubahat dalam memfitnah. Oleh kerana itu, tidak ada yang tampil membuat gerakan seumpama reformasi, bagi menggesa pemimpin tidak bermoral ini turun dan dikenakan hukuman serta merta.

Saya dapat bayangkan lagi keadaan reformasi ketika itu. Di mana mana sahaja isu ini menjadi bualan dan perdebatan. Waktu itu, pengaruh internet tidak ketara sebagaimana sekarang. Cuma ada beberapa laman yang lahir dengan tujuan mempertahankan pihak-pihak yang terkesan dengan isu ini.

Tulisan saya ini sekadar catatan yang tiadalah saya zahirkan pandangan peribadi mahupun kecenderungan saya mempertahankan mana-mana pihak. Kematangan khalayak, khususnya pada zaman serba canggih yang membolehkan maklumat diperoleh di hujung jari, amatlah dihormati dan disanjungi. Isu ini menjadi rumit sekiranya kita dikabui dengan kecenderungan fanatik dan membuta tuli, bias dan penuh kebencian. Tidak kiralah kepada pihak yang menuduh atau tertuduh.

Kepincangan politik di Malaysia wajar disembuhkan segera. Rakyat mana yang selesa jika pihak yang memerintah tidak mempedulikan mereka?. Jika ibu ayah sibuk bertengkar, maka anak-anak terabai dan boleh jadi terganggu emosi mereka sehingga akan meletusnya pertelingkahan yang lebih besar. Tuduh menuduh, berbalas debat, tidak akan pernah melegakan rakyat melainkan peluang untuk sebilangan pihak yang gilakan kuasa mendapat tempat yang lebih kukuh dan tinggi.