Monday, November 30, 2009

Masih ada

Komitmen Komitmen dan Komitmen.

Friday, June 12, 2009

Kecelakaan itu mengharukan


Ini bukan saya

Semalam saya pulang dari Kerteh ke Pekan. Selesai kelas untuk jurutera muda dan jambu, saya bergegas ke tempat membeli belah yang mesra untuk membeli sesuatu. Sebelum bertolak pulang, saya mendapat pesanan ringkas dari mak yang meminta saya untuk berhati-hati semasa memandu. Saya akan berhati-hati, luah hati sendiri.

Saya memandu seperti biasa. Tiada tekanan sehinggalah ketika hampir tiba di Kemaman. Oh panasnya hati dengan situasi yang sememangnya berlaku setiap petang Khamis, sesak!.. Semua orang tidak mahu memberi laluan dan berpusu-pusu mahu meloloskan diri dahulu. Tiada timbang rasa seolah-olah ada pertandingan siapa cepat dia tidak lambat. Yang paling menjengkilkan hati ialah golongan moron yang memotong melalui bahu jalan seolah-olah hanya dia sahaja yang mahu cepat dan tidak lambat. Bagi saya, golongan moron inilah yang melambatkan situasi yang sudah sedia lambat itu. Bersabarlah, dan berilah laluan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Saya juga teringat dengan situasi pemandu-pemandu yang enggan memberikan laluan kepada ambulans yang bergegas mahu menyelamatkan pesakit. Berilah laluan dengan beranjak ke bahu jalan. Cuba bayangkan diri anda sebagai pesakit yang sedang sangat-sangat memerlukan rawatan di hospital, pasti anda berharap pemandu yang lain mengutamakan anda bukan?

Sepanjang perjalanan semalam, saya sempat menyaksikan kemalangan yang berlaku di kemaman dan kuantan. Penunggang motosikal terbaring di atas jambatan dengan ekspresi muka yang sakit amat. Kemalangan itu jika tidak silap saya antara motor dan lori. Di kuantan pula, saya dikejutkan dengan kemalangan antara proton Wira dan lori minyak shell. Jalan yang sebelum ini tidak pernah sesak tiba-tiba sesak sepanjang lebih kurang 2 kilometer. Rupa-rupanya ada kemalangan. Habis remuk kereta yang terlibat. Selepas menyaksikan kejadian-kejadian yang mengharukan itu, saya memandu dengan lebih perlahan walaupun sudah sedia perlahan. Apabila kita memandu laju, kuasa kawalan kita berkurangan, ditambah pula dengan keadaan jalan yang kadang-kadang tidak tentu lubangnya.

Apabila saya melihat kereta Wira saya sering menyamakan mereka dengan sikap biadap di jalan raya. Maafkan pandangan saya ini. Hampir semua yang saya sumpah seranah di dalam kereta saya adalah dek kerana pemanduan mereka yang tidak tahu sabar dan suka menyucuk-nyucuk belakang saya seolah-olah saya ini sedap untuk dicucuk. Saya tidak mengatakan semua pemilik wira begitu, cuma saya mahu berkongsi pengalaman saya sahaja. Jangan ambil hati ya, terutama kepada pemilik Wira yang benar-benar berhemah di jalan raya.

Saya membelek suratkhabar hari ini dengan niat mahu mencari berita kemalangan semalam, namun hampa tiada liputan dibuat. Saya mencadangkan agar akhbar-akhbar tempatan menyediakan satu ruangan kecelakaan jalan-raya sebagai satu seksyen di dalam akhbar mereka. Semoga dengan adanya ruangan ini, mereka di luar sana dapat mengambil pengajaran dan memandu secara berhemah.

Saya disajikan dengan pelbagai kerenah pemandu setiap pagi. Ada yang seolah-olah memandu seperti tidak tahan untuk berak. Ada yang membuat pusingan U di tempat yang tidak sepatutnya. Ada yang mengorek hidung sambil memandu. Ada yang mencelah secara memH1N1 buta. Ada juga yang memandu sambil berzikir, oh itu saya sendiri,hehe.

Saya menasihati semua pemandu di luar sana supaya berhati-hati dan bertimbangrasa. Saya bukanlah Jenson Button tetapi saya tidak memandu laju. Saya juga akan cuba memperbaiki mutu pemanduan saya supaya mencapai tahap ISO 9002. Usaha memandu cermat harus dimulakan dari kita sendiri.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------
Ini bukan Kaka,anda pasti tahu siapa

Saya sungguh merasa teruja dengan prospek pembelian real madrid kali ini. Saya merupakan peminat real madrid sejak dari tingkatan 5 lagi. Pembelian Kaka adalah pembelian yang baik. Selepas ini belilah david villa. Namun begitu, tinggalkanlah david silva untuk liverpool. Tolonglah...

Kekalahan Datuk Chong Wei kepada pemain tidak ternama dari Vietnam sungguh mengejutkan. Namun begitu, setiap juara pasti ada detik hitam, apa yang penting bangkit selepas dijatuhkan, melawan selepas dikalahkan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Selamat menduduki peperiksaan kepada rakan-rakan saya nun jauh di sana. Semoga anda dapat menjawab dengan tenang dan cemerlang. Jawab periksa cepat-cepat, dapat kita jumpa di sini nanti.

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Harga minyak sudah naik sedikit demi sedikit. Tanda ekonomi sembuh?

------------------------------------------------------------------------------------------------------





Thursday, June 11, 2009

Seterika


Seterika saya meletup pagi tadi. Saya terkejut kerana tidak menyangka seterika itu boleh mengejutkan saya sebegitu rupa di awal pagi tadi. Saya bertindak dengan tenang dan tidak panik. Sumber elektrik ditutup, sambungan wayar dikeluarkan dari soket kuasa, dan seterika di simpan ke tempat asal.

Kejadian seterika ini mengajar saya menjadi lebih berhati-hati dan menjangka semua serangan dari segenap penjuru. Kadang-kadang perkara yang biasa kita lakukan tidak semestinya selamat. Utamakan keselamatan. Pengajaran kali ini.

Maka pagi tadi saya memakai baju kemeja yang tidak bergosok. Memang renyuk. Namun sentiasa ada strategi. Pakai jaket biru setiap masa. Ah, bukan sengaja mahu letupkan seterika. Sekali sekalai pakai baju tidak bergosok apa salahnya.

Hari Jumaat ini hari jadi orang yang istimewa di hati saya, dan adik beradik yang lain. Maka saya harus pulang hujung minggu ini (seakan-akan saya tidak pulang setiap minggu,hehe). Ikutkan hati saya mahu hadiahkan mak dengan menantu baru, tapi apakan daya, anakanda masih tidak mampu, hehe..

Sunday, June 07, 2009

Apa sudah jadi!

Saya sedang bekerja untuk Ethylene Polyethylene (Malaysia) Sdn Bhd untuk tempoh 2 bulan lebih. Saya melapor diri pada 22/3/2009.

Saya cuba sedaya upaya untuk menjadi pekerja yang baik seolah-olah hidup di dunia untuk selama-lamanya.

Ramai yang berpendapat untuk mendapat pekerjaan di kala gawat begini sebagai satu nasib yang baik. Saya setuju. Oleh kerana itu, Alhamdulillah

Dalam tempoh 2 bulan ini, saya pernah merasai bagaimana perasaan sunyi, hilang dalam ramai, dan janggal.

Kadang-kadang saya rindukan zaman belajar juga. Saya selalu merasa begitu.

Tapi sebenarnya, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Waktu belajar dahulu saya pernah rasa waktu menjadi bayi lebih baik. Saya pernah rindu menjadi bayi.

Saya gembira, kerana saya dekat dengan keluarga dan si dia. Segalanya ok

Kepada yang membaca,
Bersyukur atas apa yang kita ada, buat yang terbaik, dan jangan lupa pada mereka yang pernah berbakti kepada kita

Saya mahu berubah!

Ketabahan, kepunyaan, makna, dan keluarkan aksi!