Wednesday, November 05, 2008

Jawapan untuk entri di bawah

Barack Obama

WASHINGTON 5 Nov. – Rakyat Amerika Syarikat (AS) memilih calon Demokrat, Barack Obama semalam sebagai Presiden kulit hitam mereka yang pertama, dengan memberi beliau kemenangan bersejarah ke atas calon Republikan, John McCain. - AFP [pautan]

Selamat duduk di rumah putih!

Tuesday, November 04, 2008

Rumah putih untuk siapa?

Ihsan huhu dari Utusan

Esok merupakan hari bersejarah buat negara yang pengaruhnya sebegitu luas sekali. Jadi tidak salah jika saya sibuk mahu berkongsi kegalakan saya untuk menyentuh soal presidensi Amerika yang bakal ditentukan esok hari. Jika anda bertanya saya siapakah yang saya akan pilih jika saya warga Amerika, sudah tentu saya akan memilih mereka yang bercirikan islamik dan tidak zalim mahupun menzalimi orang lain. Zalim dan menzalimi orang lain termasuklah memfitnah dan merancang dan bersubahat dalam konspirasi tahap tinggi.

Walaubagaimanapun saya bukanlah warga Amerika seperti penasihat projek tahun akhir saya yang pulang ke kampung halamannya (mungkin dengan tujuan mahu mengundi). Beliau kata beliau tidak ambil kisah mahu mengundi kerana beliau sudah anggap New Zealand ini negara primer beliau. Mungkin beliau terpengaruh dengan kata-kata saya yang beliau patut mengundi kerana apa yang berlaku di Amerika memberi kesan kepada seluruh dunia. Jadi, pulanglah mengundi untuk kebaikan seluruh umat dunia. Mungkin saja..haha

Jadi, kalau saya diberi peluang untuk mengundi, siapa yang akan saya undi? Saya akan kata Obama. Saya akan undi Obama kerana apa? Mudah sahaja, kerana dia berkulit hitam, tetapi gerak geri dan percakapannya lebih putih daripada kulit Mc Cain. Walaubagaimanapun saya berasa kurang arif untuk saya berkata-kata dan menyentuh perihal politik Amerika kerana saya memang tidak tahu menahu akan sejarahnya dan tidaklah saya menghafal nama-nama presiden yang lepas.

Saya suka mengikuti penulis blog tenaga ini dan apa yang dapat saya simpulkan dalam tulisan beliau kali ini adalah beliau percaya dan tetap dengan pendiriannya mahu memilih seseorang yang faham dan mengambil berat akan isu tenaga dan ada cara mengatasi krisis tenaga yang menghimpit dunia ketika ini. Maka dek kerana kedua-dua calon mempunyai polisi tenaga yang kurang meyakinkan, beliau tidak mengundi langsung. Dia seorang penganalisis tenaga dan tenaga adalah perkara yang paling penting dalam memilih calon presiden.

Saya memandang ini sebagai sesuatu yang positif dalam kematangan dalam memilih. Memilih berdasarkan satu kepercayaan yang berlandaskan ilmu. Walaupun isu tenaga nampak remeh, tetapi bagi beliau, ia penting dan seorang presiden baru harus mempunyai kefahaman yang jitu dan meyakinkan. Bagi kita, pilihan kita juga nanti harus bersandarkan kefahaman dan keyakinan yang benar. Bukan dikabui oleh wang ringgit, serban, fanatik kepartian, songkok, konspirasi, gambar tindih, atau fitnah yang dibawa dari mulut ke mulut yang busuk tidak bergosok sejak dari pagi semalam.

Saya tidak sabar menunggu keputusan esok walaupun ada sang pesimis yang berkata, "alah, tukar presiden, Amerika tetap Amerika, dah tak Amerika la saing ngan budak sejid"

Sunday, November 02, 2008

Periksa dan keseimbangan

Seperti yang dijangka

Hidup ini macam peperiksaan. Tapi hidup lagi hebat dari peperiksaan. Kerana apa? Kerana pulangan tenaga yang kita curahkan ini lebih banyak lipat gandanya dari pulangan sebuah peperiksaan. Bayangkan hidup selama 60 tahun dan ganjarannya ialah hidup selama-lamanya di akhirat. Namun kehidupan di akhirat bergantung bagaimana kita hidup di dunia, sama ada hidup selama-lamanya dengan ganjaran syurga atau hidup selama-lamanya dengan seksa api neraka. Minta dijauhkan dari pilihan kedua itu.

Selesai 3 daripada 4 peperiksaan akhir membuatkan saya terfikir akan hala tuju hidup selepas ini. Saya selalu juga terfikir di dalam hati mahu menghabiskan pelajaran secepat mungkin, dan terus menjalani kehidupan yang baru. Namun begitu, saya dapat rasakan pada masa hadapan, saya akan berharap untuk belajar kembali kerana bosan dengan kerjaya. Walaubagaimanapun, hidup mesti terus dengan perjuangan. Bak kata abah, hidup ini perjuangan.

Saya geram dengan soalan semalam. Saya sangat tidak berpuas hati dengan cara pemarkahan untuk kertas itu.

"Senaraikan 12 fungsi utama "bahan perisa" sepertimana yang dikelaskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika. Pada pendapat anda, 3 fungsi apakah yang paling utama bagi "bahan perisa"?" (2.5 markah)

Memang saya mahu tergelak pada mulanya melihat markah itu, 2.5 markah untuk soalan yang saya rasakan sangat lebih tinggi nilainya. Saya akui saya tidak bersedia dan tidak menghafal kesemua 12 fungsi itu. Saya tidak menghafal kesemua 12 itu kerana sudah diajar di dalam kelas bahawa hanya 3 fungsi utama itu sahaja yang penting. Ini adalah contoh soalan yang tidak memberikan pulangan yang menarik dan memberansangkan. Soalan ini adalah soalan permulaan untuk kertas itu dan saya sudah cukup kecewa untuk menjawab soalan-soalan yang lain. Apa-apa pun syukur alhamdulillah.

Saya selesai menghabiskan 3 peperiksaan dalam tempoh 4 hari dan ini sudah cukup menjadikan hidup saya dalam keadaan yang tertekan dan kesedihan. Mohon maaf kepada sesiapa yang saya terkasar bahasa dan terkasar muka. Saya tahu, dalam semua situasi kita harus memberikan senyuman dan berbicara lembut sesama manusia. Cumanya, saya benar-benar dalam keadaan tertekan dan terketat. Tinggal satu kertas sahaja untuk saya duduki iaitu pada 12/11 yang mana kertas itu adalah selama 7 jam setengah. Mudah-mudahan seminggu tempoh persediaan ini benar-benar memberi pulangan yang baik.

Bila bicara berkenaan masalah pulangan ini saya teringat konsep pulangan tenaga, EROEI, yang mengukur nisbah pulangan tenaga daripada tenaga input. Saya harap tenaga yang dicurahkan untuk peperiksaan ini bermakna dan dapat mengubah kehidupan saya yang mendatang. Lebih dari satu pun nisbahnya saya sudah cukup gembira.

Hidup bukan sekadar peperiksaan. Ramai yang kuat berusaha untuk peperiksaan dan alpa dalam kehidupan seharian. Mudah-mudahan kita lulus peperiksaan dan juga kehidupan ini.

P.s:
Saya mengakui teruja dengan ciri-ciri wordpress dan kerana itu terhasil sudah kembar untuk blog ini. [sini]
Nasib sudah tidak menyebelahi Liverpool hari ini. Benar, Liverpool dan nasib tidak dapat dipisahkan. Sekurang-kurangnya itulah kata-kata mereka di Soccernet. Bila menang liverpool bernasib baik, tetapi bila kalah, Liverpool memang tahi. Cait!